Dewasa ini, kemodenan terus menjadi penanda aras kemajuan negara. Semua negara berlumba-lumba menjadi negara yang paling moden dan keterhadapan. Namun, realitinya ekonomi negara sekarang semakin mencabar dan sedang bertarung dengan inflasi yang semakin membimbangkan. Oleh itu, dengan keadaan ekonomi yang tidak menentu ini, kita perlu persiapkan diri dengan pengurusan kewangan yang mantap supaya tidak ‘kekeringan’ pada masa akan datang.
Perancangan kewangan ialah menetapkan matlamat hidup anda, arah tuju kehidupan dan mengambil kira setiap keluar masuk duit dan keperluan yang ada. Kita juga perlu mengenal pasti kemahiran sedia ada dan keupayaan untuk mengembangkannya lagi. Kenapa perancangan itu penting? Kerana untuk mengelakkan kita ‘lemas’ dalam trend yang tidak sihat seperti menayang gaya hidup kaya dengan kereta mewah, rumah besar tetapi hakikatnya memakan diri.
Jadi, pengurusan kewangan peribadi yang paling ringkas yang kita boleh lakukan ialah simpan 20 peratus daripada gaji. Inilah antara ciri-ciri orang kaya, dia ‘bayar’ diri dia dulu sebelum dia beli benda lain. Apabila menyentuh tentang gaji, kadar gaji minimum yang diumumkan oleh kerajaan ialah RM1,500 tetapi dasarnya gaji tersebut tidak mencukupi untuk menampung komitmen yang semakin besar terutamanya apabila sudah berumah tangga dan mempunyai anak.
Di dalam buku “Duit Aku, Hidup aku” yang ditulis oleh seorang youtuber terkenal iaitu Faiz Azmi atau dikenali sebagai Financial Faiz yang banyak bercakap tentang isu-isu kewangan di dalam media sosialnya. Buku yang sangat bagus untuk dimiliki kerana mengupas tentang isu kerjaya, pelaburan, pendapatan, ekonomi, cukai dan menyentuh isu kewangan yang terkini.
Anak muda dinasihatkan untuk berfikir jauh terlebih kehadapan untuk mendepani dunia semakin mencabar terutamanya menyiapkan simpanan untuk diri sendiri pada masa akan datang. Kurangkan komitmen untuk perkara yang tidak penting seperti kereta mewah tetapi akhirnya menyusahkan diri untuk membayarnya setiap bulan. Bak kata pepatah “Ukur baju pada badan sendiri” bukannya “biar papa asal bergaya”.
Kewangan sangat berkait rapat dengan kehidupan. Jadi, penulis mengambil peluang untuk mengajar tips-tips persiapan sebelum perkahwinan, anak-anak dan perancangan keluarga. Oleh itu, diharapkan semua rakyat Malaysia sedar akan realiti yang dihadapi sekarang dan jalani gaya hidup yang sihat tanpa perlu membebankan diri sendiri dengan hutang.