“…Kalau Kamu Lulus Pun, Cikgu Sudah Bersyukur…”

Setiap orang ada kisah derita, kali ini penulis ingin kongsikan tiga kisah benar yang berlaku dalam hidup penulis iaitu kisah pada zaman sekolah, universiti dan alam kerjaya.

“Fatihe! Dah besar panjang pun, kau masih tengok Doraemon lagi?” Soalan kawan saya itu buat saya ketawa.

“Aku suka tengok Nobita. Kisah dia buat aku teringat zaman sekolah.”

Itulah saya. Ketika zaman sekolah rendah saya dikenali sebagai seorang budak yang lembab, berbadan kecil, sering didenda oleh guru sebab gagal siapkan tugasan dan agak nakal dalam pergaulan. Pendek kata perangai saya ketika itu adalah seperti watak Nobita! Sebab itu sehingga sekarang saya suka menonton siaran Doraemon sebab akan terkenangkan diri saya suatu masa dahulu.

Saya adalah salah seorang budak kelas corot yang selalu turun kelas dan mendapat tempat tercorot. Saya sendiri tidak tahu kenapa sukar sangat untuk memahami pelajaran sedangkan ketika berusia enam tahun saya sudah mampu membaca surat khabar walhal ketika itu rakan sebaya masih lagi merangkak belajar membaca.

Umi abah sanggup menghantar saya ke kelas tambahan berbayar yang agak mahal harganya, walaupun keadaan ekonomi keluarga agak kurang mengizinkan. Sayangnya, usaha itu juga gagal. Subjek yang paling saya lemah adalah Matematik dan Bahasa Inggeris.

Namun, jauh di lubuk hati saya ketika itu sebenarnya mahukan diri ini dihormati. Cuma tidak tahu caranya sehinggalah darjah enam. Walaupun saat itu saya telah berusaha bersungguh-sungguh tetapi keputusannya tetap gagal. Tatkala keputusan UPSR diumumkan terbukti saya adalah budak yang paling tercorot daripada sepuluh orang rakan sebaya saya di kampung!

Oleh kerana saya tiada satu A pun dalam keputusan UPSR, saya terpaksa berkurung dalam rumah selama seminggu kerana malu untuk bertemu dengan kawan-kawan yang pastinya akan bertanyakan tentang keputusan UPSR. Sehingga saat ini katakata kawan sebaya saya masih terngiang-ngiang dalam kepala saya.

“Acik, kau ni bodoh, kan? Cepat cakap! Kau ni bodoh, kan?

Entah kenapa saat itu saya boleh angguk kepala dan cakap, “Ya, aku bodoh!”

Allahu! Paling sedih, skrip yang sama turut berulang semasa di Tingkatan Tiga. Keputusan peperiksaan kurang memuaskan tetapi lebih baik sedikit berbanding UPSR dahulu. Saat yang paling gembira ketika itu adalah saya mendapat keputusan B dalam Matematik hasil kerja keras Cikgu Noraida mengajar saya.

Keputusan ini sekali gus melayakkan saya untuk memasuki kelas aliran Sains.

“Fatihe … kalau kamu lulus pun, cikgu sudah bersyukur,” ujar Cikgu Noraida. Dan Allah memberikan jauh lebih baik!

Ketika di Tingkatan 4, saya berhadapan dengan puluhan pelajar pintar. Ini tentu saja satu situasi yang amat mendebarkan, apatah lagi apabila saya dilantik oleh guru kelas saya, Ustaz Harun sebagai ketua kelas kepada pelajar-pelajar pintar itu.

Alamak! Itu memang satu tanggungjawab yang sangat mencabar dan sehingga ke hari ini saya begitu berterima kasih kepada beliau.

Walaupun menjadi ketua kelas, seperti biasa apabila keputusan peperiksaan diumumkan saya kekal berada di tempat tercorot!

“Ketua Kelas kita di tempat tercorot!” ejek kawan saya sambil gelak.

Allah ya Allah. Malunya saya saat itu! Ya, keputusan saya begitu konsisten teruk sehinggakan ketika Tingkatan 5 saya diturunkan kelas. Suatu hari guru saya bertanya tentang cita-cita.

“Saya mahu menjadi penceramah bebas!” Jawab saya yakin.

Satu jawapan yang disambut dengan gelak tawa orang lain. Aduh, satu kelas gelakkan saya. Riuh rendah kelas dibuatnya!

“Kau nak jadi penceramah? Hei, sedar diri sikit. Kau tu belajar pun lembab. Boleh ke masuk universiti?” perli seorang kawan saya.

Saya hanya mampu diamkan diri, terkadang mengiyakan bisikan-bisikan yang hadir dalam hati. Bisikan negatif yang mengiyakan persepsi mereka. Juga bisikan positif yang mengiyakan keyakinan saya sendiri. Akal waras saya terpecah dua!

Ditakdirkan ketika itu saya menjadi pengawas dan bertemu dengan guru pembimbing iaitu Allahyarham Haji Taifor Muhyidin. Beliaulah yang telah menukar saya sejarak 180 darjah. Daripada seorang pelajar lembab kepada pelajar yang mampu untuk berdikari dan kenal potensi diri.

Beliaulah yang banyak memberi motivasi kepada saya serta mengajar saya teknik dan kemahiran belajar. Atas galakan beliau, saya memberanikan diri menyertai PRS walaupun ketika itu hanya saya seorang sahaja yang menyertainya. Saya bersama beberapa orang junior dibentuk dan diasuh oleh allahyarham untuk sama-sama menubuhkan syarikat konsultan pada masa akan datang. Memang kami masih bersekolah, tapi pemikiran kami telah dibawa jauh menerokai masa depan. Jauhnya lontaran harapan dan pandangan beliau, subhanallah!

