Khasiat & Kelebihan Halia: Berdasarkan Kajian Saintifik - Galeri Ilmu

Khasiat & Kelebihan Halia: Berdasarkan Kajian Saintifik

Air halia adalah minuman dalam syurga. Perkara ini dijelaskan dalam Surah al-Insan melalui firman Allah Taala:

“Dan mereka dalam syurga itu diberi minum sejenis minuman yang campurannya dari Zanjabiil.” (Al-Insan 76: 17)

Halia atau Zingiber officinale dalam bahasa Latin, merupakan tumbuhan yang mempunyai nilai perubatan dan komersil yang tinggi. Biasanya, halia berkualiti tinggi ditanam di kawasan tanah tinggi iaitu 1,200-1,500 meter di atas paras laut.

Di Malaysia, halia ditanam secara komersil di Bentong, Pahang; Keningau dan Tambunan, Sabah; dan Bakun, Sarawak. Jenis halia yang menjadi pilihan usahawan adalah Halia Bentong (Janda Baik), Halia Bara, Halia Cina dan Halia Indonesia.

Bertepatan dengan namanya, Halia Bentong (Janda Baik) mempunyai kualiti yang lebih baik berbanding halia tempatan mahupun import.

Antara komponen bahan berkhasiat dalam halia adalah bahan beraroma (minyak pati). Bahan ini hadir dalam kuantiti yang sedikit iaitu antara 1-3 peratus daripada berat halia segar. Bahan berkhasiat dalam halia terdiri daripada gingerol (6-gingerol sebagai bahan pedas utama), zingeron dan shogaol.

Halia juga boleh berinteraksi dengan ubatan moden seperti warfarin, sejenis ubat cair darah dan ubat sakit jantung. Individu yang mempunyai ulser dan penyakit radang usus boleh menjadi lebih bermasalah jika mengambil halia dalam kuantiti yang tinggi.

Walau bagaimanapun, sehingga kini ujian keselamatan (ujian saintifik) meminum halia (terutama dengan dos tinggi) masih belum dikaji lagi.

Bahan yang memberikan rasa pedas pada halia segar adalah 6-gingerol. Halia segar juga kaya bahan 8-gingerol, 10-gingerol dan 12-gingerol. Kajian menunjukkan halia segar boleh bertindak sebagai antipiretik (kurangkan demam). Ia disebabkan oleh kehadiran bahan zingiberene yang boleh menghalang jangkitan yang disebabkan oleh virus.

Halia telah mendapat status GRASS atau “umumnya diperakukan sebagai selamat” oleh Pentadbiran Makanan dan Ubat-ubatan Amerika Syarikat (FDA). Walau bagaimanapun, jika halia diambil dalam kuantiti yang tinggi, ia boleh memberi kesan sampingan seperti radang dan loya.

Kelebihan Halia Segar

Halia segar juga mempunyai sifat analgesik (penahan sakit), antiradang, antibakteria dan antitumor.

Halia segar membantu mengurangkan masalah artritis rheumatoid. Selain itu, ia bertindak sebagai antikanser bagi kanser darah dan paru-paru, payudara, pankreas, ovari dan usus.

Kajian juga menunjukkan halia segar boleh mengurangkan tekanan darah dan mengatasi masalah gastrik. Cara pengambilannya adalah dengan membersihkan kulit halia, celur dengan air panas, hancurkan dan tambah air suam.

Khasiat Halia yang Dimasak atau Dipanaskan

Jika halia dimasak atau dipanaskan, gingerol membentuk bahan berkhasiat lain yang dikenali sebagai zingeron. Bahan ini tiada dalam halia segar. Zingeron juga mempunyai pelbagai khasiat antaranya untuk membantu mengawal berat badan.

Khasiat Halia Serbuk

Apabila halia dikeringkan dan dijadikan serbuk, gingerol akan bertukar kepada shogaol. Shogaol adalah dua kali lebih pedas berbanding gingerol (bahan dalam halia segar). 6-Shogaol juga lebih kuat berbanding 6-gingerol (dalam halia segar) dari segi sifat antiradang.

Bahan ini juga bersifat antioksidan dan chemopreventive (untuk mengelakkan kanser), antialergik dan boleh bertindak sebagai ubat batuk. Shogaol juga boleh membantu mengurangkan tekanan darah dan merencatkan pertumbuhan sel kanser ovari dan kanser kolon.

***
Petikan buku ‘Ubat’ dari Dapur tulisan Dr. Suri Roowi seorang saintis prinsipal MARDI.

Scroll to Top