Berhati-hati dengan Hati - Galeri Ilmu

Berhati-hati dengan Hati

Hati terbahagi kepada dua pengertian iaitu:

Hati yang zahir.
Itulah sepotong daging yang dapat dilihat oleh mata kasar yang berbentuk lonjong memanjang.

Hati yang batin.
Iaitu al-Latifah ar-Rabbaniyyah (Nur Ilahi), tempat terbit segala macam perasaan, yang mana itulah hakikat manusia. Tempat di mana segala perbicaraan akhirat akan ditunjukkan, yang dicaci dan dipuji. Dan itulah hati yang menjadi pokok perbicaraan dalam bab ini atau Diri yang Rohani, iaitu tempat letaknya perasaan dan nafsu manusia.

Rasulullah SAW bersabda (yang bermaksud):

“Ketahuilah dalam hati anak Adam itu terdapat seketul daging. Apabila baik daging itu, maka baiklah seluruh anggota jasadnya. Apabila jahat daging tersebut, maka akan jahatlah seluruh anggota jasad. Ketahuilah, itulah hati.”
(Riwayat Bukhari dan Muslim)

Hati itu umpama raja dan nafsu itu umpama penasihatnya. Seluruh anggota zahir manusia itu ibarat tenteranya. Andai kata hati itu baik, ia akan memerintahkan seluruh anggota berbuat baik dan lahirlah di tengah masyarakat kebaikan, hasil daripada hati yang baik.

Tetapi jikalau hati itu jahat, ia akan memerintahkan anggotanya berbuat jahat, maka akan lahirlah kerosakan dan kejahatan di tengah masyarakat hasil daripada hati yang jahat.

Hati dan nafsu itu sama-sama bergandingan dalam membuat keputusan. Anggota zahir ini melaksanakan tindakan. Oleh sebab itu, dalam menempuh perjalanan menuju kepada Tuhan ini, kita perlu mengetahui dan memahami gerak dan tingkah laku hati, agar kita tidak mudah terjebak dengan bisikan-bisikan nafsu yang sangat membawa kepada kerosakan.

Firman Allah SWT (yang bermaksud):

“Dan aku tidaklah membebaskan diriku (daripada kesalahan),
kerana sesungguhnya nafsu itu sangat menyuruh kepada kejahatan… .”
(Yusuf 12: 53)

Hati atau roh adalah hakikat kejadian manusia. Oleh sebab itu, ia diberi keupayaan untuk berasa senang dan susah. Ia sangat sensitif kepada apa yang berlaku, didengar, dilihat dan dirasa.

Dari sanalah ia menentukan sikap manusia sama ada positif atau negatif. Memang hakikat penciptaan hati oleh Allah SWT adalah sesuatu yang maha ajaib. Kelajuan perjalanan hati tidak terhitung dan ruangan gerakannya tiada had.

Hati atau roh tidak mati sewaktu jasad zahir manusia itu mati. Roh berpindah ke alam barzakh dan seterusnya ke alam akhirat. Bagi Mukmin yang suci murni hatinya, dia akan dapat melihat Allah SWT di akhirat kelak. Itulah hati manusia. Ia juga disebut roh. Tempatnya adalah dalam hati jasmani. Hati rohaniah ini umpama burung yang bersangkar dalam jasmani.

Hati manusia berbeza dengan hati haiwan kerana hati manusia boleh menerima perintah dan larangan daripada Allah SWT; ia disebut Ruhul Amri. Manakala hati haiwan tidak bersifat demikian; ia disebut Ruhul Hayah.

Hati boleh menjadi baik atau jahat. Hati ada pelbagai rasa. Rasa senang apabila dipuji. Rasa menderita apabila dikeji. Rasa riyak dan megah apabila mendapat kelebihan atau kejayaan. Rasa ujub (hairan diri) apabila mempunyai kemampuan. Rasa terhina apabila mempunyai kelemahan. Rasa sombong dan angkuh apabila berkuasa atau ada ilmu atau ada kekayaan atau ada kekuatan. Rasa marah apabila dikata dan dihina. Rasa dengki apabila melihat orang lain lebih. Rasa dendam apabila orang lain menganiayanya. Rasa keluh-kesah apabila mendapat susah. Rasa terhutang budi dan berterima kasih apabila ada orang menolong. Rasa gerun apabila berhadapan dengan perkara yang menakutkan. Rasa jijik apabila berhadapan dengan benda yang kotor.

Begitulah riak-riak hati yang beralih-alih kepada berbagai-bagai rasa dengan sendirinya, apabila dirangsang oleh faktor-faktor luaran. Ada rasa yang jahat dan ada rasa yang baik. Perasaan itu kemudiannya akan mempengaruhi sikap zahir manusia. Kalau rasa itu baik, baiklah tindakan manusia. Dan kalau rasa itu jahat, maka jahatlah tindakan manusia.

Dengan kebolehan dan kuasa yang penting, hati seolah-olah raja yang bertakhta di dalam diri manusia. Hatilah yang menentukan baik buruknya manusia. Akal adalah penasihatnya. Anggota-anggota zahir adalah rakyatnya yang taat pada arahannya.

Kita mesti memahami dan memberi perhatian penting dalam persoalan ini, kerana baik jahatnya kita bergantung pada hati serta pengurusan kita dalam hal ini. Sesiapa mengabaikan urusan ini ertinya membiarkan dirinya berjalan dalam gelap. Nasibnya belum tentu selamat di dunia dan akhirat.

***
Petikan buku Tasawuf: Suatu Pengenalan Asas tulisan Dr. Shamsul Mohd. Nor.






Scroll to Top