Selasa, 7 Januari 2025
Wad 8D, Katil 7
(HASA Puncak Alam)
8.00 pagi
Pagi itu suami ditolak ke pusat dialisis. Sepatutnya itulah hari janji temu dengan beberapa pihak yang telah diatur tiga minggu lepas. Namun, para doktor meyakinkan bahawa pihak berkenaan akan melihat suami di bilik.
8.30 pagi
“Yang, assalamualaikum ... saya datang.”
Saya membawa teh tarik panas di dalam termos serta nasi impit berlauk ayam rendang, dibeli di tempat biasa dari salah sebuah gerai di aras 2. Teh tarik habis secawan diminum. Nasi impit berlauk rendang, saya suapkan ke mulutnya. Hari itu habisnya tidak sampai separuh.
Kemudian saya duduk di luar ruang bilik menunggu.
9.30 pagi
Seorang jururawat memanggil saya masuk, katanya suami meminta datang. Tekanan darah suami terlalu rendah. Darahnya agak pekat. Proses terpaksa dihentikan seketika. Jururawat menggantikan dengan tiub baru.
11.30 pagi
Proses dihentikan lebih awal. Kelihatan suami terlalu lemah dan dahinya berpeluh-peluh. Doktor bertugas bergegas datang dan meminta jururawat mengambil bacaan ECG. Saya merenung graf-graf bergerak terpapar di skrin dan menatapnya apabila dicetak. Namun, tiada ilmu.
Kemudian datang seorang doktor lagi, mahu melihat keadaan kandungan darah suami. Doktor muda itu resah kerana saluran darah sukar dicari. Bagaimanapun akhirnya jarum dapat ditusuk ke dalam pembuluh darah. Beberapa sampel darah diambil untuk diuji.
2.00 petang
Jururawat memaklumkan bahawa suami akan dipindahkan dari ruang terbuka Katil 4 untuk masuk ke Bilik 7. Bilik perseorangan. Sebelum berpindah, saya ke ruang pesakit Katil 1, bertemu isteri pesakit.
“Puan, saya mahu ucapkan terima kasih. Semalam suami puan bagi sesudu besar madu kepada suami saya.”
Wanita yang menjaga suaminya itu kehairanan. Direnung wajah suaminya yang sedang tidur. Khabarnya sebelah kaki suaminya telah dipotong. Mana mungkin dia berjalan.
Lalu saya ceritakan apa yang berlaku.
Sambungan kisah ini boleh ditemukan dalam buku Detik Menunggu Ajal karya Roza Roslan.