Kelajuan Pembacaan Al-Quran

Kelajuan pembacaan al-Quran ada empat iaitu:

Tahqiq (20-40 KM/J @ terputus-putus)

Bacaan yang lembut dan sangat perlahan (lebih lambat daripada Tartil). Pembacaan sebegini biasanya dibaca oleh mereka yang tidak lancar. Pembacanya masih membaca dalam keadaan sedang mengagak jenis huruf, membetulkan makhrajnya serta sedang mendapatkan kadar bacaan Mad dan ‘dengung’. Bacaan ini khusus bagi mereka yang baru belajar membaca al-Quran.

Tartil (50-60 KM/J @ nada bacaan Musabaqah)

Bacaan yang perlahan, tenang, terang, teratur ketika melafazkan huruf dari makhrajnya. Pembacanya dapat memberi hak kepada bacaan kalimah-kalimah serta ayat-ayat tepat pada makhraj huruf, sifat huruf, hukum tajwid, cara waqåf dan tadabbur akan makna ayat. Bacaan ini adalah bagi mereka yang sudah mahir dan lancar.

Tadwir (70-80 KM/J @ bacaan Solat Terawih)

Bacaan pertengahan antara tingkatan Tartil dengan Hadar. Pembaca memelihara segala tajwid serta memahami maknanya.

Hadar (90-100 KM/J @ bacaan para Huffaz)

Bacaan yang cepat tetapi tetap memelihara bacaan bertajwid, sebutan huruf dan tertib. Bacaan ini bagi mereka yang telah menghafaz al-Quran.

Nota:
Martabat bacaan al-Quran yang terbaik ialah ‘Bacaan Tartil’.
ALLAH SWT berfirman:

“Dan Kami telah membacakan (al-Quran) secara tartil.”
(Al-Furqan: 32)

***
Petikan buku Kuasai Tajwid 6 Jam. Buku ini menggunakan formula Al-Hidayah iaitu teknik yang dirumus oleh Ustaz Zubair Malik setelah menimba pengalaman puluhan tahun sebagai guru al-quran dan juri pelbagai peringkat bagi pertandingan tilawah dan taranum.


Scroll to Top