Susur Galur Arafah - Galeri Ilmu

Susur Galur Arafah

Susur Galur Arafah

Padang Arafah menjadi saksi jutaan umat manusia berkumpul, mengagungkan Allah SWT dan memohon keampunan daripada-Nya ketika berwukuf iaitu salah satu rukun dalam ibadat haji. Berwukuf bermaksud berada di bumi Arafah setelah berniat haji pada tempoh masa tertentu iaitu dari gelincir matahari 9 Zulhijjah sehingga subuh 10 Zulhijjah.

Sudah tentu, Arafah mempunyai kelebihan dan keistimewaannya yang tersendiri kerana dipilih oleh Allah SWT menjadi tempat pengampunan, penurunan rahmat Allah SWT dan pengumpulan jemaah haji seluruh dunia pada setiap tahun.

Menurut Dato’ Haji Md. Daud Che Ngah, Padang Arafah mempunyai sejarahnya yang tersendiri. Antaranya adalah:

1. Menjadi Tempat Nabi Adam dan Hawa Memohon Keampunan Allah SWT

Adam dan Hawa dikhabarkan memohon ampun di Jabal Rahmah di Arafah ini kerana mereka telah melakukan kesilapan di dalam syurga iaitu termakan buah khuldi yang dilarang oleh Allah SWT. “Adam sebagai manusia terlupa dengan arahan Allah SWT untuk tidak menghampiri pohon buah khuldi itu kerana syaitan telah mengganggu mereka menyebabkan mereka terkeluar dari syurga, lalu mereka turun bertemu di Jabal Rahmah. Di situ, mereka memohon ampun bersungguh-sungguh dan akhirnya, setelah begitu lama memohon keampunan, Allah menerima taubat mereka,” jelasnya.

2. Nama Pengenalan Adam dan Hawa

Nama Arafah diambil sempena nama pengenalan Adam dan Hawa ketika berjumpa semula setelah berpisah hampir 40 tahun. Ada juga sesetengah ulama mengatakan hampir 100 tahun mereka mencari antara satu sama lain ketika diturunkan dari syurga dahulu, kemudian bertemu di Arafah. “Pertemuan ini dipanggil ‘arafah’ bermaksud pengenalan iaitu pengenalan di atas dunia sedangkan pengenalan awal mereka di dalam syurga. Jadi, itu juga dipanggil Arafah,” ujarnya. 

3. Perintah Allah kepada Nabi Ibrahim a.s.

Setelah Nabi Ibrahim a.s. siap membina Kaabah di Makkah, maka Allah SWT memberi arahan kepadanya melalui Malaikat Jibril supaya pergi ke Arafah. Apabila Nabi Ibrahim a.s. tiba di Arafah, tempatnya lapang dan kosong. Maka, Malaikat Jibril bertanya kepada Nabi Ibrahim a.s., “Adakah engkau tahu?” Nabi Ibrahim pun menjawab, “Araftu”, yang bermaksud “Aku tahu atau faham”. “Oleh sebab itu dipanggil Arafah, iaitu Nabi Ibrahim tahu dan faham berkenaan Arafah yang menjadi tempat penurunan rahmat Allah SWT dan segala keampunan-Nya di situ,” tegasnya.

Petikan Majalah Anis keluaran September 2016.

Scroll to Top