Takhrij Doa Akhir dan Awal Tahun - Galeri Ilmu

Takhrij Doa Akhir dan Awal Tahun

Pertanyaan:

Ada disebut tentang kelebihan membaca doa awal dan akhir tahun. Antaranya : Barang siapa yang membaca doa awal tahun ini, insya-Allah dirinya akan terpelihara daripada gangguan dan godaan syaitan di sepanjang tahun tersebut.

Dari manakah asalnya? Dan bolehkah kita mengamalkannya?

Jawapan:

Ada yang menyebut bahawa doa akhir dan awal tahun terdapat di dalam kitab al-Jami’ al-Kabiroleh Imam al-Suyuti. Teks doa akhir tahun tersebut:

اللهم ما عملتُ في هذه السنةِ مما نهيتني عنه ولم ترضه، وحلمتَ عليّ فيه مع قدرتك على عقوبتي، ودعوتني إلى الطاعة بعد جرأتي على معصيتك فإني أستغفرك منه ، وما عملتُ فيها من عملٍ ترضاه ووعدتني عليه الثوابَ فإني أسألك أن تتقبله مني ولا تقطع رجائي منك يا كريم وصلى الله على سيدنا محمد وعلى آله وصبه وسلم .

Manakala teks doa awal tahun:

اللهم أنت الأبديُّ القديم وهذه سنةٌ جديدة أسألك فيها العصمةَ من الشيطانِ وأوليائه والعونَ على هذه النفسِ الأمّارةِ بالسوء والاشتغالَ بما يقربني إليك وإلى رضاك يا كريم يا ذا الجلال والإكرام،

Juga dinyatakan kelebihannya; akan dipelihara daripada syaitan dan dipermudahkan segala urusannya, dan jika ia hidup hingga akhir tahun, syaitan akan berkata: “Kami telah hampa daripadanya sepanjang tahun ini”.

Bagaimanapun, setelah disemak doa ini tidak ditemukan di dalam kitab al-Jami’ al-Kabir yang ada sekarang. Maka tidak dapat dipastikan dari manakah sumber sebenar riwayat doa ini. Justeru, sebagai berwaspada kita tidak boleh menyandarkannya kepada Nabi SAW.

Namun, dari sudut pengamalan, doa berkenaan tidak mengandungi perkara yang menyalahi syarak, maka harus untuk kita membacanya berdasarkan dalil umum suruhan dan galakan agar berdoa. Dengan syarat jangan kita yakinmemperolehi ganjaran seperti yang dinyatakan, namun tidak mengapa jika kita mengharapkannya sahaja kerana harapan itu adalah termasuk doa dan sangka baik terhadap Allah SWT.

والله أعلم

Kredit : Ustaz Khafidz Soroni

***

Penulis artikel ini merupakan penulis buku Q&A Hadis dan buku Hadis Bukan Sekadr Sahih atau Tidak. Kini beliau seorang pemegang Ijazah Doktor Falsafahdalam dan bergelar Dr. Khafidz Soroni dan merupakan seorang pakar dalam bidang hadis. Buku-buku ini boleh didapati melalui pembelian Pakej Celik Hadis.

Klik sini untuk butiran lanjut: JUALAN HIJRAH MERDEKA 2020/1442H

Scroll to Top