Skrip Kehidupan - Galeri Ilmu

Skrip Kehidupan

Skrip kehidupan inilah jika dilalui dengan penuh iltizam dan istiqamah, akan menghasilkan kemenangan yang bersepadu antara diri dan masyarakat, material dan spiritual, dunia dan akhirat. Kita akan mendapat apa yang sepatutnya dan sewajarnya kita dapat.

Sebaliknya, jika apa yang kita lihat tersalah ataupun tersasar, maka apa yang kita dapat juga akan tersasar. Kita akan menyesal di dunia, lebih-lebih lagi di akhirat kerana kita dapat apa yang sepatutnya ‘tidak kita dapat’. Terasa benarlah hidup di dunia hanya sia-sia.

Inilah yang digambarkan oleh firman Allah (yang bermaksud):

Sesungguhnya (dengan keterangan yang tersebut), Kami memberi amaran kepada kamu mengenai azab yang dekat masa datangnya – iaitu hari seseorang melihat apa yang diusahakannya, dan (pada hari itu) orang yang kafir akan berkata: “Alangkah baiknya kalau aku menjadi tanah (supaya aku tidak dibangkitkan untuk dihitung amalku dan menerima balasan).” (Surah an-Naba’ )40 :78

Apakah hanya apabila kita berada di dalam kubur, barulah kita akan tersentak (tersedar) dalam memahami apa sebenarnya hakikat hidup ini? Pada waktu itu baru kita faham dan akur tentang apa tujuan kita dihidupkan di dunia. Dan di situ jualah baru kita sedar apa yang paling bernilai dan apa yang tidak bernilai dalam hidup. Pendek kata sewaktu itulah pandangan kita tentang hidup (worldview) akan tepat dan jelas.

Namun sayang sekali, di sana segala-gala yang tepat dan jelas itu sudah tidak berguna lagi.

Kata hukama: “Beramallah ketika berada di tempat yang tidak ada ganjaran tetapi ada peluang beramal (dunia), sebelum kita berpindah ke tempat yang hanya ada ganjaran tetapi sudah tidak ada peluang beramal (akhirat).”

Oleh itu adalah lebih baik kita terlebih dahulu sedar ketika hidup di dunia (kerana kita masih ada peluang untuk memperbaiki diri dan membetulkan kesilapan), daripada kita tersedar ketika berada di alam kubur, yang pada ketika itu segala-galanya sudah tidak berguna lagi.

Umar bin Abdul Aziz pernah berkata, “Manusia diciptakan untuk selamanya.” Mengapa Umar berkata begitu? Ini kerana apabila manusia telah diciptakan buat kali pertama, dirinya akan terus hidup dan mengembara dari satu alam ke satu alam. Kembara ini hanya akan berakhir sama ada di syurga atau di neraka. Di perhentian terakhir itulah manusia akan hidup berkekalan sama ada dengan dilimpahi nikmat atau mendapat azab buat selama-lamanya. Sebelum tiba di titik pengakhiran itu, manusia akan terus mengembara. Ada kalanya bersama jasad, ada masanya hanya dengan roh sahaja. Setiap alam berbeza daripada alam sebelumnya.

Kembara itu adalah satu perjalanan yang panjang. Penuh ujian dan cabaran. Dan perbezaan alam itu menuntut peranan dan respon yang berbeza pula. Apakah alam-alam itu?

***
Ingin membaca sambungan artikel ini? Selak buku 7 Langkah Baiki Diri pada halaman 40. Buku ini merupakan karya Ustaz Pahrol Mohamad Juoi. Pembelian buku secara dalam talian boleh dibuat melalui:


Scroll to Top