Benarkah Dosa Akan Terhapus Jika Berdoa di Hari Arafah?

HARI ARAFAH,
HARI PENGAMPUNAN DOSA?

Kaaba, Mecca

Adakah benar orang yang berdoa pada Hari Arafah akan diampunkan semua dosanya?

Jawapan:

Ya, benar. Hari Arafah adalah tempat untuk diturunkan rahmat Allah dan dihapuskan segala dosa hamba-hamba. Hari ini juga diampunkan dosa-dosa dan dibebaskan mereka daripada api neraka.

Diriwayatkan daripada Aisyah daripada Nabi SAW bersabda (yang bermaksud):

 “Tidak ada hari yang terlebih banyak Allah ampunkan dosa hamba-Nya pada hari itu selain daripada Hari Arafah. Sesungguhnya Allah melimpahkan rahmat kemudian berbangga dengan ahli Arafah terhadap malaikat. Lalu bertanya, ‘Apakah yang mereka mahukan’?”
(Riwayat Muslim)

Diriwayatkan daripada Ibnu Umar r.a. bahawa Nabi SAW bersabda (yang bermaksud): 

Sesungguhnya Allah bermegah terhadap malaikat pada waktu A’syiyyah Arafah (waktu selepas asar hari Arafah) dengan ahli Arafah, lalu berfirman: ‘Lihatlah kamu semua kepada hamba-hamba-Ku, mereka telah datang kepada-Ku dalam keadaan kusut dan berdebu’.
(Riwayat Ahmad)

Abdullah bin Mubarak pernah berkata:

“Aku telah datang kepada Sufian al-Thauri pada waktu A’syiyyah Arafah (waktu selepas asar Hari Arafah) dia dalam keadaan duduk di atas dua lututnya, sedang dua matanya mengalir deras, lalu dia pun menoleh ke arahku, aku pun bertanya kepadanya:

‘Siapakah yang paling buruk keadaannya’, lalu dijawabnya: ‘Orang yang paling buruk keadaannya ialah orang yang menyangka bahawa Allah tidak mengampunkannya’.”

Apabila seorang Muslim/Muslimah pulang daripada ibadah haji bagaimanakah perubahan di antara sebelum dan selepas mengerjakan haji?

Jawapan:

Sesungguhnya Nabi SAW telah memberitahu bahawa apabila seseorang pulang daripada mengerjakan haji, nescaya dia telah pulang seperti hari dia dilahirkan oleh ibunya. Inilah hakikat yang dirasai oleh setiap yang mengerjakan haji di Baitillah kerana dosa itu sangat berat ke atas manusia. Apabila diampunkan daripada dosa, orang Islam itu merasai dirinya ringan untuk mengerjakan ibadah dan menghampirkan dirinya kepada Allah SWT

Apakah kewajipan yang dilakukan oleh seseorang yang mengerjakan ibadah haji sepanjang dia berada di Arafah?

Jawapan:

Bermula waktu wukuf di Arafah ialah apabila tergelincir matahari hari ke-9 Zulhijjah hingga terbit fajar hari al-Nahr iaitu hari pertama Raya Korban.

Sebaik-baiknya seorang yang menunaikan haji itu menghimpunkan wukufnya; sebahagian daripada waktu siang dan sebahagian waktu malam. Disunatkan seorang jemaah haji itu menjaga kesuciannya yang sempurna pada tempat wukuf yang mulia ini.

Disunatkan juga dia menghadap kiblat dan membanyakkan doa dan zikir. Amalan ini berdasarkan sabda Rasulullah SAW (yang bermaksud):

“Sebaik-baik doa adalah doa Hari Arafah dan sebaik-baik kalimah aku dan para anbia sabdakan ialah:
Disunatkan memperbanyakkan tahlil, tasbih dan takbir pada hari ini. Diriwayatkan daripada Ibnu Umar r.a. katanya: “Kami pernah bersama Rasulullah SAW pada waktu siang Hari Arafah, sebahagian daripada kami bertakbir dan sebahagian daripada kami bertahlil.”
(Riwayat Muslim)

Disunatkan juga jemaah haji menunaikan solat zuhur dan asar secara jamak dan qasar pada waktu zuhur secara dua rakat dua rakaat. Tidak disunatkan bagi jemaah haji berpuasa pada Hari Arafah. Telah datang riwayat daripada Nabi SAW bahawa Baginda tidak berpuasa pada hari itu supaya puasa itu tidak menyibukkan dirinya daripada berdoa. Atho’ berkata:

“Sesiapa yang tidak berpuasa pada Hari Arafah kerana ingin menguatkan dirinya untuk berdoa, maka sesungguhnya baginya ganjaran pahala seperti orang yang berpuasa.”  

Dipetik daripada Majalah Anis September 2016

Leave a Comment

Scroll to Top