Hantar Manuskrip - Galeri Ilmu

PROSEDUR MENERBITKAN BUKU
BERSAMA GALERI ILMU SDN. BHD.

PENGHANTARAN KERTAS CADANGAN (PROPOSAL)

  1. Untuk memudahkan sesebuah karya dinilai kesesuaiannya untuk diterbitkan, Galeri Ilmu menggalakkan penulis menyediakan kertas kerja terlebih dahulu dan menghantarkannya melalui e-mel. Kertas kerja membolehkan editor menilai aspek-aspek berikut:
  • Kesesuaiannya dengan dasar penerbitan Galeri Ilmu yang komited menerbitkan bahan bacaan Islami yang membina minda Mukmin, mendidik jiwa, memberi motivasi atau sebagai panduan beramal.
  • Selari dengan pegangan Ahli Sunah Waljamaah.
  • Kesesuaiannya dengan kategori buku yang sedang menjadi tumpuan Galeri Ilmu.
  • Kekuatan isi keseluruhan.
  • Kelainannya dengan buku seumpamanya yang ada di pasaran.
  • Nilai tarbiah (didikan) yang dimasukkan atau yang mendasari karya.
  • Kekuatan susunan bab-bab.
  • Kekuatan gaya olahan.
  • Kekemasan tatabahasa, ejaan dan tanda bacaan.

Dengan adanya kertas kerja, sekiranya idea buku itu diterima dan diluluskan, penulis boleh meneruskan penulisan manuskrip hingga selesai. Sebaliknya jika ia ditolak, penulis boleh mencuba menulis kertas kerja yang lain yang mungkin lebih sesuai dengan kehendak Galeri Ilmu (berbanding kertas kerja bukunya yang ditolak itu). Membaiki kertas kerja lebih mudah daripada membaiki manuskrip penuh.

  1. Kertas kerja hendaklah disertakan surat iringan (cover letter) dan mesti mengandungi:
  • Judul sementara (working title).
  • Kandungan sepintas lalu.
  • Senarai bab-bab.
  • Anggaran jumlah halaman.
  • Anggaran tempoh siapnya manuskrip.
  • Kekuatan dan kelebihan buku.
  • Perancangan penulis untuk membantu aktiviti promosi, pengedaran dan jualan bukunya.
  • Buku-buku saingannya dalam pasaran.
  • Dua contoh bab yang lengkap.
  • Biodata ringkas penulis.
  1. Kertas kerja hendaklah di-e-melkan kepada:

KELULUSAN KERTAS KERJA

  1. Apabila kertas kerja diluluskan untuk diterbitkan, editor perolehan atau editor berkenaan akan menge-melkan surat tawaran atau surat ‘setuju terbit’ kepada penulis; sebagai tanda kesediaan Galeri Ilmu untuk menerbitkan karya itu.
  1. Surat ‘setuju terbit’ itu juga menyatakan:
  • Batas tarikh (deadline) untuk penulis menyempurnakan penulisannya.
  • Terma-terma umum perjanjian yang merangkumi kadar royalti, kekerapan bayaran royalti, tempoh kontrak dan diskaun untuk penulis apabila membeli bukunya sendiri dan buku-buku lain terbitan Galeri Ilmu.

PENGHANTARAN MANUSKRIP MELALUI E-MEL

  1. Manuskrip mestilah ditulis menggunakan laras bahasa Melayu standard dan mudah yang sesuai untuk pembaca awam. Bukan laras bahasa akademik.
  1. Manuskrip yang mengandungi ayat al-Quran mesti disertakan terjemahannya serta nama surah dan bilangan ayat. Manakala hadis hendaklah disertakan terjemahannya dan perawi atau nombor hadis.
  1. Manuskrip yang dihantar kepada editor mestilah manuskrip yang telah disemak sendiri (dibuat self-editing) oleh penulis. Manuskrip itu mestilah seboleh mungkin bersih daripada kesalahan ejaan, kesilapan tanda bacaan dan kesilapan tatabahasa.
  1. Manuskrip hendaklah ditaip dengan format berikut:
  • Font Times New Roman.
  • 12 poin.
  • Langkau 1.5 baris (Spacing 1.5).
  1. Softcopy manuskrip perlu diemelkan kepada editor. JIKA DIMINTA OLEH EDITOR menghantarkan naskhah bercetak (hardcopy), ia hendaklah dihantar ke alamat berikut:

Pengurus Perolehan Buku

Jabatan Penerbitan Galeri Ilmu Sdn. Bhd.

Astana Karya, No. 44 Jalan Pekaka 8/3,

Seksyen 8, Kota Damansara,

47810 Petaling Jaya, Selangor.

  1. Bagi manuskrip yang sampai di meja editor tanpa didahului oleh kertas kerja, ia akan dinilai kesesuaiannya untuk diterbitkan. Editor akan memberikan maklum balas kepada penulis sama ada manuskripnya diterima atau ditolak dalam tempoh sekitar 30 hari hingga tiga bulan, insya-Allah. Jika selepas tempoh itu belum ada sebarang berita atau maklum balas diterima, penulis bolehlah menanyakan status manuskripnya kepada editor berkenaan.
  1. Manuskrip yang sampai di meja editor dianggap draf muktamad daripada penulis. Bagaimanapun, jika editor mendapati ada penambahbaikan yang perlu dibuat sebelum proses suntingan dan reka letak, editor akan memaklumkannya kepada penulis. Untuk kelancaran urusan penerbitan, penulis tidak dibenarkan membuat tambahan pada manuskrip yang sudah berada di peringkat suntingan dan reka letak (layout).
  1. Bagi buku yang dicadangkan untuk diisi gambar-gambar foto, ilustrasi, rajah dan sebagainya daripada penulis, item-item itu hendaklah disertakan bersama penghantaran manuskrip.
  1. Sebelum manuskrip dicetak, salinan naskhah akhir akan diberikan kepada penulis untuk semakan dan pembetulan. Bagaimanapun, sebarang tambahan ayat, fakta, perenggan atau bab tidak dibenarkan pada peringkat ini.
  1. Penulis digalakkan membuat inisiatif sendiri mendapatkan kata pengantar atau testimoni mengenai bukunya untuk dimuatkan pada halaman dalam atau pada kulit buku untuk tujuan promosi.

KONTRAK PENERBITAN

  1. Apabila Galeri Ilmu bersetuju menerbitkan karya penulis dan kerja pracetak telah disempurnakan, satu kontrak penerbitan akan disediakan untuk ditandatangani bersama. Melalui kontrak ini, penerbit bersetuju menerbitkan karya penulis dan penulis bersetuju menyerahkan hak penerbitan karyanya kepada penerbit untuk tempoh yang ditetapkan di dalam perjanjian.
  1. Kontrak ini adalah untuk tempoh tiga tahun bermula dari tarikh buku dicetak dan akan dibaharui dari semasa ke semasa.
  1. Satu salinan kontrak akan disimpan oleh penerbit manakala satu salinan lagi untuk simpanan penulis.

Disediakan oleh:

Zakaria Sungib

Penolong Pengarah Jabatan Penerbitan,

Galeri Ilmu Sdn Bhd

Kemas kini: Mei 2019

zakaria@galeriilmu.com.my  

Scroll to Top