Category: Hukum Hakam

5 Kemahiran Baharu yang Anda Boleh Kuasai Sepanjang Tempoh Arahan Kawalan Pergerakan

Sepanjang tempoh Arahan Pergerakan Kawalan Pergerakan ini, suka kami cadangkan beberapa kemahiran yang anda boleh kuasai di rumah.

1. MENGHIAS KEDIAMAN
Anda diberi banyak masa untuk berada dalam rumah. Inilah saat berharga untuk anda menghias rumah dan merancang dekorasi berfungsi agar rumah anda lebih teratur dan tersusun. Menurut pakar hiasan dalaman, Puan Khairunnisa Hamzah, dekorasi yang berkesan membolehkan penghuni sesebuah kediaman itu mencari barang dalam masa sesingkat satu saat!

Islam sukakan keindahan, ramai menyangka dekorasi kediaman ini suatu tindakan yang membawa kepada pembaziran padahal dekorasi kediaman tidak semestinya memerlukan belanja yang mahal. Ikuti tip dekorasi berfungsi dan menyantuni adab seorang Muslim dengan Dekor-Dekor Cinta!

2. MEMPERBAIKI PENGUASAAN TAJWID
Menjelang bulan Ramadhan ini, ayuh kita memperelokkan mutu bacaan al-Quran kita. Sabda Rasullah SAW (yang bermaksud):

Sebaik-baik orang antara kamu adalah orang yang mempelajari al-Quran dan mengajarnya. (Riwayat Bukhari)

Bacalah olehmu akan al-Quran, sesungguhnya ia akan datang pada hari kiamat, memberikan syafaat bagi para ahlinya (pembaca dan penghafal al-Quran). (Riwayat Muslim)

“Sesungguhnya Allah mempunyai keluarga di antara manusia.” Para Sahabat bertanya: “Siapakah mereka ya Rasulullah?” Rasulullah menjawab: “Para ahli al-Quran. Merekalah ahlillah dan hamba pilihan-Nya.” (Riwayat Ahmad)

Dr. Shamsul Mohd Nor kini tampil bersama Ilmu Tajwid Ringkas untuk bantu anda mempelajari tajwid dengan mudah dan berkesan.

3. ILMU KEIBUBAPAAN KONTEMPORARI
Amar Kamilin seorang pemegang Ijazah Sarjana Pendidikan (pengkhususan Psikologi) yang merangkap seorang bapa memuat kisah-kisah realistik yang dihadapi oleh ibu bapa zaman kini. Bonda Nor yang kini sedang melengkapkan pengajian Sarjana Pendidikan Awal Kanak-Kanak pula membentangkan kisah-kisah dari kanta seorang ibu.

Kedua-dua penulis ini berharap masyarakat dapat gambaran kasar tentang cabaran kontemporari para penjaga yang perlu mengasuh anak-anak jagaan mereka. Meski anda bukan seorang ibu atau bapa, anda juga masih seorang anak, maka anda juga patut mendapat pendedahan betapa berat kewajipan ibu bapa mendidik anak-anak. Buku Parent, Think! memang sesuai dibaca oleh sesiapa sahaja.

4. TATACARA SOLAT KETIKA DARURAT
Malang tak berbau. Kita tidak dapat menjangka masa kita akan diuji dengan keuzuran. Walaupun apa yang berlaku, selagi kita masih seorang mukalaf; solat wajib ditunaikan. Namun jika kita ditimpa keuzuran tertentu, Allah dengan penuh ehsan memberi keringanan (rukhsah) untuk kita menunaikan solat.

Buku Solat Ketika Keuzuran mengandungi cara-cara menunaikan solat pada keadaan-keadaan darurat yang tertentu. Boleh jadi anda sakit, ketiadaan air untuk berwudhuk, tidak dapat bersuci dari najis, terpaksa solat dalam kenderaan dan situasi-situasi lain yang tak terjangka.

5. ISU-ISU KESIHATAN LAZIM

Anda sakit apa? – antaranya menghuraikan status kesihatan kita, sama ada sihat, sakit atau berpenyakit. Juga menyentuh beberapa jenis penyakit senyap.

Ortopedik – antaranya menghuraikan masalah sakit sendi, tulang patah, keradangan.

ENT – antaranya menghuraikan masalah telinga, hidung dan tekak seperti telinga dan hidung tersumbat serta dimasuki benda asing.

Kulit – mengenali beberapa jenis penyakit kulit.

Kanak-kanak – memberi panduan kepada ibu bapa apabila berdepan dengan anak sakit seperti demam, lelah dan berkahak.

