Khasiat Kopi Menurut Kajian Saintifik

Kajian yang melibatkan ramai responden berkenaan pengambilan kopi dalam kalangan masyarakat Eropah menunjukkan pengambilan kopi berupaya menurunkan diabetes jenis 2.

Kopi umumnya terbahagi kepada dua jenis iaitu kopi panggang (roasted) dan kopi yang tidak dipanggang (unroasted). Kopi yang tidak dipanggang atau kopi hijau lebih baik berbanding kopi panggang kerana kandungan bahan berkhasiat asid klorogenik yang tinggi.

Kandungan asid klorogenik bergantung kepada cara kopi dipanggang. Jika dipanggang dalam tempoh yang lama, khasiatnya akan menurun. Bahan berkhasiat asid klorogenik juga hadir dalam kopi segera tetapi kandungan khasiatnya berbeza-beza antara 6-200 miligram bagi setiap hidangan.

Bahan asid klorogenik akan membentuk asid kafeik (caffeic) dalam usus besar. Asid kafeik ini bersifat antidiabetes. Asid kafeik boleh meningkatkan kandungan insulin dan enzim glukokinase. Glukokinase adalah sejenis enzim yang boleh membawa molekul gula ke dalam sel atau organ untuk menjadikan seseorang itu bertenaga.

Ada pandangan mengatakan daun kopi boleh digunakan sebagai minuman seperti teh. Setakat ini belum banyak kajian tentang daun kopi dan pandangan tersebut perlukan kajian lanjut. Seperti juga biji kopi, daun kopi juga mengandungi kafein.

Kopi panggang dalam bentuk serbuk tidak elok direbus. Ini kerana bahan seperti kahveol dan kafestol akan terekstrak dengan banyak. Bahan-bahan ini boleh memerangkap kolesterol dan menyebabkan meningkatnya kolesterol darah.

***
Petikan buku ‘Ubat’ dari Dapur tulis Dr. Suri Roowi seorang saintis prinsipal MARDI.

Scroll to Top