Kutemui Pintunya

Ya Allah, aku penat! Letih kalau macam ni selalu. Apa yang tak kena ni? Salahkah aku mendidik mereka yang Engkau amanahkan kepadaku, ya Allah?”

Hatiku terus merintih. Tidak tahu nak berbuat apa lagi.

“Lembut sangat dengan anak. Rotan saja! Sayang anak kena keras, jangan nak berlembut-lembut. Tak perlu guna psikologi sangat. Tak jalan … .”

Itulah yang sering aku dengar andai aku meluahkan perasaan ini. Bertambah tertekan aku. Bukan mengurangkan, malah lagi tertekan. Kepada siapalah aku hendak luahkan apa yang aku rasa ini? Tidak mungkin kepada orang lain. Ini ibarat membuka pekung di dada, mengaibkan keluarga sendiri!

Rotan? Tak serasi dengan jiwaku. Mana boleh tiap kali salah, rotan. Salah lagi, rotan. Tak buat, rotan!

‘Tak betul ni,’ hati sentiasa membetah.

Membantah dalam diam. Namun, malas nak bercakap nanti kami pula bergaduh. Simpan dalam hati tetapi terus mencari cara. Bukan menidakkan rotan, tetapi tentu ada kaedah lain, itu adalah pilihan terakhir. Kepada-Nya jua selalu kubisikkan rasa.

Daripada Anas bin Malik r.a., menceritakan Rasulullah SAW bersabda: “Muliakanlah anak-anakmu dan perbaikan adab mereka.” (Riwayat Ibnu Majah)

Ya, adab yang dimaksudkan dalam hadis tersebut adalah untuk mengamalkan sesuatu yang dipuji, sama ada dalam bentuk ucapan atau perbuatan.

Salahkah cara yang aku buat ini?

‘Ya Allah, aku tertekan … tolonglah!’ Rintih jiwaku sendirian.

Apabila balik dengan rumah dalam keadaan tidak terurus, aku tertekan. Aku memang inginkan rumah yang kemas, terurus, barang-barang tidak bersepah. Tapi sekejap saja. Selepas itu bersepah lagi. Sampai bila?

Berkali-kali pesan dan ajar. Selepas bermain, simpan barang. Selepas makan, basuh pinggan sendiri. Plastik makanan pula jangan selit di celah-celah kerusi. Hujung minggu pula tolong sidai kain, sapu sampah. Kadang- kadang dituruti, tapi setelah dileteri berpuluh kali baru hendak buat. Itu pun, bantu dengan muka yang mencuka.

Penat jiwa!

Namun, pada hujung minggu itu, aku tersentak dengan kata-kata anakku.

“Nantilah mak, penatlah!”

***

“Not, satgi sidai kain, mak nak pi padang (sawah) ni. Kalau lambat, nanti hujan baju tak kering. Basuh la pinggan- pinggan sama. Dengar tak? Jangan dok tengok televisyen sangat, nanti kerja tak jadi,” pesan emakku.

Aku tak tahulah itu kali yang ke berapa emak selalu pesan sebelum melangkah kaki ke bendang. Dua kali, sepuluh kali, mungkin beratus kali! Sempat lagi aku lihat emak dengan berseluar panjang, baju kurung dan bertopi mengkuang hujung tajam di atas. Itulah pakaian rasmi emak ke tempat kerjanya.

“Okey mak,” ringkas jawabku.
Jarum jam terus bergerak dan berputar.

‘Kenapalah laju sangat jarum jam ni. Bila nak habis cerita ni?’ getus hati yang agak gelisah kerana belum melaksanakan pesan emak.

‘Alamak, dah pukul dua belas!’ Cepat-cepat aku ambil bakul baju terus ke ampaian.

“Baru nak sidai? Bila nak kering, langit dah gelap!” Tiba-tiba emak muncul di anjung.

Dah balik rupanya emakku. Awal sedikit hari ini. Aduh, pinggan tidak berbasuh lagi. Kesian mak. Nanti mak juga yang buat.

“Mak ni tengok anak-anak orang lain, depa dok tolong mak depa. Tengok Che Ya, Mariani anak Long Ma, tak gaduh-gaduh kena suruh banyak kali buat kerja rumah. Bangun pagi sidai kain, sapu sampah, basuh pinggan. Mak seronok tengok macam tu. Hang?”

Sesekali mak menegur juga melepaskan kekecewaan. Seingat aku, mak tidak pernah rotan aku adik-beradik. Bila dengan ayah, dengar saja motosikalnya, kami sudah kecut. Kenangan itu masih segar walaupun ayah sudah kembali kepada Pencipta.

Allahu Allah. Balik dari bendang, mak terpaksa buat kerja-kerja tadi. Aku bukannya tidak sedar ‘office’ mak berbumbungkan langit, berlantaikan selut dan tidak berdinding. Malah penghawa dinginnya adalah angin

daripada Tuhan. Panas dan hujan sudah pasti mengenali emak.

Aku? Sayang hendak tinggalkan rancangan yang menarik walaupun ketika itu televisyen hitam putih. Nak jaga hati mak, aku mengambil bawang, kukupas depan televisyen. Lepas itu tumbuk bawang pun depan televisyen. Aku tahu emak tentu kecil hati. Sebab bukan sekali dua.

“Rancangan tu nanti ada ulangan. Jadi, tak payahlah kamu semua asyik dok melangut depan televisyen saja. Nanti SRP kamu semua entah ke mana,” kata salah seorang guruku semasa aku di alam persekolahan.

