Menyesali Masa Lalu - Galeri Ilmu

Menyesali Masa Lalu

Masa akan terus berlalu, meninggalkan banyak memori dan kenangan lalu. Ada seorang ayah dan ibu yang terlalu sibuk dengan pekerjaannya sehingga terlepas momen-momen indah melihat anak-anaknya membesar. Kini, semuanya sudah dewasa dan keadaan sudah berubah.

Ada seorang anak yang terlalu sibuk dengan cita-cita dan keluarga barunya sehingga terlepas momen indah untuk menjaga mereka di saat tua. Kini yang tinggal hanya pusara sebagai ingatan. Sudah terlambat untuk dikesal.

Masa berlalu begitu pantas hingga membuat kita lupa tanggungjawab kita. Banyak perkara yang telah lama berlalu. Ada begitu banyak peristiwa dan kenangan indah yang dilepaskan dengan begitu saja. Kerana terlalu sibuk mencari harta kebendaan di dunia, ada hati-hati yang terluka.

Kerana teralu sibuk dengan kerja, ada memori berharga yang telah kita sia-siakan. Yang mana memori
itu sebetulnya menjadi sebuah kenangan abadi namun ia terlepas begitu sahaja dan tidak mampu diulang semula.

Kerana terlalu ikutkan ego dan kemarahan, kita sanggup memutuskan silaturrahim yang semakin renggang. Tanpa kita sedar orang yang kita marahkan itu adalah darah daging sendiri.


Jika masa mampu diputar semula,
mungkin sebahagian daripada kita mahu menebus
kisah silam yang lalu.
Memperbetulkan kesilapan yang lepas.
Menampal lubang kecewa yang terbuka.
Memadam kesakitan yang telah digores.
Memperbaiki diri menjadi orang yang lebih baik.

Dalam hidup ini kita semua selalu buat kesilapan. Kalau masa mampu diundur, mungkin semua orang mahu kembali dan perbetulkan masa lalunya. Tapi kita lupa satu perkara. Kesilapanlah yang menyuluhkan jalan kebenaran. Kesilapanlah yang menyedarkan tindakan kita dan kesilapanlah yang mengetuk kita agar tidak melakukan kesalahan yang sama.

Jadi, untuk apa kita sesalkan perkara yang telah berlaku. Benda sudah jadi dan keadaan tak boleh diubah. Belajar redha! Tak perlu letak istilah ‘kalau’ dalam sebuah alasan.

Untuk kesilapan-kesilapan yang lalu, yang tak mampu ditebus semula, anggaplah penyesalan ini sebagai teguran daripada Dia. Kerana kita manusia biasa. Adakala kita mengejar sesuatu benda sampai kita terlupa ada perkara yang lebih penting yang perlu kita jaga. Adakala kita marahkan sesuatu
sampai terlupa tindakan kita mengundang dosa. Istighfar dan mohon taubat kepada Allah atas keterlanjuran kita berbuat salah.


Jalan ini masih panjang,
Masih banyak peluang terbentang,
Untuk itu perbaikilah apa yang kurang,
Hargai orang-orang yang berada dalam kehidupan kita,
Kita takkan pernah tahu bila kali terakhir Allah akan
pinjamkan dia kepada kita.

***

Petikan buku Ada Dia Di Hatiku. Pembelian harga istimewa dengan Kombo TBH & AZ. Klik, sini.

Sah sehingga promosi Syoknya Raya berakhir.




Scroll to Top