7 Tip Penampilan Muslimah "Wajib Buat" - Galeri Ilmu

7 Tip Penampilan Muslimah “Wajib Buat”

Merujuk kamus Dewan, identiti bermaksud cara pemakaian, tingkah laku dan aspek-aspek tertentu yang menunjukkan keperibadian seseorang.

Apabila menyentuh soal identiti Muslimah, dilihat senario hari ini, masih ramai wanita yang masih belum benar-benar memahami dan menghayati identiti Muslimah sejati. Asalkan bertudung sudah dianggap lengkaplah ciri-ciri seorang wanita Muslim.

Begitukah?

Sudah tentu tidak.

Kali ini kami mahu kongsikan kepada anda 7 Tip Penampilan Muslimah “Wajib Buat” supaya bertepatan dengan kehendak Islam dan menepati identiti Muslimah sejati dari sudut berpakaian.

Pertama:

Menutup seluruh tubuh kecuali muka dan dua tapak tangan (depan dan belakang kerana seluruh tubuhnya adalah aurat kecuali bahagian tersebut.

Kedua:

Pakaian hendaklah luas, tidak ketat atau sempit. Allah SWT berfirman dalam surah al-Ahzab ayat 59 yang bermaksud “Wahai Nabi, suruhlah isteri-isterimu dan anak-anak perempuanmu serta perempuan-perempuan yang beriman, supaya melabuhkan pakaiannya bagi menutup seluruh tubuhnya (semasa mereka keluar); cara yang demikian lebih sesuai untuk mereka dikenal (sebagai perempuan yang baik-baik) maka dengan itu mereka tidak diganggu dan (ingatlah) Allah adalah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.”

 

Ketiga:

Bukan pakaian syuhrah. Maksudnya pakaian yang dipakai oleh seseorang dengan tujuan untuk membezakan dirinya daripada manusia lain dari segi warna, bentuk, dan coraknya. Dengan sebab itu, semua mata akan tumpu kepadanya lalu timbul perasaan bangga dan megah di dalam hatinya. Dengan kata lain, berpakaian untuk jadi popular atau glamor.

Keempat:

Tidak menampakkan tubuh badan. Usamah bin Zaid melaporkan bahawa Rasululah SAW menghadiahkannnya sehelai kain Qibtil yang tebal, lalu dia memberikan kain itu kepada isterinya. Kemudian Rasulullah SAW bertanya kenapa dia tidak memakai kain yang beliau hadiahkan? Usamah menjelaskan bahawa akain itu telah diberikan kepada isteriny. Baginda Berpesan kepada Usamah dengan sabdanya, “Suruh isterimu memakai gaun di bawahnya kerana aku bimbang kain itu menampakkan bentuk tubuhnya.” (Riwayat Ahmad)

Difahami daripada hadis ini, walaupun kain itu tebal, jika ia sempit, ia akan menampakkan bentuh tubuh. Lantaran itu Nabi SAW mengingatkan agar dipakai gaun disebelah dalam supaya tidak menampakkan bentuk tubuh. 

Kelima:

Tidak menyerupai pakaian lelaki. Abu Hurairah r.a. berkata: “Rasulullah SAW melaknat lelaki yang memakai pakaian wanita dan wanita yang memakai pakaian lelaki.” (Riwayat Abu Dawud) Dalam masa yang sama tidak menyerupai pakaian non-Muslim. Maksud menyerupai pakaian wanita non-Muslim ialah pakaian khusus yang menjadi identiti mereka. 

Keenam:

Pakaian mestilah tebal, tidak nipis atau jarang sehingga menampakkan warna kulit sama ada putih, hitam dan sebagainya.

Ketujuh:

Tidak melabuhkan hujung baju sehingga mengheretnya menyapu lantai. Ini biasanya satu trend fesyen daripada pakaian pengantin. Ummu Salamah r.a. bertanya kepada Nabi SAW akan hukum wanita melabuhkan baju mereka sekadar sejengkal (daripada pertengahan betis). Ummu Salamah bertanya lagi, “Sekiranya tapak kaki mereka terbuka?’ Maka Baginda bersabda maksudnya “Labuhkan sekadar satu hasta dan jangan dilebihkan lagi!” (Riwayat at-Tirmizi)

Berdasarkan hadis ini, maka dapat disimpulkan bahawa kadar labuh yang dibenarkan bagi wanita ialah sehasta diukur dari pertengahan betis.

————————————-

-Galeri Ilmu-

Tip ini dipetik daripada koleks Majalah Anis. 

Leave a Comment

Scroll to Top