Puasa dan Raya – masalah & penjagaan kesihatan lazim ketika puasa dan raya seperti gastrik, puasa ibu hamil dan cirit-birit.

Semua ini ada dalam buku Saya Sakit Apa Doktor? Secara keseluruhannya penulis menggunakan pendekatan gaya bahasa yang mudah, ringkas dan sesekali berjenaka.


***
Berita baik! Kini berlangsungnya Pesta Buku Online Galeri Ilmu. Inilah masanya anda mendapatkan buku-buku ini dengan harga sungguh berbaloi. Klik sini untuk buat pembelian secara dalam talian!


Solat dalam Keadaan Berbogel? Soal Jawab Aurat dalam Solat

MENUTUP AURAT

Seperti mana yang kita tahu bahawa menutup aurat itu adalah wajib. Dalam hal ini kita ingin memberitau betapa pentingnya menutup aurat ketika solat. Masyarakat kini sering mengambil hal ini dengan sambil lewa. Di sini saya ingin memberitahu syarat-syarat menutup aurat yang betul. 

Menutup aurat adalah syarat sah solat. Solat dalam keadaan mendedahkan aurat walaupun sedikit sahaja bahagian aurat yang terdedah menyebabkan solat batal dan tidak sah. Solat yang terbatal itu wajib diulang kembali dengan menutup aurat. Walau bagaimanapun, dalam keadaan-keadaan tertentu yang mendesak dan terpaksa, seseorang itu dikecualikan menutup aurat ketika solat dan solatnya sah. 

Menutup aurat adalah syarat sah solat. Adakah gugur kewajipan solat jika seseorang itu tidak ada pakaian untuk menutup auratnya?

Tidak sama sekali. Selagi seseorang itu kekal sebagai mukalaf, kewajipan solat tidak gugur daripadanya. Dia wajib melakukan solat walau dalam apa jua keadaan sekalipun.

Jika diharuskan solat tanpa menutup aurat kerana ketiadaan material seperti kain dan sebagainya sejauh manakah sempadan atau kawasan aurat yang diharuskan mendedahkannya? 

Jika tiada pakaian yang lengkap untuk menutup keseluruhan aurat, harus menutup sekadar yang boleh ditutup. Jika pakaian yang ada mencukupi untuk menutup sebahagian aurat sahaja, maka wajib menutup bahagian atas terlebih dahulu, bukannya bahagian bawah. Jika kain yang ada hanya mencukupi untuk menutup bahagian kemaluan hadapan dan dubur, maka memadai ditutup kedua-duanya. Jika kain yang ada hanya cukup untuk menutup salah satu daripadanya, maka hendaklah ditutup kemaluan hadapan solat dalam keadaan tersebut hukumnya adalah sah.

Adakah seseorang yang telah menyempurnakan solat dalam keadaan berbogel, wajib mengulang solatnya apabila ada pakaian nanti?

Solatnya dalam keadaan berbogel adalah sah. Tidak wajib mengulanginya apabila ada pakaian nanti.

***
Petikan buku tulisan Syeikh Ahmad Faisol yang bertajuk Solat Ketika Keuzuran. Penulis ialah seorang Pegawai Agama Islam Daerah Kota Setar, Kedah. ‘Syeikh’ ialah gelaran rasmi kepada Pegawai Hal Ehwal Islam yang berkhidmat dengan kerajaan Negeri Kedah Darul Aman.

Menghilangkan Marah

Ketahuilah, marah adalah sifat tercela yang banyak kemudaratannya (antaranya):

  • Disebabkan marah, anggota zahir boleh memukul, berkata kesat dan membunuh.
  • Disebabkan marah juga, hati akan menyimpan dendam, dengki, suka apabila orang yang dimarahinya terkena bala, sedih apabila orang tersebut mendapat nikmat dan ada niat untuk membuka rahsianya. Semua yang disebutkan ini adalah punca kepada kemudaratan (kebinasaan).

Menghilangkan marah dipuji dalam agama.

Menghilangkan perasaan yang terlalu marah termasuk perkara yang sangat penting dalam agama. Rasulullah SAW bersabda:

Bukanlah kekuatan itu dengan gagah melawan, akan tetapi kekuatan (yang sebenar) ialah orang yang dapat mengawal dirinya ketika sedang marah.
(Riwayat Asy-Syaikhan)

Ia bermaksud dia dapat mengawal dirinya daripada mengeluarkan kata-kata kesat dan memukul seseorang yang lebih lemah daripadanya ketika dia marah.

