Uji dan Puji: Mendidik Gaya Rasulullah - Galeri Ilmu

Uji dan Puji: Mendidik Gaya Rasulullah

Dalam mendidik Baginda menguji beberapa Sahabat dengan cara bertanya mengenai sesuatu ilmu bagi menguji kecerdikan dan pengetahuannya.

Jika jawapan Sahabat tersebut tepat dan betul, maka Baginda akan memujinya dan menepuk dada Sahabat tersebut sebagai menandakan bahawa dia layak menerima kasih sayang daripada Rasulullah SAW dan sebagai suatu penghargaan daripada Baginda terhadap jawapannya yang
tepat itu.

Antara hadis yang menunjukkan perkara ini ialah:

Diriwayatkan oleh Sayyidina Ubai bin Ka‘ab (gelaran yang
diberikan kepada beliau ialah Abu Munzir) dia berkata, telah bersabda Rasulullah (yang bermaksud):
“Wahai Abu Munzir, apakah ayat al-Quran yang paling agung di sisimu?” Daku (Abu Munzir) menjawab: “Bahawa Allah SWT dan Rasul-Nya lebih mengetahui tentang perkara tersebut.”

Rasulullah bertanya lagi: “Wahai Abu Munzir! Adakah kamu tahu apakah ayat al-Quran yang paling agung di sisimu?” Aku menjawab: “Ayat al-Kursi!” Lalu Rasulullah menepuk dadaku dan bersabda: “Moga ilmumu akan diberkati wahai Abu Munzir.”

(Riwayat Muslim)

Pengajaran hadis:

  1. Kelebihan yang ada pada ayat Kursi sehingga disebut dalam sebuah hadis yang lain:
    Sesiapa yang membaca Ayat al-Kursi selepas setiap solat fardu, tidak ada perkara yang menghalangnya untuk masuk ke dalam syurga melainkan mati (ertinya: dia akan terus dimasukkan ke dalam syurga setelah kematiannya berkat Ayat al-Kursi yang diamalkannya selepas setiap solat fardu).
  2. Seorang pendidik perlulah menunjukkan kasih sayangnya kepada anak murid seperti yang ditunjukkan oleh Baginda Rasulullah

Dipetik daripada buku bertajuk Mendidik Gaya Rasulullah tulisan Dr. Shuhadak Mahmud.





Scroll to Top