Kenali Ciri Mukmin Profesional yang Anda Patut Miliki Agar Prestasi Kerja Tak Terjejas Dek Hal Peribadi - Galeri Ilmu

Kenali Ciri Mukmin Profesional yang Anda Patut Miliki Agar Prestasi Kerja Tak Terjejas Dek Hal Peribadi

Dengan sifat Mukmin, seseorang itu akan memiliki nilai-nilai yang baik (sifat mahmudah) seperti integriti, jujur, amanah dan lain-lain. Dengan sifat profesional, seseorang itu akan mempunyai kepakaran dan ketrampilan dalam melaksanakan peranan dan tanggungjawab dengan cekap dan berkesan dalam bidang pengurusan, pentadbiran, pendidikan, ekonomi, dan lain-lain.

Dengan itu, seorang Mukmin Profesional akan mampu melaksanakan dua peranan dengan sebaik-baiknya iaitu:

Pertama, sebagai hamba Allah. Ini sesuai dengan firman Allah (yang bermaksud):

“Tidak Aku jadikan jin dan manusia melainkan untuk mengabdikan diri kepada Allah (hamba Allah).”
(Surah az-Zariyat 51: 56)


Kedua, sebagai khalifah Allah. Firman-Nya (yang bermaksud):

Ingatlah ketika Tuhanmu berfirman kepada para malaikat: “Sesungguhnya Aku hendak menjadikan seorang khalifah di muka bumi.”
(Surah al-Baqarah 2: 30)

Sebagai hamba Allah, manusia perlu menjadi seorang Mukmin yang kuat hubungannya dengan Allah (hablumminallah). Dan sebagai khalifah, manusia perlu menjadi seorang profesional yang erat hubungannya sesama manusia (hablumminannas) melalui peranan atau pekerjaannya. Dengan dua peranan inilah seseorang itu mampu menjadi seorang individu yang baik dan mampu memberi kebaikan – ‘Soleh’ dan ‘Musleh’.

Berdasarkan dua kriteria itu, umat Islam boleh dibahagikan kepada 4 golongan apabila diukur dari segi integriti dan kompetensi. Untuk itu lihat gambar rajah di bawah:

Anggota yang cemerlang (Mukmin Profesional) berada di kuadran ke-4 yakni mereka yang berintegriti dan kompetensi. Golongan inilah yang mampu membina kemajuan fizikal dan material sekali gus tamadun rohaniah yang tinggi. Inilah golongan yang pintar dan benar, cerdik dan baik, integriti dan kompetensi.

Manakala, golongan di kuadran ke-2 pula mempunyai perilaku yang baik tetapi culas, tidak efektif, dan efisien ketika melaksanakan tugas. Golongan yang tidak produktif ini akan menyusahkan bahkan merugikan organisasi. Golongan ini berjiwa hamba, tetapi tidak berjiwa khalifah – baik tetapi tidak mampu memberi kebaikan.

Manakala golongan di kuadran ke-3 pula, memberikan hasil kerja yang baik tetapi perilakunya buruk. Golongan inilah berpotensi untuk melakukan ‘jenayah kolar putih’ atau ‘jenayah kolar biru’ kerana tanpa integriti, mereka tidak akan mampu menahan diri daripada melakukan rasuah, pilih kasih dan lain-lain perilaku negatif dalam organisasi.

Golongan ini ada ‘high tech’, tetapi tidak ada ‘high touch’. Mereka baik dalam bekerja tetapi buruk adab dan kelakuannya. Golongan yang umpama ‘haiwan berteknologi’ ini sangat berbahaya buat tamadun manusia.

Akhir sekali ialah kumpulan terburuk yakni mereka di kuadran 1. Sudahlah mempunyai perilaku yang buruk, prestasi kerjanya juga sangat rendah. Jika ramai anggota organisasi berada di kuadran ini, organisasi tersebut berada di ambang kemusnahan. Golongan ‘toxic people’ ini ialah barah yang boleh menjahanamkan organisasi, masyarakat dan negara.

Ada dua sebab mengapa terbentuknya golongan yang ‘rosak dan merosakkan’ ini dalam sesebuah organisasi. Pertama, sistem temuduga yang tidak telus – yang mana individu yang sebenarnya tidak layak diambil berkhidmat, tetapi diambil juga bekerja kerana wujudnya ‘kabel’ yang tidak tulus dan telus, serta campur tangan ‘orang atas’ yang tidak adil. Sepatutnya, proses temuduga dapat menyaring golongan ini daripada
memasuki organisasi.

Antara karya Ustaz Pahrol Mohamad Juoi bersama Galeri Ilmu.

***
Petikan buku Celik Mata Hati tulisan Ustaz Pahrol Mohamad Juoi. Buku ini merupakan naskhah pertama dalam Modul Mukmin Profesional. Naskhah ke-2 bertajuk 7 Langkah Baiki Diri.

Pembelian buku terbitan Galeri Ilmu secara dalam talian boleh dibuat melalui laman web atau pesanan WhatsApp.



Scroll to Top