Hakikat Tawasul Adalah Memohon kepada Allah

عَنِ ابْنِ عَبَّاسٍ أَنَّ النَّبِيَّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ كَانَ يَقُولُ أَعُوذُ بِعِزَّتِكَ الَّذِي لَا إِلَهَ إِلَّا أَنْتَ الَّذِي لَا يَمُوتُ وَالْجِنُّ وَالْإِنْسُ يَمُوتُونَ.

DaripadaSayyidina  Ibn Abbas bahawa Nabi ﷺ pernah berdoa:
أَعُوذُ بِعِزَّتِكَ الَّذِي لَا إِلَهَ إِلَّا أَنْتَ الَّذِي لَا يَمُوتُ وَالْجِنُّ وَالْإِنْسُ يَمُوتُونَ.
(Aku berlindung dengan kekuasaan Allah, yang tiada sembahan yang hak selain Dia, yang tidak pernah mati sedang jin dan manusia akan mati).

 

1. Maksud Al-‘Aziz
Menurut Imam al-Qastalani, perkataan al-Aziz bermaksud keperkasaan yang terlalu kuat dan kekal abadi. Al-Aziz juga bermaksud menguatkan, sebagaimana firman Allah SWT:

فَعَزَّزۡنَا بِثَالِثٖ
Kemudian Kami kuatkan (kedua-dua rasul itu) dengan rasul yang ketiga … [Yasin 36: 14]

Daripada kekuatan yang tidak terhingga itu, menjadikan semua makhluk tunduk dan patuh kepada segala perintah dan pengaturannya.

Al-Aziz juga bermaksud mulia, seperti firman Allah:

مَن كَانَ يُرِيدُ ٱلۡعِزَّةَ فَلِلَّهِ ٱلۡعِزَّةُ جَمِيعًاۚ
Sesiapa yang mahukan kemuliaan (maka hendaklah dia berusaha mencarinya dengan jalan mematuhi perintah Allah), kerana bagi Allah jualah segala kemuliaan … [Fatir 35: 10]

Pada hakikatnya kemuliaan adalah milik Allah SWT dan tiada sesiapa yang akan mendapat kemuliaan kecuali dengan mentaati Allah SWT. Maka Allah telah menetapkan bahawa yang layak untuk mendapat kemuliaan selepas Allah SWT ialah para rasul-Nya dan orang Mukmin. Firman Allah:

وَلِلَّهِ ٱلۡعِزَّةُ وَلِرَسُولِهِۦ وَلِلۡمُؤۡمِنِينَ
Padahal kemuliaan dan kekuatan itu adalah milik Allah, untuk Rasul-Nya dan orang yang beriman … [Al-Munafiqun 63: 8]

Menurut Abu Bakar Ahmad al-Malibari, kata “al-Aziz” adalah sesuatu yang pada hakikatnya dinisbahkan kepada sifat Allah SWT. Namun Allah SWT telah menisbahkan sifat tersebut kepada rasul-Nya dan orang Mukmin secara majaz (kiasan) sedangkan pada sudut hakikatnya, segala kemuliaan dan keperkasaan adalah milik Allah SWT.

 

2. Pengertian Tawasul
Daripada perkara ini, terjawab persoalan berkaitan meminta pertolongan atau tawasul kepada Nabi ﷺ dan orang yang soleh. Kerana permohonan atau tawasul kepada Nabi dan orang soleh itu adalah secara majaz (kiasan) sedangkan hakikatnya adalah kepada Allah SWT.

Tawasul ertinya wasilah atau perantara. Wasilah menurut Ibnu Katsir dalam Tafsirnya:

اَلْوَسِيْلَةُ هِيَ الَّتِيْ يُتَوَصَّلُ بِهَا إِلَى تَحْصِيْلِ الْمَقْصُوْدِ.
Wasilah adalah segala sesuatu yang dapat menjadi sebab sampainya kepada tujuan.

Manakala tawasul menurut al-Harariy pula ialah:

طَلَبُ حُصُوْلِ مَنْفَعَةٍ اَوْ اِئْدِفَاعِ مُضَرَّةٌ مِنَ اللهِ بِذِكْرِ إسْمِ نَبِيٍّ اَوْ وَالِيٍّ إِكْرَامًا لِلتَّوَصُلِ.
Memohon datangnya sesuatu kemanfaatan atau terhindarnya bahaya kepada Allah SWT dengan menyebut nama Nabi atau wali untuk menghormati (kedua-duanya) bagi sesuatu hajat.