Seorang lelaki berjumpa Rasulullah SAW dan meminta nasihat,
“Perintahkanlah kepadaku suatu amal tetapi biarlah Tuan sedikitkan.
Rasulullah SAW menasihatnya dengan:

“Jangan marah.


Lelaki tersebut mengulang lagi permintaan untuk dinasihati, lalu
Rasulullah SAW tetap mengulangkan nasihat yang sama:

“Jangan marah.

(Riwayat Al-Bukhari)

***
Petikan buku Qalbun Salim: Syarah Penawar Bagi Hati tulisan Ustaz Muhadir Hj. Joll.

Menyantuni Anak Didik – Gaya Rasulullah

Jika dikaji faktor geografi yang wujud sebelum Baginda diutuskan menjadi Rasul, maka kita dapati Baginda mampu memainkan peranan dalam suasana masyarakat Arab Jahiliah yang begitu kasar tabiat mereka dan hilangnya nilai-nilai moral.

Namun Baginda mampu mendidik dan bersabar atas dugaan yang menimpa. Walaupun Baginda sendiri seorang yang ummi, akhirnya Allah SWT memberikan pertolongan-Nya apabila bangsa Arab Jahiliah yang kasar dan mempunyai akhlak yang tidak baik, tunduk dan patuh terhadap ajaran Islam yang dibawa oleh Baginda.

Karlil menceritakan keadaan orang Arab dengan menyatakan: “Mereka merupakan satu bangsa yang tinggal di padang pasir dan telah meninggalkan ajaran agama sejak sekian lama. Apabila Allah SWT mengutuskan seorang Nabi, maka tanah yang kontang tadi menjadi kiblat ilmu pengetahuan, bilangan mereka menjadi ramai dan mulia walaupun sebelum ini mereka hina dan tidaklah diampunkan. Selama satu kurun tanah air mereka telah berjaya disuburkan dengan ilmu dan kebudayaan yang terpuji.”

Sabda Rasulullah SAW (yang bermaksud): Sesungguhnya Allah SWT tidak mengutuskan saya untuk memberi kesukaran dan mencari kesilapan orang lain. Sebaliknya Allah SWT mengutuskan saya sebagai guru yang memberi kemudahan.
(Riwayat Muslim)

Diriwayatkan daripada Sayyidina Mua‘wiyah bin Hakam as-Sulami, beliau berkata:

Ketika saya sedang solat bersama Rasulullah SAW, tiba-tiba seorang lelaki bersin, lalu saya pun mendoakannya: “Moga Allah SWT merahmatimu.” Para Sahabat yang lain tiba-tiba memandang saya. Saya pun berkata, “Bencana apa hari ini yang menimpa saya? Kenapa kamu semua memandang saya?” Lantas mereka semua tiba-tiba menepuk-nepuk paha masing-masing. Apabila saya melihat mereka meminta saya untuk diam, saya pun diam. Setelah Rasulullah SAW selesai solat, Baginda memanggil saya. Saya berani bersumpah yang saya tidak pernah melihat seorang guru pun sebelum dan selepas Baginda yang terlebih elok kaedah pengajarannya daripada Baginda. Demi Allah SWT, Baginda tidak mengherdik, memukul, dan tidak menghina saya. Baginda hanya bersabda: “Secara pasti, tidak harus kita berkata-kata dalam solat. Sebaliknya solat itu ialah tasbih, takbir dan bacaan al-Quran.”
(Riwayat Muslim)

Imam Nawawi berkata: “Hadis yang mulia ini menerangkan akan mulia dan unggulnya budi pekerti Baginda yang berlemah lembut dengan orang yang tidak mengetahui sesuatu hukum dan sikap berkasih sayang kepada umat. Para pendidik hendaklah menggunakan pendekatan yang digunakan oleh Baginda bagi memastikan proses pendidikan yang dilakukan mendapat kesan yang sewajarnya.”

***

Dipetik dari buku Mendidik Gaya Rasulullah tulisan dan susunan Dr. Shuhadak Mahmud.





Mengumpulkan Harta yang Bukan Milik

Ada seorang hamba Allah, hidupnya sibuk dengan mencari harta. Tidak sempat untuk datang ke masjid berjemaah, tidak sempat untuk mendengar kuliah, tidak sempat untuk beribadah kepada Allah SWT.

Dengan takdir Allah SWT, dicabut nyawanya oleh malaikat, sampai ajalnya. Sedangkan hidupnya selama ini dengan mengumpul harta, akhirnya diperolehi oleh orang lain. Sedangkan dia, terpaksa menjawab setiap sen dan setiap harta yang dikumpulkannya itu di hadapan Allah SWT. Bukankah kurang cerdik perkara sedemikian?

