Panduan Imam & Makmum: Mufaraqah (Berpisah daripada Imam)

PENGERTIAN MUFARAQAH

Dari segi bahasa mufaraqah ialah berpisah atau meninggalkan. Manakala dari segi istilah pula, pengertian mufaraqah itu adalah serupa sepertimana pengertiannya dari segi bahasa.

Dalam solat berjemaah mufaraqah berlaku apabila makmum niat berpisah daripada mengikut imam. Dengan berniat mufaraqah maka terputuslah hubungan solat makmum dengan solat imam, dan apa juga hukum yang berlaku ke atas imam tidak akan menjejaskan hukum solat makmum seperti hukum mengikut imam atau hukum imam terlupa atau tersilap.

Sayyid Abdurrahman Ba‘alawi rahimahullahu Ta‘ala dalam kitabnya Bughyah al-Mustarsyidin, menyebutkan bahawa:

“Sesungguhnya perihal berpisah daripada mengikut imam dalam solat berjemaah adalah tertakluk kepada hukum-hakam yang lima. Wajib (berpisah daripada mengikut imam), umpamanya apabila melihat imam melakukan perkara yang membatalkan solat, dan sunat (berpisah daripada mengikut imam) apabila melihat imam tertinggal sunat solat, dan harus (berpisah daripada mengikut imam), umpamanya apabila mendapati imam memanjangkan solat, dan makruh (berpisah daripada mengikut imam) tanpa keuzuran, kerana yang demikian itu meninggalkan fadhilat berjemaah, dan haram (berpisah daripada mengikut imam) jika yang demikian itu menyebabkan syiar tidak menyerlah (kewajipan agama) atau solat jemaah itu merupakan satu kewajipan seperti solat Jumaat.”

[Lihat; Bughyah al-Mustarsyidin, (122)]

KEUZURAN YANG MEMBOLEHKAN MAKMUM NIAT MUFARAQAH

  1. Imam terlalu lama memanjangkan bacaannya.
  2. Imam sengaja meninggalkan sunat ab‘adh ( أبعاض ) seperti tasyahud awal, maka harus makmum bermufaraqah dengan tujuan untuk melakukan sunat itu.
  3. Makmum bermufaraqah kerana sakit yang dialaminya.
  4. Bimbang mengantuk yang menguasainya atau sesuatu yang boleh merosakkan solatnya.
  5. Bimbang hilang atau binasa hartanya atau ketinggalan rombongannya. [Lihat; al-Mu‘tamad fi al-Fiqh asy-Syafi‘i, (1/450)]

NOTA TAMBAHAN

  • Mufaraqah daripada imam disebabkan keuzuran yang dibenarkan tidak meluputkan fadhilat berjemaah.
  • Kadangkala mufaraqah itu wajib seperti kedatangan sesuatu yang membatalkan solat imamnya sedangkan makmum tahu keadaan itu, maka wajiblah dia berniat mufaraqah dengan segera. Kalau tidak, nescaya batal solatnya walaupun dia tidak ikut perbuatan imam selanjutnya. [Lihat; al-Majmu‘ Syarh al-Muhazzab, (4/213-215)]
  • Memberi salam lebih dahulu daripada imam tanpa niat mufaraqah membatalkan solat kerana makmum itu melakukan dua perkara haram iaitu mendahului imam dengan satu rukun dan berpisah daripada imam tanpa niat mufaraqah. [Lihat; al-Qaul at-Tam fi Ahkam al-Makmum wa al-Imam, (23-24)]

    ***

Petikan buku Panduan Imam & Makmum: Memperhalusi Hukum-hakam Solat Berjemaah karya Ustaz Hazri Hashim al-Bindany.
Pembelian buku secara dalam talian boleh dibuat melalui:

Scroll to Top