Maksimakan Ruang dalam Rumah Sewa - Galeri Ilmu

Maksimakan Ruang dalam Rumah Sewa

MANFAATKAN RUANG RUMAH SEWA SEPENUHNYA

Layout sesebuah rumah yang kau pilih sangat penting jika matlamat pelaburan untuk rumah itu adalah sewa per bilik. Layout yang bagus akan memberi bonus kerana adanya ruang untuk dijadikan bilik tambahan.

Rumah yang aku pernah beli dengan harga yang agak berpatutan (medium kos) cuma ada dua bilik sahaja. 

Semasa meninjau, keadaan rumah pada masa itu sangat teruk. Bukan lagi kapal pecah, sudah tahap kapal karam hancur berkecai. Rumah ini tak dijaga dengan baik menyebabkan datang makhluk Tuhan bernama pepijat. Bayangkan, jika kau pijak lantai lima minit, pasti kau boleh nampak pepijat merayap di kaki. Geli berdiri bulu roma. Akan tetapi, selepas melihat yang bagus dan sesuai dengan bajet yang ada, aku setuju beli dan rancang untuk buat renovasi. Jika kau pernah tengok rumah ini sebelum renovasi, kau pun tak ingin menyewa.

Perkara yang menyokong keputusan untuk membeli dan renovasi rumah ini adalah ia boleh ditambah lagi satu bilik yang besar. Jadi, daripada dua bilik, rumah ini menjadi tiga bilik dan masih ada ruang dapur serta ruang santai menonton TV untuk tiga orang bujang. Hasilnya bukan sahaja memberi nilai yang baik kepada penyewa, malah memberikan pulangan yang baik untuk aku juga.

Walau bagaimanapun, sebelum membuat apa-apa keputusan, rujuk kontraktor dan modal yang kau ada. Ruang-ruang untuk renovasi juga perlu diteliti sebaik mungkin agar ruang-ruang lain masih berfungsi dan terjaga. 

MAKSIMUMKAN RUANG UNTUK MENJANA POSITIVE CASH FLOW

Ruang-ruang yang ada (selain bilik dan ruang tamu) boleh juga ditukarkan untuk menjana lebih cash flow. Aku telah berjaya menukarkan salah satu daripada unit rumah yang asalnya mempunyai tiga bilik menjadi enam bilik yang selesa.

RUANG PENCAHAYAAN DAN PENGUDARAAN

Apabila kau buat keputusan untuk tambah bilik, kena ambil kira pencahayaan dan pengudaraan bilik tersebut. Berikan nilai yang baik pada ruang-ruang ini supaya penyewa berasa selesa untuk duduk dan bukannya jadi rumah burung yang kepam dan suram.

RUANG MAKAN DAN INTERNET LAJU

Internet berkelajuan tinggi dan golongan milenia memang tidak dapat dipisahkan. Setiap bulan kau kena bayar lebih sedikit untuk Internet, tapi kau dapat menyediakan fasiliti yang baik untuk mereka. Berbanding memberi sewa dengan memasukkan sekali bayaran bil air dan elektrik, aku lebih suka memberi Internet laju secara percuma.

Jika elektrik dimasukkan dalam sewa bulanan, ada antara penyewa yang tidak berhemah membiarkan kipas terbuka sepanjang hari atau menggunakan air secara membazir. Aku pilih konsep kau guna, kau bayar. Melalui cara ini, mereka lebih beringat dan berjimat kerana makin banyak mereka guna, makin banyak mereka bayar dengan duit poket sendiri.

***

Lebih banyak panduan dan kupsan mendalam seperti ini, rujuk buku Bijak Urus Rumah Sewa.

Dapatkan buku Bijak Urus Rumah Sewa

Scroll to Top