Fitnah merujuk kepada sebarang tuduhan yang diada-adakan untuk memburukkan atau membencanakan seseorang atau sesuatu pihak yang membawa kepada porak-peranda. Ia boleh juga disama ertikan dengan adu domba atau menghasut (namimah) yang jelas dilarang oleh agama. 

Fitnah datang daripada lidah yang berkata-kata. Gagal mengawalnya dengan baik, buruk padahnya. Dalam kitab Penawar Bagi Hati, Syeikh Abdul Qadir al-Muthalib al-Mandili rahimahullah Taala menghuraikan tentang cara mensyukuri nikmat lidah adalah dengan menjaganya daripada sesuatu yang bukan menjadi tujuan lidah dijadikan seperti berkata sesuatu yang dilarang oleh syarak. 

Justeru, fintah, adu domba, menghasut (namimah) adalah sesuatu dilarang sama sekali sehingga Nabi tegaskan bahawa tidak akan masuk syurga orang yang melakukannya. Daripada Sayidina Huzaifah al-Yamani r.a., Rasulullah SAW bersabda: 

‏ لاَ يَدْخُلُ الْجَنَّةَ نَمَّامٌ ‏

Maksudnya: “Tidak masuk syurga orang yang menyebarkan fitnah (mengadu domba).” [Riwayat al-Bukhari dan Muslim] 

Dalam kitab Qalbun Salim; Syarah Penawar Bagi Hati, Ustaz Muhadir Hj Joll ada menghuraikan maksud Fitnah, Adu Domba atau mengahasut (namimah ini). Beliau membawa beberapa hadis antaranya (Rujuk muka surat 63-65:

1. Sayidina Ibn Abbas berkata:

"Rasulullah SAW telah melalui 2 kubur, lalu Baginda bersabda; "Sesungguhnya kedua-duanya sedang diseksa dan bukanlah kedua-keduanya diseksa kerana perkara yang besar. Adapun yang ini, dia tidak menutup aurat ketika membuang air kecil, dan adapun yang ini, dia berjalan sambil mengadu domba (namimah). (Riwayat al-Bukhari)

2. Orang yang mengadu domba adalah seburuk-buruk manusia pada hari kiamat;

Rasulullah SAW berabda:"Kamu akan mendapati seburuk-buruk manusia pada hari kiamat di sisi Allah iaitu seorang yang mempunyai 2 wajah. Dia datang kepada satu kumpulan dengan wajah yang satu dan datang kepada satu kumpulan dengan wajah yang berbeza. (Riwayat al-Bukhari). 

Namun harus diingat, zaman teknologi kini, fitnah lebih cepat tersebar dan tanpa sempadan. Hanya dihujung jari. Maka, berhati-hatilah. Sebagai orang yang beriman, kita perlu tenang tidak terus mempercayai, atau teruja pula menyebarkan-luaskan kepada orang lain. Sebaliknya selidiki dengan betul. 

Mudah untuk difahami begini, jangan kita memfitnah, atau menjadi penyebar fitnah tanpa disedari. Sibuklah dengan kekurangan diri sendiri, lakukan pembahbaikkan diri dari semasa ke semasa untuk kesejahteraan nasib kita kelak selepas kematian. 

Wallahu'alam.