Bukankah lebih elok sekiranya apabila kita mendapat harta, kita infakkannya, memberi sedekah kepada orang lain, membayar zakat dan sebagainya. Rasulullah SAW bertanya kepada para Sahabat, “Adakah kalian pernah melihat orang yang sibuk mengumpulkan untuk orang lain?” Para Sahabat menjawab, “Wahai Rasulullah, adakah orang yang demikian itu?” Baginda menjawab, “Orang yang hidupnya mengejar dunia, tetapi yang dikumpulkannya itu akan diperoleh oleh orang lain.”

Gunakanlah kelebihan-kelebihan yang kita ada itu untuk mengejar akhirat. Apa gunanya kita mengumpulkan perkara-perkara dunia, tetapi kita di akhirat nanti terjerat apabila ditanya akan harta-harta kita. Rugi!

***
Petikan buku Mau’izzah Hasanah: Malam Pertama di Barzakh tulisan Ustaz Dusuki Abd Rani.

3 Jenis Hak Isteri yang Suami Kena Tahu

Lelaki sebagai pemimpin.

Kaum lelaki itu adalah pemimpin bagi kaum wanita, oleh kerana Allah telah melebihkan sebahagian mereka (lelaki) atas sebahagian yang lain (wanita) … .” (An-Nisa’ 4: 34)

Allah SWT menggunakan perkataan (ar-Rijal) berbanding (adzDzukur) kerana letupan-letupan bahasa (bahasa naluri) yang terhasil ketika menyebutnya telah melambangkan kehebatan perkataan itu. Seorang lelaki yang berkeinginan untuk memimpin keluarganya perlu memiliki lapan sifat terlebih dahulu. Dalam erti kata lain, bagaimana untuk menjadi suami berwatak rijal menurut al-Quran dan hadis Nabi SAW.  

Antaranya ialah dengan mengetahui hak isteri dan batasannya.

Seorang suami perlu mengetahui segala hak isterinya dan batasan untuk memenuhi hak itu. Elakkan daripada menangguhkan atau mencuaikan pemberian nafkah yang selayaknya diterima oleh isteri. Batasan hak seorang isteri merangkumi tiga jenis hak atau nafkah, iaitu;

i. Nafkah Dharuriyyat

Nafkah yang penting dan perlu disediakan dan dipenuhi oleh suami dalam apa jua keadaan. Contohnya, keperluan makanan, minuman dan tempat tinggal yang selesa. 

ii. Nafkah Hajiyyat

Perkara yang bukan berbentuk keperluan tetapi penting untuk menyediakannya. Nafkah ini perlu dipenuhi mengikut kadar kemampuan suami. Contohnya, keperluan telefon dan kereta.

iii. Nafkah Tahsiniyyat

Perkara yang bukan berbentuk keperluan dan tidak terlalu penting untuk diberikan dan dimiliki oleh isteri. Suami boleh menyediakan keperluan ini sekiranya berkemampuan. Namun tidak menjadi kesalahan jika tidak berkemampuan untuk menyediakannya. Contohnya, barangan kemas, peralatan solek, barangan kosmetik dan perkara berbentuk kemewahan.

Tiada istilah sudah terlambat bagi seorang suami untuk membina perwatakan sebagai seorang rijal kepada keluarganya. Sejujurnya, isteri sangat menyukai suaminya yang menerajui dan memimpin keluarganya dengan baik. Seandainya suami gagal melakukan hal itu, isteri terpaksa mengambil alih tugas sebagai pemimpin keluarga.

Jika ini berlaku, ketokohan suami dalam memimpin rumah tangga akan mula berkurangan. Oleh sebab itulah, seorang suami perlu segera berperwatakan sebagai seorang pemimpin bagi keluarganya sesuai dengan apa yang telah diperintahkan oleh Allah SWT kepada umat manusia.

 

Petikan buku Keluarga Idaman Syurga karya Ustaz Muhamad Abdullah Al-Amin. Panduan untuk menghadapi cabaran dalam berumah tangga dan berkeluarga berpandukan ayat-ayat suci al-Quran al-Karim didedahkan dalam buku ini. Penulis menghimpunkan 40 ayat-ayat al-Quran tentang kekeluargaan dan rumah tangga. Buku ini membincangkan pelbagai teknik dan tip untuk mengenal pasti isu dan masalah, bagaimana untuk memahami punca lalu mencadangkan jalan penyelesaian terbaik berpandukan ayat-ayat suci al-Quran.

