Menyantuni Anak Didik – Gaya Rasulullah

Jika dikaji faktor geografi yang wujud sebelum Baginda diutuskan menjadi Rasul, maka kita dapati Baginda mampu memainkan peranan dalam suasana masyarakat Arab Jahiliah yang begitu kasar tabiat mereka dan hilangnya nilai-nilai moral.

Namun Baginda mampu mendidik dan bersabar atas dugaan yang menimpa. Walaupun Baginda sendiri seorang yang ummi, akhirnya Allah SWT memberikan pertolongan-Nya apabila bangsa Arab Jahiliah yang kasar dan mempunyai akhlak yang tidak baik, tunduk dan patuh terhadap ajaran Islam yang dibawa oleh Baginda.

Karlil menceritakan keadaan orang Arab dengan menyatakan: “Mereka merupakan satu bangsa yang tinggal di padang pasir dan telah meninggalkan ajaran agama sejak sekian lama. Apabila Allah SWT mengutuskan seorang Nabi, maka tanah yang kontang tadi menjadi kiblat ilmu pengetahuan, bilangan mereka menjadi ramai dan mulia walaupun sebelum ini mereka hina dan tidaklah diampunkan. Selama satu kurun tanah air mereka telah berjaya disuburkan dengan ilmu dan kebudayaan yang terpuji.”

Sabda Rasulullah SAW (yang bermaksud): Sesungguhnya Allah SWT tidak mengutuskan saya untuk memberi kesukaran dan mencari kesilapan orang lain. Sebaliknya Allah SWT mengutuskan saya sebagai guru yang memberi kemudahan.
(Riwayat Muslim)

Diriwayatkan daripada Sayyidina Mua‘wiyah bin Hakam as-Sulami, beliau berkata:

Ketika saya sedang solat bersama Rasulullah SAW, tiba-tiba seorang lelaki bersin, lalu saya pun mendoakannya: “Moga Allah SWT merahmatimu.” Para Sahabat yang lain tiba-tiba memandang saya. Saya pun berkata, “Bencana apa hari ini yang menimpa saya? Kenapa kamu semua memandang saya?” Lantas mereka semua tiba-tiba menepuk-nepuk paha masing-masing. Apabila saya melihat mereka meminta saya untuk diam, saya pun diam. Setelah Rasulullah SAW selesai solat, Baginda memanggil saya. Saya berani bersumpah yang saya tidak pernah melihat seorang guru pun sebelum dan selepas Baginda yang terlebih elok kaedah pengajarannya daripada Baginda. Demi Allah SWT, Baginda tidak mengherdik, memukul, dan tidak menghina saya. Baginda hanya bersabda: “Secara pasti, tidak harus kita berkata-kata dalam solat. Sebaliknya solat itu ialah tasbih, takbir dan bacaan al-Quran.”
(Riwayat Muslim)

Imam Nawawi berkata: “Hadis yang mulia ini menerangkan akan mulia dan unggulnya budi pekerti Baginda yang berlemah lembut dengan orang yang tidak mengetahui sesuatu hukum dan sikap berkasih sayang kepada umat. Para pendidik hendaklah menggunakan pendekatan yang digunakan oleh Baginda bagi memastikan proses pendidikan yang dilakukan mendapat kesan yang sewajarnya.”

***

Dipetik dari buku Mendidik Gaya Rasulullah tulisan dan susunan Dr. Shuhadak Mahmud.





Scroll to Top