Anda Wanita yang Takut Memandu Jarak Jauh Bersama Anak-anak? Ibu Ini Ada Tip! - Galeri Ilmu

Anda Wanita yang Takut Memandu Jarak Jauh Bersama Anak-anak? Ibu Ini Ada Tip!

“Umi, jomlah balik kampung. Bosanlah duduk di sini!”

Rengekan Fayad buat saya berfikir-fikir mahu pulang ke kampung di Besut atau tidak. Kami baru sahaja berpindah dari Kota Tinggi ke Dungun beberapa bulan yang lepas. Rumah kami jauh di pedalaman.

Jujurnya, saya sangat takut memandu jarak jauh sendirian apatah lagi apabila perlu bersama anak-anak yang lasak. Memang saya tidak mahir jalan yang sesak, sibuk dan bersimpang-siur. Saya risau jika terpaksa melalui lebuh raya, tol, dihon akibat tidak pandai guna kad Touch N Go, ditambah lagi jika terpaksa bergantung kepada aplikasi Google Maps atau Waze. Saya bimbang sesat!

Semasa tinggal di Kota Tinggi, ada suami yang selalu menghantar saya ke sana sini untuk menghadiri program sama ada di Johor Bharu atau Kuala Lumpur. Kadangkala saya menumpang kereta kawan, menaiki bas atau mengambil perkhidmatan Grab.

Namun, beberapa bulan selepas berpindah, suami tidak lagi tinggal bersama kerana bekerja di daerah lain. Saya mesti membuat segalanya sendiri; mengurus anak- anak, ke bandar, dan juga memandu pulang ke kampung.

“Umi, jomlah balik kampung!” Ajak Fahri pula, menyemarakkan rasa ingin mencuba saya.

“Okey, jom balik!” Saya membuat keputusan berani mati demi memenuhi hasrat tiga cinta hati.

Jadi minggu ini, saya bulatkan tekad, mahu cuba memandu pulang ke kampung bersama anak-anak. Beberapa hari sebelum tiba Khamis, saya bertanya rakan-rakan sekerja tentang jalan menuju ke Besut. Alhamdulillah, ada banyak pilihan jalan.

Khamis adalah hari terakhir persekolahan setiap minggu. Semua beg pakaian sudah siap diatur dalam bonet kereta. Sebaik loceng sekolah tanda tamat masa berbunyi, saya terus meminta anak-anak masuk ke dalam kereta, mengambil Auf di rumah pengasuh dan pecut memandu.

“Alahai! Tak ada pekerjalah pula!” Saya menepuk kepala usai sampai di hadapan kaunter tol lorong kedua, Plaza Tol Bukit Besi. Peluh sudah merecik di dahi dan saya panik.

Saya mahu membuat tambah nilai Touch N Go pada kad pengenalan. Lantas, saya mengundurkan kereta dan berhenti di tengah antara lorong pertama dan kedua. Mujurlah tiada kenderaan lain di belakang. Segera saya menghulurkan sekeping kad pengenalan dan not RM10 kepada anakanda pertama.

“Fahri, tolong umi. Pergi ke kaunter pertama dan cakap nak tambah nilai sepuluh ringgit. Hulur duit dan kad ini,” arah saya satu per satu.

“Okey, umi,” urusan yang melibatkan wang memang menjadi kegemaran si sulung.

Dengan teruja saya mahu meneruskan pemanduan. Ini cuma cuti hujung minggu tetapi lagaknya macam hendak balik cuti raya. Saya pantas membelok stereng kereta dan masuk ke lorong kedua.

Gedeguk.

Haih. Apa pula kali ini? Cuak. Nafas seakan tersekat.

Rupanya saya terlanggar pembahagi jalan yang melekat tersusun di tengah antara dua lorong. Aduhai! Bumper kereta saya rabak.

Seminggu berlalu. Ujian lepas tidak menjadikan saya serik. Ketagihan pulang ke kampung mengatasi ketakutan pemanduan yang penuh pancaroba. Perjalanan yang hanya mengambil masa tiga jam boleh menjadi lima jam apabila anak-anak bergaduh, bising, bertumbuk, hendak itu, hendak ini, huh, macam-macam!

“Anak-anak, minggu ini kita balik kampung lagi!” Jerit saya gembira.

“Hooray!” Sambut mereka riang.

Hari Khamis tiba lagi. Kali ini saya lebih berhati-hati. Saya fokus memandu supaya tidak tersalah keluar Plaza Tol Kuala Berang seperti minggu lepas.

Tiba di Plaza Tol Kuala Terengganu, saya berhentikan kereta ke hadapan sedikit daripada kaunter tol, memberi kad pengenalan kepada Fayad dan meminta Fayad menyentuh kad daripada cermin belakang kereta.

“Umi, tak boleh!” Tempik suara nyaring Fayad.

“Duh, kenapa pula?” Sahut saya dan mengintai mesin di hadapan. Tertera baki Touch N Go. Ya Allah, kredit habis! Menggelabah.

Apa nak buat? Di belakang ada berjujuk kereta sedang menunggu!

Fuh. Dengan cepat jari telunjuk tangan kiri saya menekan punat lampu kecemasan kereta.

“Cepat Fahri, tolong umi pergi kaunter pertama, buat tambah nilai,” dialog sama.

Fahri taat. Tragedi berulang dengan versi berbeza. Kereta belakang setia menunggu. Malu! Kemudian, saya terus memecut laju.

Ini cerita lama. Sekarang? Alhamdulillah, saya semakin berani dan yakin untuk memandu jarak jauh ke mana-mana sendiri bersama anak-anak. Pernah memandu ke Kuala Terengganu, Dungun, Kota Bharu, Sungai Buloh serta Gombak. Tabarakallah.

Jadi, bagaimana menghadapi ketakutan memandu jarak jauh sendirian bersama anak-anak kecil di kalangan wanita? Ada tiga tip utama:

  1. Doa dan tawakal. Tunaikanlah solat sunat Musafir, berdoa kemudian berzikir sepanjang perjalanan.
  2. Berani. Wanita tidak boleh bergantung sepenuhnya kepada orang lain. Mesti berlatih memandu ke lokasi dekat dahulu seperti sekolah anak, kedai runcit dan belajar mengisi petrol sendiri.
  3. Tidak malu bertanya. Untuk memudahkan perjalanan, mulut kena ringan bertanya. Perlu mengambil tahu tentang tol, arah jalan, penggunaan Touch N Go dan penggunaan aplikasi Maps serta Waze.

“… dan sesiapa yang bertakwa kepada Allah (dengan mengerjakan suruhan- Nya dan meninggalkan larangan-Nya), nescaya Allah akan mengadakan baginya jalan keluar (daripada segala perkara yang menyusahkannya) dan memberinya rezeki daripada jalan yang tidak terlintas di hatinya … .” (Ath-Thalaq 65: 2-3)

Ayat al-Quran ini seharusnya menjadi pegangan. Ia memberikan kekuatan kerana adanya jaminan Allah bahawa Dia akan sentiasa membantu kita dengan syarat kita benar-benar bergantung harap pada-Nya.

Yakinlah kepada keajaiban usaha sebagaimana ajaibnya Tuhan akan memakbul doa kita. Cari Allah, semua akan menjadi mudah!

***

Petikan buku Relaks-lah! Saksikan FB Live bersama penulis, Amla Mat Rawi 27 Oktober 2020 (Selasa) nanti.

Scroll to Top