Berbadan Dua Kena Makan Dua Kali Ganda?

“Siapa percaya ibu mengandung perlu makan dua kali lebih banyak kerana ibu makan untuk dua orang?” tanya saya kepada peserta kelas antenatal hari itu.

Rata-rata peserta ketawa lalu mengangkat tangan.

“Siapa rasa berat dia dah naik melebihi berat yang disarankan?” tanya saya lagi.

Beberapa orang yang angkat tangan. Bising kelas seketika apabila masing-masing mahu cerita rasa gerun menaiki penimbang ‘puaka’. Seram tengok angkanya yang semakin meningkat.

Masing-masing kelihatan teruja. Ada ibu ditemani pasangan. Suami kelihatan ‘blur’ tetapi bersemangat menemani isteri yang membawa bakal zuriat pertama mereka.

“Mengikut RNI 2017, atau Recommended Nutrient Intake 2017, ibu mengandung di trimester pertama atau tiga bulan terawal hanya perlukan 80 kalori tambahan. Sedikit sahaja kerana bayi masih kecil dan berada di fasa perkembangan awal. Ketika ini juga ibu-ibu melalui fasa alahan. Muntah, loya, pening, deria bau yang berubah. Senang kata, mabuk-mabuk. Silap hari, bau suami pun ada yang boleh pening.”

Kelihatan seorang ibu menampar kecil lengan suaminya dan ketawa. Suaminya hanya tersenyum, kekal macho dan sado.

“Fasa alahan nanti saya sentuh kemudian. Fasa kedua adalah tiga bulan kedua atau trimester kedua. Ibu sudah mulai boleh makan dengan baik. Keperluan kalori akan meningkat sebanyak 280kcal berbanding keperluan tubuh biasa. Dan semasa trimester ketiga, keperluan meningkat sebanyak 475kcal berbanding keperluan asal,” jelas saya pada peserta.

“Agak-agak, semua kalori yang diperlukan ini perlu diambil daripada mana agaknya?” tanya saya.

Peserta mula menyebut pelbagai jenis makanan dan minuman.

“Semua pun betul,” kata saya.

“Ibu mengandung perlu mengambil makanan merangkumi hampir kesemua jenis makanan untuk mencukupkan keperluan utama tubuh yang meningkat. Senang diingat, ikut sahaja konsep suku-suku separuh.
Suku diisi sumber karbohidrat atau bijirin. Suku diisi laukpauk dari ayam, ikan, daging, tauhu dan sebagainya. Separuh lagi diisi dengan pelbagai buah dan sayuran yang pelbagai warna.”

“Sentiasa ingat, Prinsip 1 di mana, ibu hendaklah ambil makanan mengikut keperluan ibu,” jelas saya kembali.

“Pemakanan ibu mengandung masih sama seperti orang lain. Cuma perlu dilebihkan nutrien atau zat tertentu seperti protein yang diperlukan oleh tubuh. Dengan erti kata lain, ibu harus makan dua kali ganda lebih berkualiti bagi memastikan anak di dalam kandungan membesar dengan baik dan ibu sentiasa sihat.”

“Contohnya, jika sebelum mengandung, keperluan kalori adalah lebih kurang 1660kcal. Untuk trimester pertama ibu perlu pertambahan kalori sebanyak 80kcal. Trimester kedua, tambah 280kcal dan trimester ketiga tambahan 475kcal daripada keperluan kalori asal. Jumlah keperluan tenaga paling banyak adalah lebih kurang 2100kcal sahaja. Kebiasaannya, kita ambil melebihi 2000kcal. Kan makan untuk dua orang katanya. Apa jadi agaknya bila makan lebih?” tanya saya.

“Naik berat badan. Patut la berat saya naik banyak sangat. Baru tujuh bulan ni.” Pantas seorang peserta menjawab.

“Abang la ni. Asyik suruh saya makan saja. Lepas ini tak payah beli makanan banyak-banyak lagi paksa saya makan.” Seloroh wanita 20-an itu sambil mencubit lengan suaminya.

Suaminya mengaduh seraya menggosok lengannya. Kelas gamat dengan tingkah mereka berdua.

“Ingat! Makan dua kali lebih baik dengan pelbagaikan pilihan makanan harian. Bukan makan lebih banyak daripada kebiasaan. Bagaimana nak makan dengan lebih bagus? Nanti saya kongsikan kemudian.”

***
Petikan buku Diet Mak-Mak tulisan seorang pegawai dietatik di salah sebuah hospital, Ruqayyah Muhd.



Scroll to Top