Ironinya, pelajar corot yang sering diejek-ejek ini akhirnya berjaya menjejakkan kaki ke universiti! Alhamdulillah. Ketika di universiti, saya terpaksa berdepan dengan satu desakan yang berjaya memaksa saya terus bergelut menawan kelemahan. Ketika itu, cuma pelajar yang aktif sahaja akan dibenarkan tinggal di kolej. Jika tidak, mereka terpaksa menyewa di luar kampus. Menyedari keluarga yang kurang berkemampuan, maka saya ikhtiarkan diri untuk turut bergiat aktif dengan mana-mana persatuan. Saya masih ingat detik-detik ‘indah’ yang menjadi batu loncatan untuk saya terus melangkah ke hadapan. Saya sertai sebuah kelab yang diminati sejak kecil iaitu kelab Debat dan Pidato!

“Kamu ini bercakap seperti menteri yang malas menjawab soalan wartawan. Intonasi suara kamu pula, seperti orang yang membuat pengumuman hari raya,” kata guru saya.

Saya dibalun dan teruk dikritik sebab cara saya bercakap memang tidak nampak gaya pendebat langsung. Senang cerita, saya terpaksa akui bahawa saya memang tiada bakat. Tambah lagi dengan kepekatan loghat Kelantan yang sukar saya buang.

Tetapi tidak mengapa. Saya ambil kritikan guru saya sebagai motivasi untuk terus berjaya. Tapi kenyataan memang pahit untuk ditelan. Tahun pertama sertai debat, saya sudah teruk dibantai. Setiap kali pertandingan, kumpulan kami dibantai. Jarang-jarang kami beroleh trofi kemenangan. Namun, tanpa mengenal putus asa, latihan demi latihan terus dijalankan sehingga otak terasa tepu!

“Wei, sudah-sudahlah jadi gila! Tak habis-habis nak bercakap seorang diri depan cermin. Tidur! Jam tiga pagi masih sibuk berlatih semata-mata debat, seksa diri saja!” ujar kawan saya.

Saya hanya memekakkan telinga. Sindirannya langsung tidak mematahkan semangat saya yang membara! Sebenarnya, saya sudah kebal dengan ejekan kerana terlalu biasa dikecam sejak sekolah rendah.

Tahun kedua merupakan tahun bertuah saya. Berkat usaha selama ini, alhamdulillah kami memenangi banyak pertandingan sehingga terpilih mewakili universiti dan akhirnya saya dinobatkan pendebat terbaik 2013!

Subhanallah, laju air mata saya menitis kegembiraan. Ketika itu, barulah segala impian saya sejak kecil untuk membuatkan diri ini dihormati menjadi kenyataan.

Tahun ketiga, saya mengambil keputusan untuk mengurangkan penglibatan dalam debat untuk fokus kepada dunia baharu yang menjadi cita-cita iaitu motivator atau penceramah bebas. Saya membuat kerja sambilan sebagai penceramah di universiti sebagai langkah untuk mengasah bakat dan kemahiran.

Setelah bergraduasi saya mengambil keputusan untuk menambah pengalaman lagi dengan sertai dua buah syarikat konsultan sebagai penceramah. Saya pernah bekerja di bawah syarikat naungan Ustaz Haryanto Rizal Rokman yang merupakan selebriti popular. Sehingga tahun terakhir saya mengambil keputusan berhenti kerja.

“Kau gilakah nak berhenti kerja saat kau stabil? Orang zaman sekarang susah nak cari kerja beb! Kau pula berhenti kerja,” marah kawan saya.

Tak, saya tak gila! Saya berbuat demikian kerana saya ingin kembali semula bersama pasukan konsultan lama yang diasaskan oleh Allahyarham Haji Taifor Muhyidin pada zaman sekolah dahulu. Di situlah si penulis kecil ini bermula dan di situlah juga saya mahu kembali berbakti.

Pengalaman yang mahal! Menelusuri jejak zero to hero ini tidak membuatkan saya berasa diri sudah cukup berjaya, tetapi sudah cukup untuk membuatkan saya berasa puas kerana telah mencuba sedaya upaya. Menjadi seorang yang berada di titik terendah lalu cuba bangkit untuk menjadi seorang yang mampu berbakti dan lebih dihormati telah menemukan saya dengan beberapa panduan yang ingin saya kongsikan.

Di mana rahsia kekuatan saya? Apakah yang menjadi asbab kejayaan demi kejayaan saya?

  • PERTAMA, wajib hormati ibu bapa kerana terlalu besar jasa mereka yang selalu mendoakan kita.
  • KEDUA, wajib hormati guru kerana gurulah yang membentuk diri kita di sekolah dan memberikan kita ilmu sebagai bekal untuk hidup.
  • KETIGA, buat apa yang kita suka, kenal pasti minat kita, jangan ikut-ikut orang kerana hakikatnya Allah sudah tentukan bahawa potensi dan jalan hidup setiap orang berbeza-beza.

Apa yang penting, kita mesti berani mengikut naluri hati kita. Jangan mudah terpengaruh dengan kata-kata negatif.

Sudah pasti hari ini saya tidak mampu menjadi seorang penceramah! Terakhir, soal tekad. Ia datang selari dengan niat yang kuat. Tekad yang kuat akan menjulangkan semangat. Semangat yang membara di dalam jiwa adalah seumpama api yang menjulang ke langit. Apa saja yang cuba menghalangnya akan hancur menjadi abu!

***
Petikan buku Hero Kelas Corot tulisan Al-Fatihe Hanafiah.

Pembelian buku terbitan Galeri Ilmu secara dalam talian boleh dibuat melalui laman web atau pesanan WhatsApp.













Scroll to Top