Bagi setiap anak muda, anda perlu sentiasa berhati-hati dengan pengurusan wang seawal gaji pertama. Gaji pertama sudah perlu berjaga-jaga dan uruskan sebaik yang boleh. Elakkan membuat pinjaman bagi kos modal hangus seperti percutian, perkahwinan dan kos-kos yang tidak perlu.
Setiap kali membuat hutang, ketahui kenapa dan apa hasil pulangan yang akan diperolehi jika kita menandatangani perjanjian hutang tersebut. Perangkap yang paling besar bagi kewangan anak muda adalah trend dan gaya hidup. Pada usia muda kita mudah cenderung untuk terikut-ikut dengan keinginan yang pelbagai. Ini merbahayakan diri sendiri di masa hadapan.
Bila melihat anak muda yang merungut, kurang bercita-cita dan menganggap terimalah takdir andai bersara miskin, saya sedikit terkilan. Miskin harta tidak mengapa, tapi yang paling malang adalah bila kita sendiri miskin minda. Tujuh belas tahun lepas, gaji pertama saya RM1,500 di Kuala Lumpur. Agak mewah bagi seorang gadis yang tidak ada hutang kecuali PTPTN. Tapi saya tetap menabung berbanding mengikut trend zaman muda. Saya pernah disisih beberapa rakan sebab menolak untuk menyertai trip bercuti ke Krabi.
Bagi saya, ini ikhtiar diri sebagai marhaen. Ikhtiar untuk mengikat perut dan menabung. Ikhtiar untuk tangguhkan keinginan berseronok bersama di usia muda. Tidak apalah rakan tidak suka, mereka belum faham wawasan kewangan kita.

1) Tiga bulan sebelum tamat pengajian kita digalakkan segera buat resume untuk persediaan masuk ke alam pekerjaan. Ini penting. Beritahu adik-adik kita di universiti sekarang, lebih awal bermula adalah lebih baik. Di zaman pandemik, jika dapat kerja di dalam industri essential adalah sangat baik.
2) Tidak apa kalau kita dapat pekerjaan di luar bidang pengajian. Lebih 80 peratus mahasiswa belajar lain, kerja di bidang lain. Rezeki berbeza-beza, terima saja dulu mana yang ada. Pekerjaan pertama adalah proses untuk kita belajar mengenai kerjaya dan kehidupan sebenar.
3) Gaji pertama paling seronok sebenarnya. Sebolehnya kita lakukan perkara yang paling betul dan terawal. Agihkan gaji kepada struktur - simpanan 15 peratus, perbelanjaan dan sedekah. Zakat? Gaji kecil pun mulakan saja untuk mengasingkan 2.5 peratus. Sebolehnya dalam enam bulan pertama elak buat hutang dan belajar dulu urus wang.
4) Mula mengkaji tentang kepentingan takaful. Semakin muda ambil polisi adalah semakin baik. Kadar premium lebih rendah dan bila perlukan rawatan, ada persediaan. Kadar bayaran takaful antara 10-15 peratus gaji bulanan. Tidak perlu ambil perlindungan yang terlalu besar hingga melebihi kemampuan kita.
5) Bina matlamat simpanan seawal gaji pertama. Bagi anak muda, impian kebiasaan kita adalah untuk membeli rumah pertama dan mengadakan perkahwinan. Belum ada jodoh tidak menjadi masalah asalkan kita membuat tabung dahulu. Tugas kita merancang sedaya upaya mengikut kemampuan kita. Sasarkan simpanan minimum 15 peratus sebagai simpanan yang dilupakan setiap bulan.
 
         
         
          
         
          
        