Mengapa kita perlu sentiasa buat perubahan? - Galeri Ilmu

Mengapa kita perlu sentiasa buat perubahan?

Sekadar gambar hiasan.

Setiap kali menjelang Maal Hijrah, kita sering mendengar laungan dan saranan untuk berhijrah iaitu melakukan perubahan diri ke arah yang lebih baik. Apakah makna hijrah?  

Hijrah secara bahasa ertinya berpindah dari satu tempat ke tempat yang lain. Ibn Rajab al-Hanbali dalam Syarah al-Arba’in al-Nawawiyah saat menerangkan hadis yang pertama tentang niat telah menulis, “Asal kata hijrah ialah meninggalkan negeri syirik dan pindah ke negeri Islam.”

Jadi, hijrah bermaksud berpindah iaitu meninggalkan satu tempat yang tidak baik menuju ke tempat yang baik. Ini seperti peristiwa hijrah para Sahabat Nabi ke Habsyah (Ethiopia) dan hijrahnya Nabi dan para Sahabat dari kota Makkah ke Madinah.

Kaum Muhajirin berpindah kerana penduduk negeri asal mereka telah menghalang mereka menegakkan agama. Justeru, mereka mendatangi negeri yang baru agar tiada rintangan lagi untuk menjalani perubahan yang baik dan Islami.

Oleh itu hijrah pada asasnya bermakna perubahan; berubah kepada tempat dan keadaan yang baru serta niat untuk perubahan yang baik yang membawa pada keredhaan Allah dan Rasul. Jikalau tempat dan keadaan menghalang kita daripada Allah, kita tidak boleh berdiam diri. Kita perlu ubah. Kita perlu segera berhijrah ke tempat dan keadaan yang membuka pintu-pintu menuju Allah. 

Asalnya hijrah merupakan perpindahan fizikal, berpindah tempat dan negeri. Akan tetapi
keberhasilannya di sisi Allah tetap bergantung pada hal yang sifatnya dalaman, iaitu niat yang ada di dalam dada. Ini kerana tidak semua yang berhijrah itu diterima oleh Allah. Ini ditegaskan dalam sebuah hadis Nabi. 

Daripada Amirul Mukminin, Abi Hafs Umar bin al-Khattab r.a., dia berkata, “Saya mendengar Rasulullah SAW bersabda: “Sesungguhnya setiap perbuatan tergantung niatnya. Dan sesungguhnya setiap orang (akan dibalas) berdasarkan apa yang dia niatkan. Siapa yang hijrahnya kerana (ingin mendapatkan keredhaan) Allah dan Rasul-Nya, maka hijrahnya kepada (keredhaan) Allah dan Rasul-Nya. Dan siapa yang hijrahnya kerana menginginkan kehidupan yang layak di dunia atau kerana wanita yang ingin dinikahinya maka hijrahnya (akan bernilai sebagaimana) yang dia niatkan.”

Maka hijrahnya sesuai dengan apa yang dicarinya itu, kecuali jika hanya Allah dan Rasul yang menjadi tujuan hijrah yang sejati. Hijrah bukan hanya bersifat zahir dan fizikal, tetapi juga batin dan non-fizikal. Yang terakhir ini merupakan faktor yang sangat penting untuk memastikan keberhasilan (natijah) hijrah tersebut.

Seorang yang berhijrah hendaklah berniat tulus kerana Allah untuk mengubah dirinya. Dia mencari persekitaran yang boleh membantu ke arah perubahan positif; daripada syirik kepada tauhid, daripada kufur kepada iman, daripada jahil kepada ilmu, daripada
biadab kepada adab, daripada segala yang buruk kepada segala yang baik.  

 

Mengapa kita perlu sentiasa melakukan perubahan?

Kita perlu berubah kerana sebagai manusia kita tiada sempurna. Kalau sudah sempurna, maka perubahan tak diperlukan lagi. Tetapi insan sering melakukan kesilapan dan mudah lupa. Justeru, hidup semestinya menjadi proses berubah yang tidak kenal letih.

Jika awalnya jahil, maka dia berubah menuju Islam. Saat khilaf dan tergelincir, dia pun bertaubat, berubah dan kembali ke jalan yang lurus. Jika keadaannya sudah baik, maka dia tetap berubah, terus menyempurnakan diri menuju kedudukan yang lebih tinggi; daripada Mukmin menjadi Muttaqin, daripada abrar menjadi muqarrabin.

Hidup manusia tak lepas daripada perubahan. Jika diam tak bergerak, ia akan keruh seperti air yang tak mengalir. Maka dia perlu berhijrah dari waktu ke waktu. Paling tidak dia berpindah secara dalamankepada sifat-sifat yang baik atau lebih baik lagi. Dia terus melakukan perubahan positif dalam hidup dengan niat kerana Allah semata-mata.