Tak Perlu Risau Anda Tak Mahir Baca Al-Quran, Ada Dua Ganjaran Jika Anda…

Sebagai Muslim, kita tidak perlu terhanyut oleh rasa bimbang dek kesukaran belajar membaca al-Quran. Meskipun kita masih merangkak dalam mempelajari bacaan al-Quran, hal ini adalah lebih baik daripada mereka yang meninggalkan terus pembacaan al-Quran dengan alasan tidak mahir membacanya.

Dalam sebuah hadis daripada `Aisyah R.Anha, Rasulullah SAW pernah bersabda:

الْمَاهِرُ بِالْقُرْآنِ مَعَ السَّفَرَةِ الْكِرَامِ الْبَرَرَةِ وَالَّذِي يَقْرَأُ الْقُرْآنَ وَيَتَتَعْتَعُ فِيهِ وَهُوَ عَلَيْهِ شَاقٌّ لَهُ أَجْرَانِ

Maksudnya:
Seorang yang mahir dalam membaca al-Quran bersama al-Safarah al-Kiram al-Bararah dan bagi yang membaca al-Quran namun tersangkut-sangkut dan berasa susah buatnya maka untuknya itu dua ganjaran.

Riwayat Muslim (798) & Ibn Majah (3779)

Al-Imam al-Nawawi Rahimahullah menyebutkan bahawa dua ganjaran yang diperolehi itu adalah kerana pertamanya bagi pembacaannya itu dan yang keduanya disebabkan kepayahannya dalam membaca al-Quran.

Dalam sebuah hadis yang lain, Nabi SAW memuji golongan yang mempelajari al-Quran dan juga yang mengajarkannya. Daripada Uthman bin `Affan RA, Rasulullah SAW telah bersabda:

خَيْرُكُمْ مَنْ تَعَلَّمَ الْقُرْآنَ وَعَلَّمَهُ

Maksudnya:
Sebaik-baik kalian adalah mereka yang belajar al-Quran dan mengajarkannya.

Riwayat al-Bukhari (5027)

Dipetik dan diolah semula berdasarkan artikel dari laman Mufti Wilayah Persekutuan.

***

Berita baik untuk semua yang berhasrat membaiki kualiti bacaan al-quran anda. Ada beberapa buku rujukan yang sudah berada pasaran. Anda boleh memilih buku yang dirasakan bersesuai dengan tahap penguasaan serta keperluan anda.

Kuasai Tajwid 6 Jam

Sesuai untuk pemula yang inginkan menguasai tajwid asas. Dirumuskan menggunakan formula al-Hidayah hasil kajian dan pemerhatian Zubair Malik selama bertahun-tahun menjadi pengajar al-Quran serta pengalaman beliau dilantik sebagai juri bagi pertandingan tilawah, hafazan dan taranum peringkat kebangsaan.

Buku ini menghuraikan hukum hakam Tajwid dengan lengkap. Ia disampaikan dengan penyampaian yang penuh warna, lengkap dengan contoh, disertai carta dan rajah serta grafik bagi memudahkan pemahaman.

Bonus: Modul asas tahsin secara percuma

Mahir Tajwid

Buku Mahir Tajwid ini menerangkan seluruh asas-asas ilmu Tajwid yang perlu difahami setiap Muslim.

Setiap tajuk disampaikan secara ringkas dan padat, didatangkan contoh-contoh untuk menguatkan kefahaman dan disertai dengan pelbagai bentuk latihan supaya pembaca dapat menguasai ilmu Tajwid dengan sebaiknya. 

Panduan Tajwid Berkesan Syarah Matan Tufah Al-Athfal


Buku ini menjelaskan hukum hakam ilmu Tajwid melalui bait-bait syair indah yang disusun oleh Syeikh Sulaiman al-Jamzuri.

Syair yang mengandungi 61 bait ini mengumpulkan hukum hakam ilmu Tajwid bermula dengan hukum Nun Mati dan Tanwin, hukum Nun dan Mim yang Bersabdu, hukum Mim Sakinah, hukum Lam Ta’rif dan Lam Fi’il, hukum Idgham Mislain, Mutaqaribain dan Mutajanisain serta pembahagian Mad.

Ilmu Tajwid Ringkas

Setiap perbahasan dalam ilmu Tajwid disampaikan dengan bahasa yang ringkas dan mudah difahami. 

