Layout sesebuah rumah yang kau pilih sangat penting jika matlamat pelaburan untuk rumah itu adalah sewa per bilik. Layout yang bagus akan memberi bonus kerana adanya ruang untuk dijadikan bilik tambahan.
Rumah yang aku pernah beli dengan harga yang agak berpatutan (medium kos) cuma ada dua bilik sahaja.
Semasa meninjau, keadaan rumah pada masa itu sangat teruk. Bukan lagi kapal pecah, sudah tahap kapal karam hancur berkecai. Rumah ini tak dijaga dengan baik menyebabkan datang makhluk Tuhan bernama pepijat. Bayangkan, jika kau pijak lantai lima minit, pasti kau boleh nampak pepijat merayap di kaki. Geli berdiri bulu roma. Akan tetapi, selepas melihat yang bagus dan sesuai dengan bajet yang ada, aku setuju beli dan rancang untuk buat renovasi. Jika kau pernah tengok rumah ini sebelum renovasi, kau pun tak ingin menyewa.