Perubahan adalah keharusan hidup insan, begitu juga dengan sejarah. Sejarah tidaklah disebut sejarah jika tiada apa-apa perubahan di dalamnya. Tanpa sebarang perubahan, tiada sesuatu apa yang penting untuk ditulis. Ini kerana sejarah manusia dan masyarakat selalu bergerak dan berubah, maka ia melahirkan kajian dan ibrah. Oleh sebab itu kita perlu kawal perubahan, agar ia menghala kepada keluhuran insan dan ketinggian martabatnya.  

 

Sebaik tiba bulan Ramadan ramai yang mampu melaksanakan solat berjemaah, dicampur pula dengan amalan-amalan sunat yang lain seperti membaca al-Quran dan bersedekah; tetapi mengapa sebaik Ramadan menghilang, masjid sudah tidak meriah lagi. Mengapa proses hendak berubah (ke arah lebih baik) terlalu sukar? Apakah penghalang-penghalang proses ubah tersebut?

Sesuatu yang besar dan hebat biasanya sukar dicapai. Ia memerlukan kesungguhan dan perjuangan. Seorang Muslim diarah untuk berubah menjadi lebih baik kerana hal itu akan membawanya kepada redha Allah, menuntunnya ke syurga dan menjauhkannya daripada neraka. Semua itu merupakan tujuan akhir perjalanan hidup manusia.

Jika menjadi ‘billionaire’ di dunia saja susah bagi kita mencapainya, apa lagi hendak meraih syurga Allah yang bidangnya seluas segala langit dan bumi (Al-Hadid 57: 21), tentu lagi sukar mendapatkannya!

Sebuah hadis mengesahkan lagi hal ini. 

Sabda Nabi SAW: “Syurga dikelilingi oleh hal-hal yang tak disukai dan neraka dikelilingi oleh hal-hal yang disukai.”
(Riwayat Muslim)

Jadi, patutlah proses mengubah diri sukar untuk dilakukan. Tetapi biar sukar bagaimanapun, hasil akhirnya sangatlah berbaloi. Siapa yang tidak mahu masuk ke dalam syurga dan dijauhkan daripada neraka? Biar sukar macam manapun, ia terlalu kecil berbanding buah atau hasilnya. Oleh itu, tiada alasan untuk untuk kita menyerah dan berputus asa. Lagi pula adanya halangan berupa perkara-perkara yang tidak disukai sepanjang jalan menuju syurga bukannya kerana manusia hendak dihalang daripada masuk ke dalamnya, melainkan untuk mengetahui siapa di antara hamba-hamba-Nya yang bersungguh-sungguh dan siapakah yang paling terbaik amalnya.

Maka ingatan tentang syurga dan neraka boleh menjadi motivasi dalam proses untuk kita berubah ke arah yang baik. Kalaupun sukar, kita perlu memaksa diri kita juga untuk berubah. Ini kerana perubahan nasib kita di akhirat dipengaruhi oleh perubahan diri kita di dunia ini.

Pada bulan Ramadan, banyak perubahan positif yang kita lakukan dan ia lebih mudah dilakukan, berbeza halnya selepas Ramadan. Hal ini kerana terdapat dua penghalang utama bagi setiap insan dalam perjalanan menuju Tuhannya:

Halangan pertama – dari luar, iaitu godaan syaitan yang telah dibelenggu
di bulan yang mulia ini.
Halangan kedua – dari dalam diri manusia, iaitu godaan hawa nafsu yang
dibelenggu oleh puasa serta kesabaran yang dijalani seorang Muslim.

Seharusnya Ramadan menjadi madrasah yang melatih seseorang dalam mengendalikan hawa nafsunya. Namun ramai yang berpuasa tetapi seperti orang yang tidak berpuasa. Ia hanya tradisi, tiada kesan dan pelajaran yang diperoleh dari Ramadan. Bulan Ramadan yang seharusnya memberi kemudahan bagi seorang untuk berubah menjadi lebih baik, akhirnya langsung tidak membawa perubahan yang istiqamah dan berpanjangan.

Saat Ramadan pergi, keutamaan yang terkandung di dalamnya turut pergi bersamanya. Hawa nafsu kembali ditaati dan syaitan pun senang mendekati. Seharusnya Ramadan dijalani dengan ilmu dan niat yang sungguh-sungguh, sehingga kesan perubahannya ke atas diri tetap berkekalan selepas berlalunya Ramadan.  

 

Dipetik daripada majalah Anis keluaran Oktober 2016 yang menampilkan jawapan daripada SYED ALWI ALATTAS.

Beliau ialah seorang penulis prolifik yang telah menamatkan pengajian Doktor Falsafah di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia. Lebih dikenali sebagai penulis buku-buku motivasi dan telah melahirkan 30 buah buku di Indonesia. Bersama Galeri Ilmu Sdn. Bhd., beliau menulis lima buah buku; Senyumlah, Mudahkan Jangan Susahkan, Bersyukurlah Kerana-Nya, Mencari Husnul Khatimah, Mungkinkah Ini Solat Terakhirmu?, Destinasi (novel) dan Ubah.  

Scroll to Top