Mendengar & Mentaati Arahan Pemimpin

Antara metode utama yang ditonjolkan oleh Rasulullah SAW ialah menggunakan pendekatan nasihat dan memberi peringatan. Hal ini bertepatan dengan saranan yang terdapat dalam kitab suci al-Quran:

Dan tetap tekunlah engkau memberi peringatan, kerana sesungguhnya peringatan itu mendatangkan faedah kepada orang yang beriman.
(Adz-Dzariyat 51: 55)

Firman-Nya dalam ayat yang lain:

Oleh itu, berikanlah sahaja peringatan (wahai Muhammad kepada manusia, dan janganlah berdukacita kiranya ada yang menolaknya), kerana sesungguhnya engkau hanyalah seorang rasul pemberi ingatan.
(Al-Ghasyiyah 88: 21)

Sememangnya banyak pengajaran yang disampaikan oleh Baginda diambil melalui kaedah ini. Beberapa contoh yang membenarkan perkara ini ialah:

Daripada Sayyidina Abdur Rahman dan Sayyidina Hujr bin Hujr r.anhum kedua-duanya berkata: Kami pernah datang kepada Sayyidina ‘Irbadh bin Sariah lalu kami berkata kepadanya: “Kami datang dengan tujuan menziarahimu, dan mengambil manfaat daripadamu.”

Maka Sayyidina ‘Irbadh berkata: “Rasulullah SAW pernah solat bersama-sama kami pada suatu ketika, kemudian menghadap kepada kami dan memberikan suatu peringatan yang cukup indah sehingga mengalirlah air mata kami dan hati kami menjadi gementar.”

Seorang pendengar berkata: “Wahai Rasulullah, seolah- olah peringatan pada kali ini merupakan peringatan yang terakhir untuk kami, maka apakah pesanan Rasulullah untuk kami?”

Maka Baginda terus bersabda: “Daku berwasiat kepada kalian agar bertakwa kepada Allah SWT, mendengar dan mentaati (arahan daripada pemimpin) walaupun dia daripada golongan hamba abdi berbangsa Habsyah, kerana sesungguhnya sesiapa antara kamu yang masih hidup selepas (kewafatan) daku, nescaya dia akan dapat melihat perpecahan yang begitu menular. Maka hendaklah kalian berpegang dengan sunnahku dan sunnah khalifah-khalifah yang mendapat petunjuk lagi bijaksana, berpeganglah padanya dan gigitlah ia dengan gigi geraham, dan jauhilah daripada mengadakan perkara-perkara yang baharu (mengenai urusan keagamaan) kerana setiap perkara yang baru itu ialah bid‘ah dan setiap bid‘ah pula adalah sesat.” (Riwayat Abu Dawud)

Pengajaran Hadis

Kata ‘Allamah ash-Shibsyiri dalam menghuraikan pengajaran hadis ini:

  1. Hati yang khusyuk (seperti hati para Sahabat) merupakan lambang kebenaran dan kemantapan iman seseorang.
  2. Peringatan yang diberikan oleh Nabi SAW adalah ringkas dan padat.
  3. Berdakwah ke jalan Allah SAW dengan memberikan peringatan yang baik merupakan faktor kejayaan dakwah tersebut.

***
Petikan buku Mendidik Gaya Rasulullah tulisan Dr. Shuhadak Mahmud. 

Scroll to Top