Disertai gambar rajah berwarna, latihan dan panduan untuk membantu pembaca memahami dan menguasai ilmu Tajwid dengan sempurna hingga mampu membaca al-Quran dengan melafazkan setiap huruf dari makhrajnya yang betul, memenuhi hak-hak setiap huruf dan menepati kadar bacaan pendek atau panjangnya serta waqaf dan ibtida’.

Bonus: Matan Al-Jazariyyah berserta terjemahan

Menjelang Ramadhan, Ini 5 Persiapan yang Kita Mesti Buat

Sabda Nabi SAW (yang bermaksud):
“Rejab itu bulan Allah, dan Syaaban itu bulanku, dan Ramadan itu bulan umatku.”

Justeru kita sepatutnya bersedia untuk bertemu bulan yang mulia ini. Antara lima perkara yang perlu dipersiapkan adalah:

  1. Menjaga kesihatan agar stamina kita ketika berpuasa dalam keadaan optimum.
    • Ibadah puasa memerlukan kekuatan fizikal.
    • Elakkan merokok dan tinggalkan tabiat merokok.
    • Setelah menahan lapar pada siang hari, pada malam hari kita perlu bersedia merebut pahala solat sunat terawih.
    • Rutin seharian kita masih perlu dilakukan meskipun kita berpuasa.

  2. Rehat dan tidur secukupnya.
    • Latih diri untuk tidur awal agar ketika tak terlepas merebut pahala bersahur kelak.
    • Jam biologi manusia boleh dilatih agar dapat tidur dan bangun pada waktu yang kita ingini.

  3. Mendampingi al-Quran.
    • Kerap membaca al-Quran dan memperbaiki mutu bacaan melalui semakan tajwid dan tartilnya.
    • Taddabur al-Quran agar lebih mencintai ayat-ayat suci ini setelah kita memperhalusi maknanya.

  4. Akrab dengan rumah ibadah.
    • Biasakan diri berjemaah di surau ataupun masjid untuk solat fardhu berjemaah.
    • Ajak juga ahli keluarga dan kenalan untuk kerap berjemaah.
    • Penuhkan masa dengan kebaikan dan tinggalkan amalan-amalan yang tidak bermanfaat.

  5. Belajar hukum-hakam dan cara menunaikan ibadah khusus sepanjang Ramadhan. Puasa merupakan salah satu rukun Islam, maka amat mustahak buat kita untuk mendalami perincian ibadah ini. Antara sumber ilmu ialah melalui pembacaan. Buku-buku ini insya-Allah boleh membantu anda mengulang kaji tentang ibadah puasa serta menambah pengetahuan anda.

    • 206 Permasalahan Puasa
      • Pencerahan isu-isu berkaitan puasa berserta rujukan kitab-kitab fiqah muktabar.
    • Ensiklopedia Solat
      • Pelajari fakta tentang solat termasuk trivia solat-solat sunat dengan infografik yang menarik dan tersusun.
    • Q&A Puasa dan Raya
      • Koleksi 261 jawapan EVERGREEN berkaitan ibadah puasa, zakat fitrah dan hari raya berdasarkan rujukan kitab ulama muktabar. 

Pemergian dalam Tidur

Kita digemparkan dengan berita pemergian seorang pelawak tanah air yang dikenali Abam atau nama sebenarnya Syed Umar Mokhtar bin Syed Mohd Redzuan, 32. Pemergiannya ketika dalam tidur itu hanya disedari apabila isterinya, Nor Hidayah, cuba mengejutkannya pada waktu subuh namun Abam tidak memberi sebarang reaksi. Sungguh ketibaan ajal tak terduga.

Inna lillahi wa inna illahi rajiun. Sesungguhnya kita milik Allah dan kepada-Nya kita kembali. Sama-samalah kita sedekahkan al-Fatihah kepada Allahyarham. Takziah kepada keluarga Allahyarham dan semoga Allahyarham ditempatkan dalam kalangan orang beriman.

Kita yang masih hidup dianjurkan melakukan beberapa perkara:

1. Doa dan istighfar. Hal ini berdasarkan firman Allah SWT:

وَالَّذِينَ جَاءُوا مِن بَعْدِهِمْ يَقُولُونَ رَبَّنَا اغْفِرْ لَنَا وَلِإِخْوَانِنَا الَّذِينَ سَبَقُونَا بِالْإِيمَانِ وَلَا تَجْعَلْ فِي قُلُوبِنَا غِلًّا لِّلَّذِينَ آمَنُوا رَبَّنَا إِنَّكَ رَءُوفٌ رَّحِيمٌ

Maksudnya: “Dan orang-orang (Islam) yang datang kemudian daripada mereka (berdoa dengan) berkata: “Wahai Tuhan Kami! Ampunkanlah dosa kami dan dosa saudara-saudara kami yang mendahului kami dalam iman, dan janganlah Engkau jadikan dalam hati perasaan hasad dengki dan dendam terhadap orang-orang yang beriman. Wahai Tuhan kami! Sesungguhnya Engkau Amat Melimpah Belas kasihan dan Rahmat-Mu.”

