3 Jenis Hak Isteri yang Suami Kena Tahu

Lelaki sebagai pemimpin.

Kaum lelaki itu adalah pemimpin bagi kaum wanita, oleh kerana Allah telah melebihkan sebahagian mereka (lelaki) atas sebahagian yang lain (wanita) … .” (An-Nisa’ 4: 34)

Allah SWT menggunakan perkataan (ar-Rijal) berbanding (adzDzukur) kerana letupan-letupan bahasa (bahasa naluri) yang terhasil ketika menyebutnya telah melambangkan kehebatan perkataan itu. Seorang lelaki yang berkeinginan untuk memimpin keluarganya perlu memiliki lapan sifat terlebih dahulu. Dalam erti kata lain, bagaimana untuk menjadi suami berwatak rijal menurut al-Quran dan hadis Nabi SAW.  

Antaranya ialah dengan mengetahui hak isteri dan batasannya.

Seorang suami perlu mengetahui segala hak isterinya dan batasan untuk memenuhi hak itu. Elakkan daripada menangguhkan atau mencuaikan pemberian nafkah yang selayaknya diterima oleh isteri. Batasan hak seorang isteri merangkumi tiga jenis hak atau nafkah, iaitu;

i. Nafkah Dharuriyyat

Nafkah yang penting dan perlu disediakan dan dipenuhi oleh suami dalam apa jua keadaan. Contohnya, keperluan makanan, minuman dan tempat tinggal yang selesa. 

ii. Nafkah Hajiyyat

Perkara yang bukan berbentuk keperluan tetapi penting untuk menyediakannya. Nafkah ini perlu dipenuhi mengikut kadar kemampuan suami. Contohnya, keperluan telefon dan kereta.

iii. Nafkah Tahsiniyyat

Perkara yang bukan berbentuk keperluan dan tidak terlalu penting untuk diberikan dan dimiliki oleh isteri. Suami boleh menyediakan keperluan ini sekiranya berkemampuan. Namun tidak menjadi kesalahan jika tidak berkemampuan untuk menyediakannya. Contohnya, barangan kemas, peralatan solek, barangan kosmetik dan perkara berbentuk kemewahan.

Tiada istilah sudah terlambat bagi seorang suami untuk membina perwatakan sebagai seorang rijal kepada keluarganya. Sejujurnya, isteri sangat menyukai suaminya yang menerajui dan memimpin keluarganya dengan baik. Seandainya suami gagal melakukan hal itu, isteri terpaksa mengambil alih tugas sebagai pemimpin keluarga.

Jika ini berlaku, ketokohan suami dalam memimpin rumah tangga akan mula berkurangan. Oleh sebab itulah, seorang suami perlu segera berperwatakan sebagai seorang pemimpin bagi keluarganya sesuai dengan apa yang telah diperintahkan oleh Allah SWT kepada umat manusia.

 

Petikan buku Keluarga Idaman Syurga karya Ustaz Muhamad Abdullah Al-Amin. Panduan untuk menghadapi cabaran dalam berumah tangga dan berkeluarga berpandukan ayat-ayat suci al-Quran al-Karim didedahkan dalam buku ini. Penulis menghimpunkan 40 ayat-ayat al-Quran tentang kekeluargaan dan rumah tangga. Buku ini membincangkan pelbagai teknik dan tip untuk mengenal pasti isu dan masalah, bagaimana untuk memahami punca lalu mencadangkan jalan penyelesaian terbaik berpandukan ayat-ayat suci al-Quran.

Scroll to Top