"Kentut Pesakit, Penting Buat Kami!" - Doktor Ini Menjelaskan Sebabnya - Galeri Ilmu

“Kentut Pesakit, Penting Buat Kami!” – Doktor Ini Menjelaskan Sebabnya

“Puan, puan dah kentut ke?”

Saya sendiri pada awal-awal dahulu rasa macam kelakar bila nak kena tanya soalan ini kepada pesakit. Kadang terfikir, mesti pesakit pelik doktor tanya pasal kentut. Lagi-lagi kalau pada masa itu tengah round berjemaah. Ada doktor pakar, MO, HO, dan orang sebelah yang ikut curi-curi dengar.

‘Astaghfirullahalazim! (Sambil tepuk dahi) Doktor ni! Ada ke patut tanya soalan macam ni depan orang ramai? Malu saya!’ Agaknya dalam hati, macam itulah yang dia orang kata.

Tapi, itulah. Rupanya kentut itu begitu penting untuk ditanya kepada mereka yang baru sudah menjalankan pembedahan yang melibatkan organ di bahagian dalam perut (abdomen), termasuklah rahim bagi orang perempuan.

Risiko biasa pesakit akan hadapi selepas pembedahan sebegini adalah kurangnya pergerakan usus yang disebut sebagai peristalsis. Ibarat longkang yang air di dalamnya tiada aliran. Stuck di tengah-tengah jalan. Maka, kentut menjadi tanda aras bahawa usus boleh berfungsi dengan baik semula! Aliran itu ada!

Bila pesakit mula kentut, doktor akan gembira! Bahkan misi pun sama! Apabila pesakit mula kentut selepas pembedahan, barulah boleh diizinkan untuk mereka makan. Selagi tak kentut, tak boleh makan! Haha! Macam lawak saja, kan?

Eh! Tapi ini betul-betul! Bukan cubaan! Kesian tau! Ada pesakit yang dua hari tak kentut. Maka, dua harilah jawabnya tak boleh makan! Selagi tak kentut, tak boleh keluar hospital! Seksa, bukan? Bukan apa. Sebenarnya doktor risau, kalau usus belum boleh berfungsi dengan baik, nanti makanan masuk, tapi tak boleh keluar. Tak pasal-pasal datang penyakit lain. Kan lagi susah macam itu.

Jadi, jangan pelik ya kalau doktor asyik tanya soalan kentut ini. Kentut pesakit, penting buat kami! Mana nak cari orang yang ‘caring’ pasal kentut korang macam ini? Pasangan sendiri pun belum tentu menghargai. Ha! Kan!

Fuh! Tiba-tiba, macam dah boleh wujudkan satu teka-teki!

Dalam banyak-banyak manusia, manusia apa yang paling menghargai kentut orang lain?

Ha! Jawab! Jawab!

Psst …

Korang …

Dah kentut ke belum hari ni?

Shhh … jawab dalam hati!

Kalau sudah, jangan lupa sebut ‘Alhamdulillah’ untuk satu nikmat kecil yang entah pernah kita fikir.

“… Wahai Tuhan kami! Tidaklah Engkau menjadikan benda-benda ini dengan sia-sia, Maha Suci Engkau, maka peliharalah kami daripada azab neraka.” (Ali ‘Imran 3: 191)

***
Petikan buku Doktor Cinderella tulisan Dr. Nur Hanisah. Penulis merupakan seorang petugas kesihatan di sebuah hospital di Pantai Timur.

Pembelian buku boleh dibuat melalui laman web rasmi kami, klik: Doktor Cinderella

Scroll to Top