Hukum Solat Berjemaah dengan Penjarakan dalam Saf - Galeri Ilmu

Hukum Solat Berjemaah dengan Penjarakan dalam Saf

Menyamakan saf bermaksud orang yang solat berjemaah merapatkan leher, bahu dan tumitnya dengan jemaah di sebelahnya. Perbuatan ini termasuk dalam perkara sunat dan digalakkan. Oleh yang demikian adalah makruh jika jemaah tidak merapatkan saf ketika solat berjemaah.

Permasalahan sekarang ialah persamaan saf ketika ini (Covid-19 masih belum berakhir) tidak digalakkan kerana bimbang berlaku jangkitan penyakit tersebut di kalangan jemaah. Oleh itu semasa solat berjemaah, semua jemaah diminta menjarakkan fizikal antara satu dengan yang lain. Apakah hukum berbuat demikian? Adakah sah solat dalam keadaan tersebut? Telah dinyatakan bahawa merapatkan saf hanyalah sunat tetapi makruh jika ditinggalkan dan solat masih sah.

Sekiranya terdapat keuzuran yang menghalang dirapatkan saf, maka merenggangkan saf adalah harus dan tidak makruh disebabkan keuzuran tersebut.

Apabila para doktor yang tsiqah (boleh dipercayai) mengesahkan bahawa berjauhan antara jemaah dalam saf di dalam masjid boleh mengelak jangkitan penyakit Covid-19, maka harus solat dalam keadaan penjarakan dalam saf dengan syarat ia hanya diharuskan selagi Covid-19 belum berakhir.

Apabila Covid-19 telah berakhir, saf dalam solat hendaklah dirapatkan seperti biasa.

Apabila syariat mengharuskan ditinggalkan mana-mana rukun solat disebabkan keuzuran seperti solat dalam keadaan duduk bagi yang tidak mampu berdiri, maka meninggalkan perbuatan tidak merapatkan saf dalam solat berjemaah untuk mengelak jangkitan Covid-19 adalah harus dan tidak makruh kerana keuzuran yang dinyatakan.

Setelah membaca banyak pandangan dan pendapat ulama masa kini, maka saya simpulkan bahawa majoriti ulama bersetuju bahawa penjarakan antara jemaah dalam saf solat berjemaah kerana bimbang jangkitan Covid-19 adalah diharuskan, bahkan ada yang mengatakan wajib. Keharusan itu disebabkan jangkitan Covid-19 sebagai keuzuran. Penjarakan saf atau merenggangkan saf yang hukum asalnya makruh tidak lagi makruh selagi wabak Covid-19 belum berakhir. Solat dalam saf yang demikian adalah sah.

***

Petikan buku Ibadah dalam Tempoh PKP, karya terbaharu Syeikh Ahmad Faisol Haji Omar.

Menunaikan ibadah adalah kewajipan setiap Muslim walau di mana berada. Covid-19 yang menyerang manusia tanpa mengira usia, jantina mahupun status telah menghalang umat Islam daripada menunaikan ibadah sepertimana kebiasaan ia dilaksanakan.

Para ulama dan pihak berautoriti telah membuat perbincangan dan mengeluarkan garis panduan ibadah untuk umat Islam demi menjaga dan melindungi umat Islam daripada bahaya penyakit Covid-19.

Buku ini menghuraikan kaifiat dan tatacara melaksanakan ibadah yang melibatkan perkumpulan umat Islam di tempat awam, seperti:

  • Solat Zuhur menggantikan solat Jumaat
  • Hukum solat berjemaah dengan penjarakan dalam saf
  • Hukum memakai pelitup muka semasa solat
  • Penggiliran jemaah hadir solat Jumaat
  • Kelas pengajian agama dalam talian
  • Tidak bersalaman selepas solat
  • Kematian dalam tempoh PKP
Scroll to Top