Apabila dikenangkan, betul cakap cikguku itu. Ultraman yang dulu menjadi kegemaran kini ada semula di kaca televisyen. Cerita-cerita kisah kehidupan yang kadang-kadang terlalu melekakan pun semakin banyak, menarik dan mengasyikkan.

***

Ya Tuhanku yang Maha Esa. Sesungguhnya Engkau Ar- Rahim. Engkau kurniakan kepadaku kesempatan dan peluang untukku menebus kembali sikapku terhadap insan yang menumpangkan aku dalam rahimnya selama sembilan bulan sepuluh hari. Kiriman-Mu melalui anak- anak yang Engkau anugerahkan.

‘Mak, apakah yang cek alami ini adalah sebagai balasan dan peringatan tentang apa yang pernah cek dok buat kat mak dulu?’ Hatiku meronta-ronta.

Tak tahan dengan keadaan yang sudah lama ini. Tidak ada ketenangan. Memang tertekan! Dalam hati, Allah saja yang tahu betapa ada sesuatu yang terbuku. Tapi, apa?

“Assalamualaikum, mak. Sihat ka hari ni? Buat apa tu? Sarapan apa pagi ni?” Aku memulakan perbualan dengan mak. Terus bersembang mesra dengan mak.

Aku sentiasa akan memohon maaf dengan mak pada ketika akhir perbualan. Ya, memang kenangan lalu itu banyak memberikan kesan kepadaku sehingga hari ini.

“Mak maafkan. Mak ampunkan dosa anak-anak, menantu, cucu-cucu. Semoga murah rezeki, mendapat kejayaan dunia akhirat,” kerap mak mendoakanku begini.

Subhanallah! Indahnya doa mak.

Aku terus mencari ketenangan melalui bacaan buku berkaitan motivasi seperti buku Prof Muhaya, buku Anekdot Madinah oleh Muhd Kamil Ibrahim (MKI) dan beberapa orang lagi penulis buku. Kupetik sedikit tulisan yang amat terkesan dalam buku Anekdot Madinah oleh MKI iaitu, ‘Kesabaran perlu diterjemah melalui pendekatan yang boleh mendekatkan diri kita kepada Allah SWT dengan cara bersolat, bangun malam dan bermunajat. Mengadulah kepada Allah agar setiap ujian mampu dilepasi dengan bantuan-Nya.’

‘Ya Allah, aku diuji sebenarnya. Aku tak sedar!’ Bisikku sendiri.

Memetik kata-kata Ustazah Nor Hafizah Musa di Radio IKIMfm, “Merintihlah dengan Allah, merayulah dengan- Nya, mintalah dengan Allah. Menangislah kepada-Nya. Nyatakan kita ini tidak kuat. Bangunlah pada malam hari. Buat sedikit-sedikit. Jangan terus banyak kerana takut tidak istiqamah.” Kelembutan suara ustazah amat terkesan di jiwa.

Aku cuba! Bukan satu perkara yang mudah rupanya.

“Ya Allah, aku tak kuat. Tolong aku ya Allah, bantu aku untuk rapat dengan-Mu. Jangan Kau biarkan aku jauh dengan-Mu, ya Tuhanku,” rintihku.

Tiba-tiba kedengaran bunyi mesej di telefonku.

“Kak, balik nanti ada surprise, jangan terkejut no,” mesej adikku nun jauh dari negeri kelahiranku.

“Wow!” Balasku.

“Ibu balik pukul berapa hari ni?” Mesej WhatsApp daripada anakku.

“Pukul 2.30,” balasku tanpa bertanya lanjut. Tiba masa, aku bergerak pulang ke rumah. “Assalamualaikum,” laungku. “Waalaikumussalam,” anakku membuka pintu. “Eh, siapa sidai kain?” Tanyaku.

“Akak,” jawab puteri tunggalku.

“Ya? Eh, macam bau sesuatu dari dapur!” Soalku.

“Alamak! Akak cuba masak ayam masak kicap saja. Akak mesej mak ngah tanya. Akak ikutlah resipi mak ngah. Tak tahulah sedap atau tidak, ibu …,” sahutnya dalam gelak kecil.

“Wow, ada daun kari kak! Ibu pun tak pernah letak daun kari dalam masak kicap,” kataku.

“Akak ikut resipi mak ngah ni,” sambil menggaru kepalanya yang tidak gatal.

“Jom, makan!” Ajakku. Anakku mengambilkan nasi dan lauk lalu menghidangkan kepadaku.

“Sedapnya, kak! Ayam kicap daun kari, nanti ibu pun boleh tiru,” sambungku lagi. Kelihatan anakku gembira dengan pujian itu. Alhamdulillah.

Memang sudah lama aku lihat perubahan pada sikap anakku ini. Kerajinannya, kepimpinannya terhadap adik-adiknya sudah dapat kurasai. Maafkan ibu. Sikap ibu suatu ketika dahulu terpaksa engkau lalui semata-mata untuk sebuah kesedaran dan keinsafan kepada seorang ibu ini. Subhanallah, aku semakin tenang!

‘Mak, tunggu ya. Insya-Allah tiket kapal terbang akan kutaja setiap kali mak hendak datang ke rumahku. Masa itu, mak tak perlu lagi naik bas. Allahuakbar! Indahnya kurasakan.

***

Petikan buku Bumerang Kasih yang diselenggara oleh Bonda Nor.

Scroll to Top