2. Di dalam kitab Amalan Orang Soleh, Selepas jenazah dikuburkan, tunggulah sebentar di kubur dan bacakan surah al-Ikhlas 11 kali di sebelah bahagian kepala jenazah (merujuk kepada kawasan kubur yang telah ditimbus oleh tanah). Sebaik-baiknya dikhatamkan surah al-Baqarah sebelum pulang (Amalan membaca 11 kali surah al-Ikhlas adalah berdasarkan hadis daripada Abu Umamah al-Bakili.)

3. Al-Munjiyah ash-Shughra الصغری الـمنـجـیة) Kelepasan Kecil) Berusahalah untuk mengkhatamkan membaca: 70,000 kali Lailahaillallah selepas kematian dan dihadiahkan pahala bacaan kepada si mati. Jika dikhatamkan dalam masa terdekat selepas kematiannya, adalah lebih baik. Amalan ini juga adalah untuk kelepasan diri sendiri. Ketika mengkhatamkan 70,000 kali dan diniatkan pahalanya untuk si mati, bermakna, pembaca juga telah mengkhatamkan untuk dirinya sendiri. Berusahalah mengkhatamkan sejumlah ini sebelum meninggal dunia.

4. Al-Munjiyah al-Kubra الکبری الـمنـجـیة) Kelepasan Besar) Berusahalah untuk mengkhatamkan membaca surah al-Ikhlas 100,000 kali sebelum meninggal dunia. Boleh juga diniatkan pahalanya untuk sesiapa yang telah meninggal dunia.

Semoga Allah merahmati kita semua khasnya buat arwah Syed Umar Mokhtar bin Syed Mohd Redzuan.

Allahummagfirlahu warhamhu, wa’afihi wa’fuanhu.

Persediaan Pengantin Baru ke Alam Rumah Tangga

Pada musim perayaan ini pasti ramai yang mendirikan rumah tangga. Pasti ahli keluarga, sahabat handai serta kenalan teruja untuk meraikan hari bahagia pasangan raja sehari ini. Apa agaknya ya hadiah yang sesuai buat kedua-dua mempelai?

Bagi yang tinggal berjauhan dari lokasi majlis, pasti anda terfikirkan ruang untuk bawa hadiah tersebut. Apa kata anda hadiahkan buku-buku yang bermanfaat untuk mereka? Berbekalkan ilmu rumah tangga dan ilmu mengasuh serta mendidik anak, insya-Allah pasangan raja sehari ini lebih bersedia mengemudi keluarga mereka dengan lebih baik. Berikut merupakan senarai buku yang bersesuaian.

1. Golden Rule

Baca, fahami, berazam dan berusahalah untuk mengamalkan apa yang dimaksudkan dengan Golden Rule. Semua perkara yang dinyatakan dalam Golden Rule merupakan asas dalam pembentukan rumah tangga yang sejahtera. Walaupun mungkin ada antaranya dianggap remeh, jangan lupa bahawa dalam ‘keremehan’ itulah tersedia ganjaran pahala yang besar.

Dengan mengekalkan gaya santai Ustaz Muhammad Abdullah al-Amin, buku ini juga sarat dengan tip-tip yang mahal dan realistik dalam membentuk keluarga yang bahagia berlandaskan Islam dan teladan keluarga Nabi SAW.

2. Keluarga Idaman Syurga

Membina rumah tanggga mungkin tidak sukar, tetapi memastikan rumah tangga dan keluarga itu aman damai, bahagia dan berjalan lancar itulah cabaran yang tidak dapat dielakkan.

Panduan untuk menghadapi cabaran dalam berumah tangga dan berkeluarga berpandukan ayat-ayat suci al-Quran al-Karim didedahkan dalam buku ini. Penulis menghimpunkan 40 ayat-ayat al-Quran tentang kekeluargaan dan rumah tangga.

Buku ini membincangkan pelbagai teknik dan tip untuk mengenal pasti isu dan masalah, bagaimana untuk memahami punca lalu mencadangkan jalan penyelesaian terbaik berpandukan ayat-ayat suci al-Quran.

