15 Perkara Sunat dalam Ibadah Korban - Galeri Ilmu

15 Perkara Sunat dalam Ibadah Korban

Perkara-perkara sunat dalam ibadah korban tidak menjejaskan pahala korban jika ditinggalkan. Jika dilakukan akan menambahkan pahala ibadah korban. Antaranya ialah:

  1. Disunatkan kepada individu yang ingin melakukan ibadah korban supaya tidak menggunting atau mencukur rambut dan memotong kuku apabila masuknya 1 Zulhujjah, dan berkekealan sehinggalah dia menyempurnakan penyembelihan korban. Rasulullah SAW bersabda (yang bermaksud):

    “Sesiapa memiliki binatang korban yang ingin disembelihnya, kemudian dia melihat anak bulan Zulhijjah, maka janganlah dia menggunting rambut dan memotong kukunya walaupun sedikit sehinggalah dia menyembelih korban terlebih dahulu. (Riwayat Muslim)

    Larangan menggunting rambut dan memotong kuku dalam hadis tersebut bukanlah larangan haram, sebaliknya hanya larangan makruh. Hikmah di sebalik larangan itu supaya individu yang ingin melaksanakan ibadah korban dapat menyerupai orang yang sedang berihram haji iaitu penyamaan dari segi wajah kerana tidak bercukur rambut dan memotong kuku.

  2. Menyembelih sendiri binatang korban. Jika tidak mampu, harus diwakilkan kepada orang lain untuk menyembelihnya. Adalah sunat diwakilkan untuk menyembelih binatang korban kepada orang yang alim mengenai hukum-hakam korban.

  3. Menajamkan pisau. Ia bertujuan untuk tidak menyeksa binatang yang disembelih di samping memudahkan binatang korban mati setelah disembelih.

  4. Menyembelih dengan cara yang betul. Menyembelih dengan cepat dengan melalukan pisau secara pergi balik iaitu ke ataas dan ke bawah kerana cara sperti ini mempercepatkan kematian binatang yang disembelih.

    Jika binatang yang disembelih itu unta maka disunatkan dalam keadaan unta itu erdiri dengan tiga kaki. Kaki yang satu lagi iaitu kaki bahagian diikat lututnya.

    Binatang selain unta, sunat direbahkan dalam keadaan rusuk kirinya di atas tanah atau lantai. Sunat diikat ketiga-tiga kaki binatang itu kecuali kaki kanan bahagian hadapan. Cara seperti ini memudahkan penyembelihan.

  5. Menghadapkan binatang yang disembelih ke arah kiblat. Begitu juga tukang sembelih turut menghadapkan dirinya ke arah kiblat.
  6. Membaca بسم الله الرحمن الرحيم semasa memulakan penyembelihan. Jika tidak membacanya kerana terlupaatau sengaja, penyembelihan adalah sah, tetapi makruh jika ditinggalkan dengan sengaja.
  7. Berselawat ke atas Nabi SAW semasa menyembelih dengan berkata اللهم صل على سيدنا محمد .Selawat dilafazkan selepas membaca bismillah.

  8. Mengucap takbir dengan berkata الله أكبر selepas membaca bismillah dan berselawat. Sebaik-baik takbir ialah sekali sebelum penyembelihan dan tiga kali selepasnya.

  9. Berdoa selepas selesai penyembelihan.

    “Ya Allah binatang korban ini adalah anugerah-Mu dan dipersembahkan kepada-Mu, maka terimalah ibadah korbanku.”

    Sekiranya binatang korban tidak disembelih sendiri oleh individu yang berkorban, maka wakil yang menyembelihnya hendaklah membaca doa seperti berikut:

    “Ya Allah binatang korban ini adalah anugerah-Mu, maka terimalah korban si polan (niatlah nama individu yang berkorban).”

  10. Orang yang musafir juga disunatkan melaksanakan ibadah korban. Hal ini berdasarkan hadis berikut:

    Sayidatina Aisyah r.a. meriwayatkan bahawa Nabi SAW telah melaksanakan ibadah korban untuk isteri-isterinya di Mina pada tahun haji Wadak. (Riwayat Bukhari & Muslim).

  11. Menyembelih binatang korban yang gemuk kerana banyak dagingnya.

  12. Menyembelih binatang korban yang tidak patah tanduk.

  13. Menyembelih pada waktu siang.

  14. Merebahkan binatang yang disembelih di tempat yang lembut seperti di atas tanah. Cara demikian memudahkan penyembelihan di samping tidak menyakitkan binatang.

  15. Memotong dua urat darah binatang yang disembelih selain halkum dan mari’.

Petikan buku Ibadah Mukmin: Sembelihan tulisan Syeikh Ahmad Faisol Hj. Omar.

Scroll to Top