Lidah merupakan salah satu daripada lima pancaindera kurniaan Allah SWT kepada manusia. Tahukah anda, kouta bercakap untuk seorang wanita dalam sehari ialah 20,000 ke 25,000 patah perkataan manakala bagi lelaki pula 7,000 patah perkataan dalam sehari.

Biarpun jelas menunjukkan perbezaan yang besar, tetapi di sini apa yang ingin diperkatakan ialah setiap daripada kita akan tetap bertutur walaupun satu perkataan dalam kehidupan seharian.

Lidah merupakan organ yang sangat sensitif namun mempunyai fungsi yang besar. Allah SWT menciptakan lidah untuk tujuan mencari harta di dunia seperti akad juai beli manakala untuk tujuan akhirat pula, lidah diciptakan untuk membaca al-Quran dan hadis, berzikir, mengajak kepada kebaikan dan memberi nasihat kepada orang Islam.

 

Mari lihat kepada tiga jenis perkataan saat kita berbiacara

Jenis yang pertama ialah taat.

Taat di sini membawa maksud setiap perkataan yang dituturkan menyuruh untuk melakukan kebaikan dan melarang daripada melakukan kejahatan. Sesungguhnya, kata-kata ini membawa ganjaran yang besar kerana melakukan perkara yang diperintahkan oleh Allah SWT.

 

Jenis yang kedua ialah maksiat.

Perkataan yang berunsur maksiat ini menyebabkan penuturnya menanggung seksaan yang amat azab sehingga mereka disembamkan muka dan hidung di dalam neraka. Misalnya, mencerca, ghibah, mengadu domba merupakan pertuturan yang membawa dosa besar.

 

Jenis yang ketiga ialah harus tetapi sia-sia.

Perkataan yang diungkapkan langsung tidak memberi manfaat. Pada hari Kiamat, malaikat akan merekodkan perkataan-perkataan yang tidak memberi kebaikan dan akan membacakan aksara-aksara tersebut di hadapan Allah SWT di hadapan seluruh umat manusia ketika itu.

Apabila kita bertutur yang baik-baik, Insya-Allah setiap perkataan itu akan melantun semula kepada kita. Riwayat Imam Baihaqi ada menyatakan, Rasulullah SAW pernah bersabda “Sesungguhnya amal yang dicintai oleh Allah SWT ialah menjaga lisan.” Semoga setiap tutur kata kita mampu mendekatkan kita kepada Allah SWT.


Artikel ini dipetik dan olahan daripada buku QALBUN SALIM tulisan Ustaz MUHADIR HJ JOLL. Klik sini >>> LIHAT BUKU