Makanan Bertukar Jadi Racun, Doktor Ini Menjelaskan Punca & Rawatan Awal - Galeri Ilmu

Makanan Bertukar Jadi Racun, Doktor Ini Menjelaskan Punca & Rawatan Awal

Baru-baru ini kita digemparkan dengan berita mangsa keracunan makanan yang meninggal dunia akibat makan puding buih. Puding buih itu dipercayai dibuat menggunakan telur yang telah tamat tempoh. Telur yang telah tamat tempoh berisiko dicemari oleh bakteria Salmonella sp. yang lazimnya terkandung dalam najis ayam. Bakteria ini juga berpotensi merembeskan toksin dalam makanan.

Sehubungan dengan itu, kita seharusnya berhati-hati dalam penyediaan makanan terutamanya apabila terpaksa memilih makanan yang dibeli dari luar.

BAGAIMANA TERJADINYA KERACUNAN MAKANAN?

Punca utama keracunan makanan ialah bakteria dan virus. Kuman-kuman ini memasuki melalui rongga mulut anda melalui makanan atau minuman yang tercemar. Apabila sampai di usus kita, kuman-kuman ini berpesta dan membiak lalu mengeluarkan TOKSIN.

Toksin ini menyebabkan anda:

  1. Rasa loya atau muntah dan diikuti sakit perut. Perut berasa kejang berselang-seli disebabkan banyak toksin di dalam perut anda. Anda akan berulang- alik ke tandas kerana cirit-birit.
  2. Kalau toksin itu hanya sedikit, muntah tak berlaku, tetapi terus sakit perut dan cirit-birit. Keadaan ini membuatkan anda dehidrasi.
  3. Jika toksin merebak dari usus ke saluran darah pula, anda akan alami demam.

MAKANAN DIJUAL TIDAK BERSIH

Makanan yang dijual tercemar hingga menyebabkan anda keracunan makanan. Ia tercemar kerana:

  1. Makanan dijual itu dibiarkan terdedah pada suhu keliling dalam tempoh lebih dari 3-4 jam.
  2. Penyediaan makanan oleh penjual ada yang tidak menjaga kebersihan, tercemar ataupun penyediaan makanan terlalu awal menyebabkan banyak masa untuk kuman membiak.
  3. Kaedah penyediaan makanan yang tidak bersih, misalnya hanya memanaskan semula makanan yang tidak habis dijual hari sebelumnya. Ia sudah tidak fresh.
  4. Makanan tidak dimasak dengan sempurna. Makanan tidak disimpan dengan baik.
  5. Makanan sudah sejuk tidak dipanaskan dengan sempurna.
  6. Makanan yang beku seperti daging tak dinyahbekukan dengan sempurna sebelum dimasak.
  7. Memakan makanan lama secara terus tanpa dipanaskan dengan sempurna.
  8. Makanan mungkin disediakan oleh orang yang menghidap atau pembawa penyakit.
  9. Anda sendiri tidak menyimpan makanan lebihan selepas berbuka puasa atau sahur dengan sempurna. Makanan mudah basi semasa sahur tidak disimpan di dalam peti sejuk.

RAWATAN

  1. Sekiranya anda mengalami gejala keracunan makanan di atas (muntah dan ciri-birit), segera dapatkan rawatan di hospital atau klinik.
  2. Doktor anda akan memeriksa dan merawat simptom itu memberi antibiotik jika berkait dengan kuman supaya terkawal. Doktor akan pastikan tahap dehidrasi anda dan merawatnya. Jika keracunan tidak teruk dan anda masih kuat, boleh terus berpuasa. Ubat boleh diambil ketika berbuka puasa atau bersahur nanti.
  3. Tapi, jika cirit-birit/muntah TAK TERKAWAL hingga kelesuan dan dehidrasi, anda terpaksa berbuka puasa kerana mengutamakan keselamatan dan kesihatan. Jangan lupa qadha puasanya nanti. Pastikan anda minum banyak air (2.5 liter sehari) untuk menggantikan cecair badan yang hilang disebabkan oleh cirit-birit/muntah itu.

***

Petikan buku Saya Sakit Apa Doktor? tulisan Dr. Abdul Rahim. Beliau seorang pakar klinikal di Pulau Pinang. Rajin berkongsi hantaran kesihatan dan perubatan di Facebook. Para pengikutnya gemarkan tulisannya kerana bahasanya yang mudah dan santai.

Sempena Syoknya Syawal, buku Saya Sakit Apa Doktor? boleh didapati dengan pembelian Kombo Frontliner. Klik sini untuk membeli dalam talian.

Scroll to Top