Oh, My English! - Galeri Ilmu

Oh, My English!

Berbekalkan keputusan Sijil Pelajaran Malaysia Gred 2 akhirnya saya dapat menyambung pelajaran di Institut Teknologi Mara (ITM, sekarang UiTM) dengan kursus Diploma in Actuarial Science. Cikgu saya ada bertanya kursus ini mengenai apa?

“Entahlah cikgu, saya kena masuk dan belajar dahulu baru saya boleh cerita,” jawab saya.

Sudah mula belajar, baru tahu sesuatu yang buat saya terkedu. Alamak, rupa-rupanya pembelajaran di ITM ini menggunakan Bahasa Inggeris sebagai bahasa pengantar! Bagi saya anak kampung yang hanya bercakap Bahasa Melayu sahaja agak bermasalah juga.

Semasa semester satu, ada enam subjek yang dipelajari dan hanya Tamadun Islam sahaja yang diajar dalam Bahasa Melayu. Kejutan budaya jugalah. Alhamdulillah, saya berjaya melepasi cabaran semester satu.

Mulai semester dua, saya sudah mula mempelajari subjek teras. Agak susah juga untuk memahaminya. Penguasaan Bahasa Inggeris menjadi masalah utama. Semua pensyarah yang mengajar kami ketika itu menggunakan Bahasa Inggeris sepenuhnya. Aduhai!

Akibatnya, saya gagal tiga subjek daripada enam subjek yang diambil dalam semester dua. Salah satunya adalah Bahasa Inggeris. Menggigil saya menerima keputusan itu. Apakah masih ada masa hadapan untuk saya? Tiada sesiapa dalam keluarga saya mengetahuinya. Biarlah! ‘Simpanlah kebodohan kau tu seorang diri.’ Bimbang juga jika emak mengetahuinya, pasti emak akan kecewa dan kakak akan memarahi saya.

‘Kau hendak berjaya tetapi cukupkah usaha kau?’ Getus hati saya. Mungkin juga saya belum mendapat cara belajar yang betul. Dan mungkin juga saya belum betul- betul bersungguh! Nekad, saya mahu perbaiki cara pembelajaran saya!

Malangnya semester ketiga saya gagal lagi dua subjek. Ya Allah, tak boleh nak bayangkan perasaan saya ketika itu. Bagai kaca terhempas ke batu daripada tingkat sepuluh rasanya. Apa akan jadi sekiranya saya dibuang daripada ITM? Mana nak letak muka? Kami bukan orang senang, sayalah anak pertama yang berjaya memasuki institusi pengajian tinggi. Allahu Rabbi.

Kursus saya ini tempoh pengajiannya empat tahun walaupun hanya diploma sahaja. Semester keempat dan ketujuh kami akan menjalani latihan industri sepenuh masa. Saya perlu mengulang subjek teras yang gagal bersama junior. Sedih juga melihat kawan-kawan lain gembira mempelajari subjek baru pada setiap semester. Saya pula perlu menambah subjek mengulang.

Enggan mengalah, saya gigih cuba perbaiki Bahasa Inggeris saya. Di dalam kelas Mr.Sam, saya cuba mengambil bahagian di dalam perbincangan kelas. Pernah sekali, Mr.Sam berkata, “Okey, speak in Bahasa,” selepas melihat betapa susahnya saya nak menerangkan jawapan saya dalam Bahasa Inggeris.

Semasa semester keempat saya menjalani latihan industri di sebuah syarikat insurans terkenal di Kuala Lumpur. Sahabat baik saya, Cham pula menjalani latihan industri di syarikat insurans yang lain tidak jauh daripada pejabat saya. Cabaran sungguh bagi saya kerana majoriti kakitangan adalah bukan Melayu, semua dokumen dalam Bahasa Inggeris dan bahasa komunikasi juga dalam Bahasa Inggeris.

Segala sifat peramah saya hilang dan saya menjadi seorang yang pendiam. Hanya menunjukkan muka senyum sahaja menggantikan perbualan. Saya ingatkan saya seorang sahaja yang begitu, rupa-rupanya Cham juga sama. Penat berlakon menjadi gadis yang pendiam walaupun hakikatnya saya suka bercakap.

Tengah hari Jumaat itu, saya dan Cham berjanji untuk berjumpa di luar pejabat. Pecah perut kami ketawa menceritakan lakonan kami menjadi pendiam kerana tidak berani berkomunikasi dalam Bahasa Inggeris. Tak sangka pula tingkah kami tersebut diperhatikan oleh kerani pejabat saya.

“Saadiah, saya nampak awak bergelak ketawa dengan kawan awak tadi. Awak bukan pendiam rupa-rupanya! Tetapi, kenapa awak jarang bercakap di pejabat ini?” Soalnya kehairanan.

“Ya, saya bukan pendiam. Saya takut nak bercakap dalam Bahasa Inggeris, takut salah dan takut orang ketawakan,” jawab saya takut-takut.

Kerani tersebut terus menasihati saya supaya bercakap dalam Bahasa Inggeris tanpa perlu risau kesalahan tatabahasa. Oh, sejak hari itu, saya mula cuba berkomunikasi dalam Bahasa Inggeris dengan mereka. Bedal sahaja!

Dalam masa yang sama, saya gigih mengulang sebahagian subjek yang gagal semasa latihan industri. Alhamdulillah, saya berjaya menghabiskan diploma dan bergraduan bersama-sama rakan sekelas dengan Purata Markah Semester(PMS) 3.2. Allahuakbar!

Ada beberapa tip saya ingin kongsikan kepada pembaca.

  1. Kuasai bahasa dengan menggunakannya dalam perbualan.
    Gunakan bahasa asing tanpa risau akan kesalahan tatabahasa. Semakin digunakan kita akan dapat menyesuaikan perkataan yang digunakan dengan situasi. Apabila keyakinan diri sudah ada, semuanya akan menjadi mudah.
  2. Kuasai subjek berkaitan pengiraan dengan yang pelbagai aras.
    Buat semua latihan bagi setiap topik untuk menambah kemahiran topik tersebut di samping soalan penggayaan dan tahun-tahun lepas. Buat sendiri ya, bukan sekadar tiru jawapan kawan
  3. Mohon doa kepada Allah.
    Allah tempat utama kita menggantungkan harapan. Dia kalau nak selesaikan masalah kita, sekejap saja. Jadi, berdoalah agar Allah memberikan kefahaman dalam kita belajar dan diberi kesabaran menghadapi cabaran berkaitannya.

    ***

    Petikan buku Relaks-lah, antologi kelolaan Bonda Nor. Salah satu kisah yang dimuatkan ialah Oh, My English tulisan Saadiah Kamiso. Beliau pernah menjadi seorang pengetua di sebuah sekolah dan kini telah bersara aktif menulis.

    Ayuh bersama para penulis di FB Live Galeri Ilmu pada 27 Oktober 2020 nanti!
Scroll to Top