 

3. Hukum Tawasul
Menurut Ahlus Sunnah wal Jamaah, hukum tawasul adalah diharuskan. Dalilnya adalah daripada firman Allah SWT:

يَٰٓأَيُّهَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُواْ ٱتَّقُواْ ٱللَّهَ وَٱبۡتَغُوٓاْ إِلَيۡهِ ٱلۡوَسِيلَةَ وَجَٰهِدُواْ فِي سَبِيلِهِۦ لَعَلَّكُمۡ تُفۡلِحُونَ (٣٥) 
Wahai orang yang beriman! Bertakwalah kepada Allah dan carilah jalan yang boleh mendekatkan diri kepada-Nya (dengan memenuhi perintah-Nya dan meninggalkan larangan-Nya) serta berjuanglah pada jalan Allah (untuk menegakkan Islam) semoga kamu beroleh kejayaan. [Al-Maidah 5: 35]

Firman Allah SWT:
وَلَوۡ أَنَّهُمۡ إِذ ظَّلَمُوٓاْ أَنفُسَهُمۡ جَآءُوكَ فَٱسۡتَغۡفَرُواْ ٱللَّهَ وَٱسۡتَغۡفَرَ لَهُمُ ٱلرَّسُولُ لَوَجَدُواْ ٱللَّهَ تَوَّابٗا رَّحِيمٗا (٦٤)
Kalaulah mereka ketika menganiaya diri mereka sendiri datang kepadamu (wahai Muhammad) lalu memohon ampun kepada Allah, dan Rasul juga memohon ampun untuk mereka, tentulah mereka mendapati Allah Maha Penerima taubat, lagi Maha Penyayang. [Al-Nisa’ 4: 64]

Ayat ini menjelaskan keharusan bertawasul dengan Nabi ﷺ demi kemuliaan Baginda di sisi Allah SWT, sehingga apabila Baginda memohon keampunan bagi mereka yang berdosa, maka Allah akan ampunkan mereka. 

 

4. Bertawasul dengan Nabi ﷺ
Ibnu Katsir menyatakan dalam tafsirnya, menukilkan daripada Abu Mansur di dalam kitabnya al-Syamil yang mendatangkan kisah yang terkenal daripada al-Utbi. Al-Utbi menceritakan bahawa ketika dia sedang duduk dekat maqam Nabi ﷺ, datanglah seorang Arab Badwi, lalu Badwi itu mengucapkan:

“Assalamualaika, ya Rasulallah. Aku telah mendengar Allah berfirman: ‘Sesungguhnya jikalau mereka ketika menganiaya dirinya datang kepadamu, lalu memohon ampun kepada Allah, dan Rasul pun memohonkan ampun untuk mereka, tentulah mereka mendapati Allah SWT Maha Penerima taubat lagi Maha Penyayang’,” (Al-Nisa’: 64). Maka sekarang aku datang kepadamu, memohon ampun bagi dosa-dosaku (kepada Allah) dan meminta syafaat kepadamu (agar engkau memohonkan ampunan bagiku) kepada Tuhanku.” 

Kemudian lelaki tersebut mengucapkan syair berikut:

يَا خَيْرَ مَنْ دُفِنَتْ بِالْقَاعِ أَعْظُمُهُ # فَطَابَ مِنْ طِيبِهِنَّ الْقَاعُ وَالْأَكَمُ
Wahai sebaik-baik orang yang dikebumikan di lembah ini lagi paling agung, maka menjadi harumlah dari pancaran keharumannya semua lembah dan pegunungan ini.

نَفْسِي الْفِدَاءُ لِقَبْرٍ أَنْتَ سَاكِنُهُ # فِيهِ الْعَفَافُ وَفِيهِ الْجُودُ وَالْكَرَمُ
Diriku sebagai tebusan kubur yang engkau menjadi penghuninya; di dalamnya terdapat kehormatan, kedermawanan, dan kemuliaan.

Kemudian lelaki Badwi itu pergi, dan kata al-Utbi: “Dengan serta-merta mataku terasa mengantuk sekali hingga aku tertidur. Dalam tidurku itu aku bermimpi bertemu dengan Nabi ﷺ, lalu Baginda ﷺ bersabda:

يَا عُتْبِى، الْحَقْ الْأَعْرَابِيَّ فَبَشِّرْهُ أَنَّ اللَّهَ قَدْ غَفَرَ لَهُ.
“Wahai Utbi, susullah orang Badwi itu dan sampaikanlah berita gembira kepadanya bahawa Allah SWT telah memberikan keampunan kepadanya.”

