DIY Pemasangan Bateri Kereta - Galeri Ilmu

DIY Pemasangan Bateri Kereta

Ketika PKP dan PKPB dijalankan, ramai pemilik kenderaan kurang menggunakan kenderaan atas dasar kekangan jarak dan kurang keperluan untuk keluar. Ada juga yang bekerja dari rumah malah memesan barang runcit mahupun makanan sedia dimakan menggunakan khidmat penghantaran. Lantaran itu, kenderaan hanya tersimpan di petak parkir.

Oleh itu, pemilik kenderaan hendaklah membuat pemeriksaan menyeluruh bagi memastikan kenderaan anda berfungsi dengan baik. Antara komponen penting bagi sesebuah kereta ialah bateri. Kali ini kami kongsikan petikan buku tulisan Dato’ Ir. Mohamad bin Dalib tentang cara memasang bateri kereta sendiri.

  1. Pastikan enjin kereta dimatikan dan JANGAN SESEKALI MEROKOK!
  2. Bateri mempunyai kandungan asid yang menghasilkan gas hidrogen berbahaya. Bersihkan segera dengan air paip mengalir jika terkena.
  3. Jika tidak mahu hilang tetapan yang sudah disimpan seperti frekuensi stesen radio dan apa jua yang melibatkan sistem elektrik, anda boleh cucukkan bateri berkuasa 9 volt pada lubang pencucuh api rokok. Alat ini boleh didapati di kebanyakan kedai aksesori kereta.
  4. Anda harus ingat, bateri kereta memberi kuasa kepada pelbagai sistem, termasuk ECU kereta. Bagi mengelakkan sebarang kerosakan tidak diingini, buka kabel negatif dahulu, diikuti kabel positif. Selain dapat mengelak daripada terkena renjatan elektrik, kedua-dua kabel perlu sentiasa bersih bagi memastikan aliran elektrik lancar.
  5. Buka skru atau nat pengetat bateri ke tapak bateri.
  6. Periksa kabel/wayar jika terdapat kerosakan.
  7. Pastikan bateri baharu yang mahu dipasang daripada jenama yang diyakini dan mempunyai saiz dan tahap voltan disyorkan untuk kegunaan kereta anda (rujuk buku manual kenderaan masing-masing).
  8. Untuk memasang kabel bateri, pasangkan kabel positif terlebih dahulu dan diikuti kabel negatif. Sebelum kabel dipasang pula, pastikan tiada objek besi disentuh ke mana-mana terminal bateri. Juga jangan biarkan kabel negatif terpasang atau tersentuh terminal bateri.
  9. Pastikan kabel dan skru pengetat bateri sudah diketatkan dan sapukan sedikit gris atau jeli petroleum di kedua-dua kabel bagi mengelakkan pembentukan karbon dan serbuk.

***
Petikan buku Anda & Kereta tulisan Dato Ir. Mohamad Dalib. Penulis ialah seorang mantan Pengarah Bahagian kejuruteraan Automotif, jabatan Pengangkutan Jalan malaysia (mulai 208 hingga 2019). Beliau juga merupakan seorag personaliti radio yang bersiaran setiap minggu di empat stesen radio – IKIM FM, KL FM, Asyik FM dan Perlis FM.

Scroll to Top