Baca Ini Apabila Proses Hijrah Terasa Sukar dan Mencabar

Baik-baik kata orang, belum pasti baiknya juga di sisi Allah.
Buruk-buruk pandangan orang, belum tentu ia terhina di sisi Allah.
Penilaian manusia, kadang ada yang betul, kadang ada yang tersasar daripada kebenaran yang tersimpul.
Seboleh-bolehnya, aku tidak mahu perihal aku dikutuk. Aku ingin orang memuji dan menyanjung.
Namun, apa yang aku dapat, mereka tidak sudah- sudah mahu menghukum. Dianggapnya aku ini manusia yang jahat, tidak patut diberi peluang untuk bahagia kerana selayaknya hidup aku harus terseksa dalam derita.
Dengan Tuhan, setelah bertimbun-timbun dosa yang aku telah dan masih lakukan, Dia tetap membuka jalan dan jawapan. Dia tidak meninggalkan aku dalam keseorangan di saat aku kehilangan tujuan dan harapan.
Bezanya dengan manusia, sekali dua saja aku baru tersalah laku dan bicara tanpa aku sendiri sengajakannya, mereka memulaukan aku, mereka tidak ingin lagi bersahabat denganku.

Yang berserban dan bertutup litup, ramai yang kagum dan memandang. Yang berpakaian rockers dan terdedahnya rambut, ramai yang mencela dan menentang. Benar, penampilan yang sopan dan sempurna itu lebih diangkat penghormatan untuknya di sisi Islam.

Tuntutan Allah, perlu dilaksanakan bukan diabaikan. Namun, mengira dosa seseorang melalui pemakaiannya, tidak wajar bagi manusia mengambil tugas Allah meskipun dia memang terbukti sudah salah. Tiada hak ke atas manusia untuk menilai dan membandingkan siapa yang lebih mulia dalam kebaikan dan siapa yang sebenar-benarnya hamba yang terkutuk dalam kejahilan.

Yang dilihatnya hari ini, belum tahu lagi masih samakah dirinya di hari esok. Baik buruk perangai seseorang itu, hanya Allah yang lebih kenal. Jika manusia sering menilai dari luaran, Allah memilih pada hati yang lurus dan ikhlas. Kata orang, dia mungkin bakal ke neraka asbab daripada pemakaiannya. Sedangkan, pengakhiran dirinya pun tidak pasti lagi pergi ke mana.

Jangan dikeji pada sesiapa. Jangan disebut-sebut dosa orang lebih banyak dan besar berbanding dosa kau yang tiap-tiap masa, tiada masalah bagi Allah untuk selalu ampunkan. Jangan dipandang hina dengan golongan yang berpakaian ketat. Jangan terlalu angkuh dalam berkata-kata tentang diri sendiri yang boleh istiqamah menutup aurat. Kerana hari-hari selepas ini, entah-entah hatinya lagi kuat untuk terus jadi baik dan cantik perubahannya sampailah berakhir detik-detik hayatnya, dia pergi dalam keadaan manusia yang beriman.

Dahulu, sikap kau lain. Pernah gagal daripada memelihara aurat, pernah terlanggar daripada menjaga ikhtilat, pernah terlanjur kata sehingga mencarut dan segala apa yang tidak elok dibuat tetapi kau, cukup berani menambah-nambahkan. Hari ini, sikit-sikit kau mulai berubah. Diri yang lama, perlahan-lahan kau tinggalkan. Tidak ingin lagi menjadi seperti dulu, kau mahu diri kau yang baru.

Terhenti langkah kau di situ, sudah dicuba menunjuk diri sendiri terbuktinya baik, tetap juga ada mulut yang mencela. Malah, amat menyakitkan lagi perasaan, bila penghijrahan diri diejek dan menjadi bahan sindiran pedas. Anggapan kau di awal, kalau berubah ke arah kebaikan, mesti banyak orang yang suka dan makin ingin dekat. Terbalik pula jadinya, orang lagi mahu kecam, lagi mahu membenci dengan diri kau dan langsung tiada hati lagi untuk bercakap dengan kau.

Begitunya kau hadapi adalah untuk beri kesedaran pada kau, agar nawaitu kau untuk berubah biarlah seikhlas-ikhlasnya demi mencapai redha Allah. Satu perkara kau kena ingat, walau sebaik mana pun kau usaha untuk tampilkan diri kau bukan seperti apa yang mereka sangka selama ini, takkan pernah kau dapat memuaskan hati semua orang. Tidak semuanya akan senang dengan perubahan diri kau. Tidak juga yang masih mahu percayakan kau. Apabila ada di antara mereka yang sudah membenci, untuk cuba sukakan diri kau kembali, mungkin payah buat hati mereka terubati. Ternyata sukar untuk kau ubah sangkaan dan pandangan mereka, cuma diri kau masih boleh mengubah cara kau berfikir dan menilai tentang keperibadian manusia.

***
Petikan buku Ajari Aku Erti Hidup tulisan Azura Zamri.
Pembelian buku secara dalam talian boleh dibuat melalui:

Scroll to Top