“… yang paling dibenci antara kamu di sisi Allah ialah orang yang banyak makan… .”

Penyebab kejahatan paling awal.

Sifat sangat suka makan adalah sebahagian dari punca terjadinya segala kejahatan kerana perut adalah punca terhasilnya segala keinginan (syahwat) termasuklah keinginan kemaluan (untuk melakukan zina).

Apabila nafsu makan dan nafsu untuk melakukan persetubuhan semakin kuat, ia akan membawa kepada keinginan untuk mendapatkan harta kerana kedua-dua keinginan tadi tidak mungkin dapat ditunaikan melainkan jika ada harta.

Keinginan kepada harta pula seterusnya akan membawa kepada keinginan kepada kemegahan (atau sanjungan seperti mempunyai pangkat, jawatan atau kedudukan) kerana sukar untuk mendapatkan
harta melainkan dengan kemegahan tadi.

Kemudian, apabila dia berusaha mendapatkan harta dan kemegahan dan dia dapat kedua-duanya, maka akan mulalah berkumpul beberapa sifat tercela yang lain dalam dirinya seperti menunjuk-menunjuk (riyak), sombong (takabbur), dengki, bergaduh dan lain-lain. Punca semua sifat tercela ini adalah perut.

Rasulullah SAW memuji perbuatan selalu berlapar.

Rasulullah SAW bersabda (yang bermaksud):

“Yang paling afdhal antara kamu di sisi Allah ialah orang yang paling lama berlapar dan berfikir dan yang paling dibenci antara kamu di sisi Allah ialah orang yang banyak makan, dan banyak minum, banyak tidur.”

Kebaikan lapar.
Kamu hendaklah mengetahui bahawa ada beberapa kelebihan daripada lapar iaitu:

  • Lembut hati sehingga dapat merasakan kelazatan (zauq) ketika mengerjakan ibadah.
  • Cerdik hati kerana kerana kenyang menyebabkan kebodohan.
  • Menghilangkan nafsu untuk mengerjakan maksiat dan menekan nafsu yang selalu menyuruh melakukan kejahatan.
  • Meringankan tubuh badan untuk mendirikan solat Tahajjud dan mengerjakan ibadah.

***
Petikan buku Qalbun Salim: Syarah Penawar Bagi Hati susunan Ustaz Muhadir Hj. Joll.


Scroll to Top