3. Isteri Dominan

Memang benar suami adalah nakhoda rumah tangga, namun kita tidak boleh menafikan hakikat bahawa suasana dalam rumah tangga sebenarnya lebih banyak dicorakkan oleh seorang isteri.
Mengapa? Sebab seorang isteri yang gembira akan membuatkan suami lebih selesa dan anak-anak juga meraih bahagia.

Justeru persoalannya, bagaimana mahu membuat seorang isteri itu gembira? Jawapannya mudah. Seorang isteri mesti beroleh kuasa dalam rumah tangganya! Seorang isteri mesti tahu mengapa dia perlukan sesuatu, mengapa dia mesti dapat apa yang dia mahu dan jika si isteri tidak dapat perkara itu, dia mesti tahu bagaimana mahu meleburkan kehampaannya.

Inilah yang cuba dibawakan di dalam naskhah ini. Semua perkongsian di sini bukan sahaja sesuai dibaca oleh para isteri bahkan para suami juga perlu mengambil kesempatan untuk menghadam isi hati seorang isteri menerusi naskhah ini.

Bukan semua perkara mampu diluahkan oleh seorang isteri kepada suaminya dan tidak semua rasa tak puas hati sanggup dijelaskan oleh seorang suami terhadap si isteri.

4. Anak Gajet

Kita hidup di zaman berbeza, cara parenting dulu dan sekarang perlu diadaptasi mengikut kesesuaian dan kepentingan semasa. Tidak dinafikan bagaimana kita dididik dulu akan mempengaruhi cara didikan kita kepada generasi hari ini. Namun, itu tidak bermakna kita tidak mampu bawa perubahan.
Jika anda pernah dipukul kasar ibu bapa masa kecil dan masih ingat sampai hari ini, itu bukan kenangan manis, tetapi trauma yang diindahkan.

Menyedari hakikat teknik parenting dulu lebih banyak memberi trauma kepada anak-anak berbanding kebaikan bukanlah bermaksud untuk kita berdendam. Tetapi ia lebih kepada mengakui hakikat kebenaran dan kita perlu sedar kitaran ini perlu dihentikan dan tidak berterusan pula untuk generasi akan datang. Semuanya perlu bermula dengan parenting yang dilengkapkan dengan ilmu.

5. Didik Anak Cemerlang

Didik Anak Cemerlang (DAC) merupakan buku petua atau menyemai idea untuk mereka yang bakal atau baru melangkah ke alam rumah tangga. Penulis berkongsi 15 petua yang wajar dipertimbangkan oleh ibu bapa untuk melahirkan anak yang cemerlang.

Hari ini, ibu bapa melihat anak-anak perlu cemerlang dari segi akademik, lantas meminggirkan ilmu akhirat mereka. Ibu bapa berkorban apa sahaja termasuk wang ringgit untuk memastikan anak-anak mendapat keputusan cemerlang dalam peperiksan.Inilah yang cuba diperjelaskan oleh penulis bahawa anak yang cemerlang sebenarnya perlu seimbang ilmu dunia dan akhirat.

6. Parent, Think

Kita sebagai ibu bapa, kena faham beberapa perkara. Kita boleh berusaha, tapi hidayah dan hasilnya tetap milik Allah. Jangan perah sangat hati kita untuk selesaikan semua masalah dengan segera. Jangan perah sangat anak kita untuk ikut semua perkara yang tampak baik pada pemikiran kita.

Kena faham, setiap perkara yang akan berlaku, ada jalan-jalannya. Kadang lurus. Kadang berliku-liku. Mungkin anak kita berjaya menerusi tunjuk ajar kita. Mungkin juga dia akan berjaya menerusi pengalaman daripada kesilapannya. Kita tak tahu. Kita tak tahu jalan kejayaan anak kita yang mana satu!

Jadi, dalam pada kita berusaha, belajar sabar. Belajar redha. Dan paksa diri percaya pada setiap ketentuan Allah!

Ini bukan zaman untuk saling salah menyalahkan. Tapi zaman menghargai apa yang baik dan memperbaiki apa yang kurang baik. Muhasabah diri, muhasabah situasi dan siap sedia untuk menjadi lebih baik. Insya-Allah, kita cuba sama-sama

Pembelian buku terbitan Galeri Ilmu secara dalam talian boleh dibuat melalui laman web atau pesanan WhatsApp.


Theme: Overlay by Kaira Galeri Ilmu Sdn Bhd 2020
Kota Damansara, Petaling Jaya