Kau Tikamku dengan Satu Topeng di Wajah - Galeri Ilmu

Kau Tikamku dengan Satu Topeng di Wajah

“Hidup memang penuh kejutan. Terkadang orang yang kau benar-benar sayang dan paling dekat denganmu rupanya penusuk paling kejam. Mereka menghunusmu dalam diam. Sepi seketika suara alam saat gelap tiada cahaya terang.”

Aku hanya duduk diam membisu. Di dalam kelambu kelam aku meratap perilakumu. Sakit tatkala berdepan dengan tikaman demi tikaman. Jujur aku buntu entah apa yang engkau mahu daripadaku. Engkau datang ke kediaman hidup ini, membina simpulan kasih, berpura dan bersandar pada dinding ukhuwah tapi dalam diam, aku kau tusuk daripada belakang. Kerana cemburu nafsi, akulah si korban dengki.

Begitulah hidup. Saat kamu berada di puncak, begitu ramai orang yang gembira dengan kejayaan hidupmu tapi bukan semua orang benar-benar gembira denganmu. Ada yang dalam diam menyimpan benci kerana iri dengan kelebihanmu.

Saat kamu jatuh, begitu ramai orang yang simpati dan menangisi kejatuhanmu tapi ada sebahagian daripada mereka bersorak riang kerana senang melihat kamu tersungkur di bawah.

Saat kamu putus harapan, ada yang benar-benar mengambil berat namun, ada sebahagian daripada mereka hanya berpura baik tapi dalamannya penuh dengan kebencian dan sangka buruk.

Mereka cemburu dan iri dengan kejayaanmu yang bertubi-tubi. Beginilah kehidupan terbentang. Semakin kita dewasa, bermacam warna sebenar manusia yang bakal kita teroka. Jika kita benar-benar menyerahkan rezeki kepada Allah, kita tiada masa untuk dengki dan sakit hati dengan rezeki orang lain.

Jika mereka tidak suka dengan kejayaan kita, ya terserah. Jika mahu berdendam atau dengki dengan rezeki milik kita itu, terpulang. Itu hak mereka. Kita memang tidak mampu kawal hati orang. Kita memang tak mampu buat semua orang sukakan kita. Hidup kadang berkasta. Bukan semua orang akan layan kita sama rata.

Bersikaplah matang dalam mengendalikan hal-hal yang kurang matang. Hidup mengajar kita menjadi lebih dewasa. Saat mereka cuba menjatuhkan kita, jangan dibalas perbuatan kita sebaliknya berlarilah dengan lebih pecut dan semangat.

Jangan mengaku kalah atau berhenti. Jangan tunduk pada senjata yang diacu atau mengangkat bendera putih. Perjuangan ini masih belum habis. Teruslah berjuang agar kita lebih cepat sampai ke destinasi yang dituju.

Teruskan berlari hingga ke titik akhir agar mereka sedar senjata yang mereka hunuskan adalah jalan pintas kejayaan yang kita impikan selama ini dan mercu kejayaan akan menjadi milik kita di depan nanti. Semakin mereka berusaha menjatuhkan kita, semakin kita berusaha untuk berjaya.

“Kamu di atas atau di bawah, kamu tetap hamba Allah. Semua orang punya kelebihan masing masing. Tugas kita cuma berusaha. Selebihnya biarkan Allah yang menentukannya.”

Pernahkah kamu merasa dengki dengan kejayaan orang lain? Tanyakan hatimu. Jika rasa itu pernah menyusup masuk ke dalam hatimu, cepat-cepat leraikan rasa itu. Percayalah kamu juga istimewa. Punya kelebihan tertentu yang tidak ada pada mereka. Kamu juga memiliki sesuatu yang tidak ada pada orang lain. Maka carilah kelebihan itu dan bersainglah secara adil.

Jangan menggunakan dendam dan kedengkian’
sebagai bayaran kecemburuan,
kerana litar perlumbaan boleh disaingi dengan
saksama dan keadilan.
Jangan memilih jalan pintas dengan kejahatan
kerana,
kemenangan boleh diraih dengan usaha dan
pengorbanan.
Bersainglah cara bermaruah tanpa kezaliman dan
penindasan.
Hidup lebih bahagia.

***

Petikan buku Ada Dia di Hatiku tulisan Thebingkisanhati.





Scroll to Top