Kisah ini menjelaskan keharusan bertawasul dengan Nabi ﷺ walaupun selelah kewafatan Baginda ﷺ.

 

5. Bertawasul dengan Orang Soleh
Dalam hadis Nabi ﷺ riwayat al-Bukhari, dijelaskan tentang Sayyidina Umar r.a. pernah bertawasul dengan bapa saudara Nabi ﷺ iaitu Sayyidina Abbas bin Abdul Muthalib ketika terjadi kemarau. 

عَنْ أَنَسِ بْنِ مَالِكٍ أَنَّ عُمَرَ بْنَ الْخَطَّابِ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ كَانَ إِذَا قَحَطُوا اسْتَسْقَى بِالْعَبَّاسِ بْنِ عَبْدِ الْمُطَّلِبِ فَقَالَ اللَّهُمَّ إِنَّا كُنَّا نَتَوَسَّلُ إِلَيْكَ بِنَبِيِّنَا فَتَسْقِينَا وَإِنَّا نَتَوَسَّلُ إِلَيْكَ بِعَمِّ نَبِيِّنَا فَاسْقِنَا قَالَ فَيُسْقَوْنَ.
Daripada Anas bin Malik bahawa Umar bin al-Khattab r.a. ketika kaum Muslimin tertimpa musibah, dia telah meminta hujan dengan berwasilah kepada Abbas bin Abdul Muthalib seraya berdoa, “Ya Allah, kami pernah meminta hujan kepada-Mu dengan perantaraan Nabi kami, kemudian Engkau menurunkan hujan kepada kami. Maka sekarang kami memohon kepada-Mu dengan perantaraan bapa saudara Nabi kami, maka turunkanlah hujan untuk kami.” Anas berkata, “Kemudian mereka pun mendapat hujan.” [Riwayat al-Bukhari]

Al-Nabhani di dalam Syawahid al-Haq, menyatakan dalam masalah tawasul ini, tidak ada perbezaan antara bertawasul dengan Nabi ﷺ atau dengan nabi yang lainnya. Begitu juga dengan para wali Allah SWT dan orang yang soleh. Dan tidak ada perbezaan sama ada bertawasul dengan orang yang hidup ataupun yang telah meninggal dunia, kerana pada hakikatnya makhluk tidak boleh memberikan pengaruh apa-apa pun dan tiadalah pada mereka ta’tsir (تأثير) iaitu memberi kesan pada sesuatu melainkan hanya diharapkan barakah daripadanya kerana mereka adalah para kekasih Allah SWT.

Adapun hakikat yang memberikan manfaat, menolak mudarat serta mengabulkan hajat sudah semestinya Allah SWT semata-mata, sebagaimana kemuliaan yang dinyatakan kepada orang yang beriman yang dinyatakan oleh al-Bukhari pada ayat Al-Qur’an dalam bab ini. 

 

6. Bertawasul dengan Nama-Nama Allah
Mengenai hadis Nabi ﷺ dalam bab ini: أَعُوذُ بِعِزَّتِكَ الَّذِي لَا إِلَهَ إِلَّا أَنْتَ الَّذِي لَا يَمُوتُ وَالْجِنُّ وَالْإِنْسُ يَمُوتُونَ. Nabi ﷺ telah mengajar umatnya untuk bertawasul dengan nama-nama Allah SWT. Dalam doa yang khusus ini, Nabi telah bertawasul dengan kemuliaan Allah daripada nama Allah al-Aziz.

Firman Allah:
وَلِلَّهِ ٱلۡأَسۡمَآءُ ٱلۡحُسۡنَىٰ فَٱدۡعُوهُ بِهَاۖ
Allah mempunyai nama-nama yang baik (yang mulia), maka serulah (dan berdoalah) kepada-Nya dengan menyebut nama-nama itu ... [Al-A‘raf 7: 180]

Selain daripada bertawassul dengan nama dan sifat Allah SWT, kita juga boleh bertawassul dengan amal soleh sebagaimana kisah tiga orang pemuda yang terperangkap dalam gua yang diceritakan dalam hadis riwayat Imam al-Bukhari.

Wallahu a'lam bissawab.

Diolah semula daripada buku: 40 Hadis Sahih tentang Akidah, lihat buku di sini » KLIK SINI