Pada Dia, Ada Kita

Aku ingin menulis sejuta bab tentang kehidupan. Sungguh, banyak yang ingin kuperkatakan; Tentang manusia dan kerenahnya yang kadang tidak dijangka. Tentang dia yang memberi harapan lalu menghancurkannya. Tentang dia yang kaya dengan prasangka hingga segalanya huru-hara. Tentang dia yang rasa berkuasa lalu cuba mengawal segala-galanya. Tentang dia yang selalu iri melihat orang berjaya. Tentang dia yang selalu lupa bahawa semua takdir sudah tersurat di sana lalu masih mahu mempertikaikannya.

Aku ingin mengira kerenah dia dan dia tapi tidak berdaya. Terlalu banyak! Barangkali ada sejuta. Atau barangkali lebih lagi, bab demi bab yang boleh kukarang tentang manusia. Mungkin!

Yang pasti, pada bab terakhirnya, aku ingin menulis tentang cermin. Tugasnya membias cahaya. Jujur mempamerkan wajah sebenar kita.

Sungguh, yang terpantul memang telah muncul. Yang dipandang bukan bayang-bayang. Realitinya ada! Persis kita. Persis aku, kau dan dia. Kerenah dia, dia dan dia yang kita kata itu sebenarnya ada dalam diri kita.

Cuma berbeza pada sedikit atau banyaknya. Berbeza pada tertutup atau terbuka aibnya. Berbeza pada terkawal atau hilang kawalannya. Tapi yang pasti, ada satu hal yang sama … dia ada dalam diri kita. Pada kita juga ada dia! Muhasabah diri kita. Sungguh muhasabah yang benar akan menerbitkan suatu rasa. Rasa malu pada Dia!


***
Petikan buku Cinta Sentiasa Menang tulisan Bonda Nor.

Saksikan kemunculan penulis yang membicarakan tentang buku ini pada 15 Oktober 2020 di Shopee Live Galeri Ilmu Official.

Scroll to Top