Hantaran Hangus! Ketahui Hak Anda - Galeri Ilmu

Hantaran Hangus! Ketahui Hak Anda

Jika anda (pihak lelaki) bertunang, anda perlu membayar wang hantaran contohnya sebanyak RM20 ribu kepada keluarga perempuan, dan apabila perkahwinan tak jadi, anda boleh mulakan saman untuk menuntut kembali wang hantaran RM20 ribu tersebut daripada pihak perempuan. Ia dengan syarat, iaitu pihak perempuan yang menyebabkan perkahwinan tersebut tak jadi.

Jika pihak lelaki yang menyebabkan perkahwinan tak jadi, RM20k tersebut boleh dikatakan hangus.

Walau bagaimanapun, siapa punca yang menyebabkan perkahwinan itu tak jadi adalah satu perkara yang rumit dan memerlukan pembuktian yang teliti. Ia merupakan sebahagian daripada kontrak (lisan) sama ada express term (syarat nyata) atau implied term (terma tersirat).

Saman malu?

Kalau perkahwinan tak jadi, pihak yang teraniaya tidak boleh saman malu pihak yang satu lagi kononnya malu akibat perkahwinan tak jadi. Habis semua orang kampung tahu dan heboh diperkatakan oleh ramai orang.

Melainkan anda difitnah. Ini kerana saman malu adalah saman fitnah. Undang-undang fitnah ada elemennya yang tersendiri yang perlu dipenuhi. Namun, jika anda mengalami tekanan perasaan akibat perkahwinan tak jadi akibat perbuatan jahat seseorang, anda boleh saman orang yang menyebabkan anda mengalami tekanan perasaan tersebut dengan syarat ada pengesahan daripada doktor pakar.

Petikan buku tulisan Tuan AMAR; 165 Nasihat Tuan Lawyer.

AMAR adalah nama singkatan Arif Muazzim Abdul Rahman. Memiliki ijazah Sarjana Muda Undang-undang daripada Universiti Islam Antarabangsa Malaysia.

Beliau merupakan peguam berpengalaman di firma guamannya sendiri bersama isterinya yang juga merupakan seorang peguam iaitu Arif Muazzim, Zawani & Co. yang terletak di Bandar Country Homes, Rawang, Selangor.

Sebelum itu beliau pernah berkhidmat sebagai peguam di firma guaman ternama iaitu Dato’ Seri Zulkifli Noordin (Zulkifli Noordin & Associates).

Firma guaman Arif Muazzim, Zawani & Co. mengendalikan kes-kes sivil seperti fitnah, hutang, penipuan, pindah milik hartanah, kecuaian dan sebagainya.

Selain itu beliau juga merupakan artis nasyid dan ahli silap mata profesional.

Leave a Comment

Scroll to Top