5 Harapan Ibu Mentua - Galeri Ilmu

5 Harapan Ibu Mentua

Merebut hati calon mentua terkadang-kadang lebih penat berbanding dengan mendapatkan hati anaknya. Sebelum berburuk sangka terhadap sikap calon mentua yang mungkin ‘dingin’, sila fahami dulu bahawa setiap ibu dan ayah pasti mengharapkan teman hidup anaknya itu seorang pasangan yang terbaik.

Mereka punya harapan tersendiri terhadap menantunya. Oleh itu, di bawah ini adalah senarai umum kehendak mentua budaya Melayu di nusantara ini terhadap menantunya sama ada lelaki atau perempuan.

1. Ikut cara hidupnya.
Untuk memenangkan hati mentua, sebaik-baiknya tidak membandingkan keluarga sendiri dan keluarga mentua, Apa lagi kalau keluarga mentua kurang harta daripada keluarga sendiri. masuk kandang kambing mengembek, masuk kandang kerbau menguak. Ikutlah budaya dan cara hidup mentua sebaik sahaja anda bersama mereka.

2. Bertanggungjawab.

Setiap ibu mentua mengharapkan anak menantunya sama ada lelaki atau perempuan dapat menggantikan peranan kepimpinan di rumah itumulai urusan dapur hinggalah tanaman bunga-bungaan di halaman rumahnya sebagaimana ‘standard’ dia menguruskannya.

Bagi anak menantu lelaki pula, dia boleh bekerjasama dengan ayah mentua, ipar-iparnya serta sanak-saudara hingga ke tahap diberi kepercayaan menguruskan kesejahteraan harta sepeninggalannya nanti.

3. “Dia suamimu (atau isterimu), tetapi masih anakku.

Walaupun dia suamimu atau isterimu, tetapi tidak bererti dia menjadi milikmu. Bagi ibu mentua, anaknya tetap anaknya selama-lamanya. Dia berharap, sekalipun sudah bernikah, isteri atau si suami mesti memberikan kesempatan pada pasanganannya untuk bersama keluarga ibu bapanya untuk melepaskan rindu dendam kasih sayang mereka.

4. Membahagiakan anaknya.

Tidak ada ibu bapa yang inginkan anaknya menderita dan tidak bahagia. Dengan demikian, setiap ibu bapa mentua pasti ‘menuntut’ menantunya memberikan kebahagiaan kepada anaknya. Sekiranya ada pertelingkahan atau perbezaan pandangan serta konflik rumah tangga. Dia mengharapkan perkara itu tidak diceritakan kepada orang lain termasuk ibu bapa menantunya sendiri.

5. Terima keluarga besar kesemuanya.

Apabila sah menjadi menantu, ibu bapa mentua mengharapkan menantu itu juga boleh menerima semua ahli keluarganya. Tidak hanya melayani dan menghormati pasangannya sahaja.

***

Petikan buku Menantu Hipster tulisan Ahmad Shafiai Uda Jaafar atau lebih mesra disapa sebagai Pak Utih. Saksikan FB Live HER NEEDS HIS NEEDS di laman FB Majalah Q&A.

Scroll to Top