Bagusnya Kalau Dapat Bekerja dengan Ikhlas!

1. Mendapat kekuatan, kebijaksanaan dan kesabaran dalam kerja.
Orang yang ikhlas akan mendapat bantuan dalam melaksanakan kerjanya. Apabila seorang hamba ikhlas, ‘talian hayatnya’ bersambung dengan Allah. Allah tidak akan mengecewakan hamba-Nya yang ikhlas. Dia sentiasa memberi bantuan apabila hamba-Nya memohon pertolongan.
2. Hasil kerjanya berkualiti dan sentiasa produktif.
Jika seseorang itu bekerja kerana gaji, maka dia tidak akan bekerja melebihi kadar gaji yang diterimanya. Tetapi jika seseorang bekerja ikhlas kerana Allah, dia akan melipatgandakan kerjanya di tahap terbaik kerana yakin pembalasan daripada Allah jauh lebih banyak, baik dan kekal.
Dia juga menjadi pekerja yang produktif, tanpa memilih hanya kerja yang ada nilai self promotion (ganjaran pangkat dan gaji) malah dia juga giat dalam kerja-kerja yang memberi nilai self improvement (peningkatan nilai murni dalam diri). Tegasnya, dia tidak terlalu berkira dengan tenaga dan masa dan sentiasa bersedia untuk melakukan kerja-kerja sukarela dan khidmat masyarakat.
3. Terhalang daripada melakukan penyelewengan dan kemungkaran.
Pekerja yang ikhlas tidak perlu dipantau oleh punch card, CCTV dan peraturan-peraturan yang ketat untuk menghalangnya daripada rasuah, ponteng, curi tulang dan lain-lain perbuatan negatif kerana dia merasakan dirinya diawasi oleh Allah.
Walaupun begitu, tidak salah menggunakan sistem pemantau luaran ketika sifat ikhlas sedang dalam pembinaan. Itu juga membantu proses mujahadah untuk mendapat keikhlasan.
4. Hubungan yang harmoni sesama rakan sekerja.
Orang yang ikhlas tidak akan mengampu, mengadu domba, sabotaj, mengumpat apalagi memfitnah sesama rakan sekerja. Cinta dunia adalah kepala kejahatan. Orang yang ikhlas hanya mengharapkan keredhaan Allah dan tidak ada sebab untuk mereka menzalimi orang lain demi mendapat pujian, pangkat dan ganjaran material.
Tempat di sisi Allah sentiasa luas dan tidak perlu berebut-rebut berbanding tempat di dunia yang sempit lagi terhad.
5. Taat atasan dan menghormati orang bawahan.
Orang yang ikhlas akan mentaati atasannya selagi perintah, teguran dan keputusan atasannya tidak bercanggah dengan syariat. Ketaatan itu bukan untuk mengampu, sebaliknya dilakukan atas dasar taat kepada Allah.
Begitu juga, mereka akan menghormati orang bawahan, mengasihi dan tidak menzaliminya. Mereka faham pemimpin adalah ‘khadam ummah’ bukan memperalatkan orang bawahan untuk kepentingan peribadinya.
6. Yakin dan berani menyatakan pandangan dan pendirian.
Ketaatan dalam Islam tidak menutup pintu mesyuarat untuk menyatakan pandangan dan pendirian. Justeru, orang yang ikhlas tidak teragak-agak untuk menyatakan pendiriannya apabila kena pada tempat, masa dan suasananya.
Apa yang dirasakan benar, dinyatakannya dengan jelas dan beradab sekalipun pahit. Dia tidak akan bermuka-muka. Kata-katanya adalah dari hati, bukan ambil hati. Dan dia bertanggungjawab atas pendiriannya, bukan bersifat “lempar batu sembunyi tangan.”
***
Petikan buku 7 Langkah Baiki Diri tulisan ustaz Pahrol Mohamad Juoi. Buku ini merupakan salah satu siri dalam Modul Mukmin Profesional.
Leave a Comment